21 April 2022, 11:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – HIJRAH24 merupakan Pelan Transformasi Strategik yang diperkenalkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) bagi memacu organisasi tersebut untuk tempoh tiga tahun, iaitu dari tahun 2022 hingga 2024.

Melalui HIJRAH24, TH telah menetapkan beberapa sasaran utama. Antaranya termasuklah peningkatan saiz dana berjumlah RM100 bilion pada tahun 2021. TH juga menyasarkan penambahan jumlah pendeposit meliputi lebih 50 peratus daripada penduduk Islam Malaysia dan keuntungan boleh alih kepada pendepositnya pada kadar melebihi 0.75 peratus daripada kadar pulangan Islamik. Pelan tersebut juga adalah untuk meningkatkan pengguna THiJARI melebihi empat juta pengguna selain untuk mencapai Indeks Kepuasan Pelanggan melebihi 90 peratus dan Indeks Penglibatan Anggota melebihi 75 peratus.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pelan tersebut mengandungi 24 inisiatif strategik yang memberikan tumpuan terhadap pengukuhan struktur tadbir urus korporat, operasi serta didorong oleh inisiatif digitalisasi.

(Sumber: Facebook Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama))

“Saya mendoakan agar HIJRAH24 ini dapat dikotakan pada akhir tempoh 2024 seperti yang dirancang dan syabas diucapkan kepada TH kerana sentiasa bersedia melakukan transformasi untuk kekal dan berkesan,” katanya.

Tambahnya lagi, sesebuah syarikat tidak akan maju jika hanya menunggu dan tidak mengambil langkah berani untuk mencuba sesuatu yang baharu sesuai dengan kehendak pemegang taruh dan kerajaan juga akan terus memberikan sokongan atas usaha dan inisiatif yang dilaksanakan oleh TH.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Pelan HIJRAH24 Lembaga Tabung Haji 2022-2024 dan majlis berbuka puasa bersama warga Tabung Haji dan anak-anak yatim di Menara Tabung Haji semalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad; dan Pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Azman Mokhtar.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.