29 April 2022, 10:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menzahirkan rasa syukur dan ucapan tahniah kepada pihak pengurusan serta seluruh warga kerja MAIPs atas kejayaan MAIPs mengekalkan status Anugerah Sijil Pematuhan “Standard Accounting System for Government Agencies (SAGA)” bagi sistem aplikasi perakaunan dan kewangan.

Menurut siaran media MAIPs, “Berdasarkan penilaian semula oleh Sekretariat SAGA,  pelaksanaan sistem aplikasi perakaunan dan kewangan MAIPs telah menepati sepenuhnya 19 Kriteria Pematuhan SAGA dan segala penambahbaikan telah diselesaikan sepenuhnya pada 14 April 2022 baru-baru ini.”

Tuanku Raja Muda menzahirkan bahawa, kejayaan ini tidak akan tercapai melainkan dengan sokongan, bimbingan serta sumbang saran berterusan daripada para penyumbang, para pemegang taruh termasuklah para pelanggan MAIPs dan juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis serta AJK Kecil MAIPs. Pada masa yang sama, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berpesan agar warga kerja MAIPs  terus meningkatkan lagi budaya kerja positif dan berintegriti demi menjulang fungsi dan peranan MAIPs seperti yang telah diamanahkan dari semasa ke semasa.

Atas kejayaan tersebut, Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) merakamkan ucapan tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha MAIPs dalam memastikan sistem aplikasi perakaunan dan kewangannya sentiasa mematuhi Kriteria Pematuhan SAGA.

Sebelum ini, MAIPs pernah mencipta sejarah apabila muncul sebagai Majlis Agama Islam pertama yang menerima pengiktirafan SAGA pada tahun 2017 selain muncul sebagai agensi Kerajaan Negeri Perlis pertama yang memperoleh pengiktirafan berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.