14 Februari 2022, 09:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jemaah umrah yang terkesan dengan penangguhan sementara ibadat tersebut akibat penularan virus Omicron bermula 8 Januari 2022 akan menerima pembayaran sagu hati daripada kerajaan Malaysia.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berdasarkan senarai nama yang diserahkan oleh Kementerian, Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), seramai 8027 jemaah umrah yang terkesan layak menerima sagu hati sebanyak RM1671 daripada Tabung Haji (TH).

“Daripada senarai penerima tersebut, didapati hampir 1000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan Tabung Haji,” katanya. Beliau menyeru agar semua jemaah umrah yang masih belum mempunyai akaun simpanan Tabung Haji membuka akaun masing-masing sebelum 18 Februari 2022. Hal ini kerana pembayaran sagu hati tersebut hanya dikreditkan menggunakan akaun simpanan Tabung Haji masing-masing bagi memudahkan urusan para jemaah.

Para jemaah umrah yang terlibat boleh membuka akaun simpanan Tabung Haji masing-masing secara atas talian dengan melayari www.thijari.com.my dan hadir ke kaunter TH yang berdekatan bagi proses pengiktirafan akaun secara biometrik. Para jemaah umrah yang mempunyai kesukaran untuk membuka akaun secara atas talian, boleh terus hadir ke cawangan TH yang berdekatan dengan kediaman masing-masing.

Beliau juga memaklumkan kepada pihak TH supaya segala tuntutan pembayaran ini dipermudahkan semaksimum yang mungkin agar tidak berlaku sebarang kesulitan kepada para jemaah umrah yang terlibat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.