1 Mac 2022, 17:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Akademi Daie Muda YADIM (ADMY) yang dahulunya dikenali sebagai Felo Muda Dakwah merupakan satu program kader dakwah bagi melahirkan pendakwah muda dalam kalangan graduan universiti dan diberikan latihan intensif oleh pihak YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia).

Sejak tahun 2019, program ini telah diberikan nilai tambah apabila dibawa ke program realiti televisyen bersama TV AlHijrah. Program yang menampilkan 24 orang Daie Muda YADIM (DMY) ini dibimbing dan diuji untuk menjadi dai (pendakwah) profesional bertujuan untuk melestarikan lagi gerakan dakwah di Malaysia.

DMY Zulnizzam dalam sesi raptai Separuh Akhir Akademi Daie Muda YADIM.

Terdapat empat orang felo yang ditugaskan bagi membentuk DMY, iaitu Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki, Brother Shah Kirit Kakulal Govindji dan Brother Firdaus Wong Wai Hung.

Berbeza dengan musim sebelumnya, para peserta pada kali ini akan diberikan tugasan berdasarkan tema. Terdapat tujuh tema dalam tempoh tujuh minggu, dan minggu keenam merupakan Pentas Separuh Akhir, manakala minggu ketujuh merupakan Pentas Akhir. Mereka akan dibimbing sepanjang melaksanakan tugasan oleh felo mingguan dan pihak YADIM.

DMY Irham dan DMY Nabilah semasa beraksi dalam persembahan Separuh Akhir Akademi Daie Muda YADIM.

Minggu pertama program ADMY bermula dengan tema “street dakwah”, iaitu para peserta dikehendaki berdakwah dan cuba untuk berkomunikasi dengan orang ramai yang berada di sekitar kawasan yang telah ditetapkan, serta menyebarkan risalah berkenaan dengan program mereka. Minggu kedua pula bertemakan “tekno dai” yang memerlukan para peserta menyiapkan video mengikut tema masing-masing.

Seterusnya, minggu ketiga membawa tema “silang budaya”, iaitu para peserta akan pergi ke rumah ibadat agama yang ada di Malaysia untuk mengetahui dan memahami dengan lebih lanjut tentang agama mereka. Pada minggu keempat, dengan tema “kebajikan dan kemasyarakatan”, para peserta dikehendaki memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Hulu Langat dan memberikan sumbangan kepada pasukan barisan hadapan di Hospital Putrajaya, pesakit di Pusat Dialisis Yayasan Islam Darul Ehsan, para mualaf di Darul Hidayah dan anak yatim yang kematian ibu bapa akibat COVID-19.

DMY Ayuni ketika melakukan tugasan lapangan bagi Episod Akhir Akademi Daie Muda YADIM.

Tema bagi minggu kelima ialah “ibrah dakwah”, iaitu para peserta diminta melakukan ziarah tokoh dan sesi kaunseling. Pada penjurian minggu ini akan berlaku penyingkiran dan hanya 12 orang peserta yang akan mara ke Pentas Separuh Akhir pada minggu keenam.

Pentas Separuh Akhir menampilkan 12 orang peserta dan mereka bakal berentap secara berpasangan bagi merebut tempat untuk ke Pentas Akhir pada 5 Mac 2022. Hanya enam orang peserta daripada mereka yang akan mara ke Pentas Akhir. Persembahan yang dilakukan adalah secara berpasangan dan mengikut topik yang telah diberikan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.