22 April 2022, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan Malaysia menerima kuota rasmi sebanyak 14 306 jemaah haji bagi tahun ini. Perkara ini dimaklumkan beliau dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook beliau, petang semalam.

Menurut beliau, jumlah kuota yang diterima daripada Kerajaan Arab Saudi itu adalah 45 peratus daripada kuota rasmi tahunan dan peratusan tersebut terpakai bagi semua negara, dan sudah tentunya kuota tersebut diberikan berdasarkan penilaian dan langkah berjaga-jaga demi memastikan kesihatan dan keselamatan semua jemaah haji dari seluruh dunia.

Kerajaan Arab Saudi dalam kenyataan awalnya sebelum ini telah menetapkan kuota haji seramai satu juta jemaah bagi musim 2022, iaitu 85 peratus daripadanya adalah untuk jemaah luar.

“Kuota sebanyak 14 306 jemaah yang diberikan merupakan penurunan daripada seramai 31 600 jemaah haji Malaysia yang dibenarkan untuk menunaikan ibadat haji pada tahun 2019,” jelasnya lagi,

Tambahnya lagi, jemaah haji yang dibenarkan pula ialah individu yang berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

Beliau berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) ketika ini giat membuat persiapan akhir untuk membawa bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci selepas dua tahun tertangguh kerana pandemik COVID-19.

(Sumber: Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama))

“Saya juga sudah mengarahkan TH untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia, selain memohon semua bakal jemaah membuat persediaan sewajarnya dari segi ilmu, kesihatan, rohani, jasmani dan kewangan,” katanya lagi.

Tambahnya, TH juga akan mengeluarkan surat tawaran dalam masa terdekat dan bakal jemaah yang terpilih diminta membuat pemeriksaan kesihatan dan menjawab surat tawaran dengan kadar segera.

“Bakal jemaah juga dinasihatkan supaya bersedia dengan dokumen berkaitan, terutama pasport. Semua jemaah haji Malaysia perlu mengambil suntikan wajib Meningococcal serta vaksin COVID-19 apabila dipanggil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya proses pengambilan vaksin dapat dijalankan mengikut masa yang telah ditetapkan,” katanya.

“Bantuan pembayaran haji kepada bakal jemaah pada tahun ini akan diteruskan, selain pengumuman mengenai ketetapan bayaran baharu akan dibuat oleh pengurusan TH,” ulasnya lagi.

“Bagi pihak kerajaan, saya melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT dan berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota yang telah diberikan kepada negara kita. Sempena Ramadan ini juga, marilah sama-sama kita melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga atas berita gembira ini,” katanya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.