8 Mei 2022, 20:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru golongan mualaf supaya sentiasa mengekalkan keharmonian sesama keluarga dan kenalan yang disifatkan sebagai jati diri bagi golongan saudara baharu mualaf.

Menurut baginda, berbeza agama bukanlah penghalang untuk sentiasa berbuat baik kepada ibu bapa dan keluarga, bahkan agama Islam sentiasa memerintahkan penganutnya untuk sentiasa berbuat demikian.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Bantuan Mualaf Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi Tahun 1443 Hijrah berjumlah RM86 000 secara simbolik di Arau baru-baru ini.

Bantuan berkenaan disalurkan kepada mereka yang memeluk Islam dalam tempoh lima tahun, selari dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis pada 6 Ogos 2017 yang menetapkan bahawa status mualaf sebagai saudara baharu hendaklah ditentukan dalam tempoh lima tahun selepas mereka memeluk Islam. Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam pada itu, Tuanku Raja Muda mengambil kesempatan untuk mengingatkan semua bahawa ancaman COVID-19 masih berterusan walaupun pelbagai langkah pencegahan dan usaha telah dilaksanakan oleh semua pihak bukan sahaja di negara ini, malahan di seluruh dunia.

“Pakar dan pertubuhan kesihatan juga telah menyatakan bahawa COVID-19 mungkin tidak akan hilang, namun telah menjadi endemik seperti selesema dan influenza dalam kehidupan kita.

“Memandangkan tiada pilihan lain, amalan norma baharu kehidupan dalam suasana COVID-19 yang masih menular ini perlu diperkukuh dengan penuh sikap bertanggungjawab dan berdisplin dalam kalangan setiap anggota masyarakat dan komuniti setempat,” tambah baginda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.