Diterbitkan pada 5 April 2022, 15:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah selepas berkenan berangkat melancarkan program Penyerahan Bantuan Regional Ramadan Relief 2022 oleh pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Maybank Islamic Berhad dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di perkarangan Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail, Kangar.

Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam segala aspek. Terdapat beberapa adab mengenai amalan berbuka puasa yang dilakukan dan menjadi sunah umat Baginda hingga hari ini. Antaranya termasuklah menyegerakan berbuka apabila masuk waktu; berbuka puasa dengan rutob atau tamar atau air; menyegerakan solat maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air sekiranya makanan belum dihidangkan; makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka; berdoa ketika berbuka; dan berdoa untuk orang yang menjamu kita berbuka puasa.

Demikian perkongsian Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam titah baginda mengenai senarai yang digariskan dalam penerbitan sebaran “Adab-adab Berbuka Puasa Menurut Sunah” oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis yang dilancarkan oleh baginda baru-baru ini.

Dalam program tersebut, sebanyak 350 kotak makanan terdiri daripada beras dan barangan makanan keluaran usahawan bimbingan YaPEIM telah disalurkan kepada keluarga asnaf di semua kariah seluruh negeri ini yang dikenal pasti melalui kerjasama Amil Kariah Masjid lantikan MAIPs. Yang turut hadir mewakili pihak YaPEIM ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya, Prof. Dr. Mohamad Akram Laldin dan Pemangku Ketua Pengarah Haji Awang@Musran Tawil. Turut mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi