11 Februari 2022, 22:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Maksudnya: “Sesungguhnya orang munafik itu hendak menipu Allah, tetapi Allah membalas tipuan mereka. Apabila mereka berdiri untuk solat, mereka lakukan dengan malas. Mereka melakukan dengan riak (ingin dipuji) di hadapan manusia. Dan mereka tidak mengingati Allah kecuali sedikit sekali.”

Dari segi syariah, munafik merujuk orang yang menyembunyikan kekufuran dalam hati sementara berpura-pura menzahirkan keimanan; mereka pada zahirnya mengaku keesaan Allah dan kerasulan Nabi Muhammad SAW, tetapi sebenarnya tidak beriman. Dari segi bahasa, perkataan munafik merujuk orang yang amalan dan hatinya bercanggah dengan apa-apa yang diperkatakannya; ketika bercakap atau melakukan sesuatu, mereka menyembunyikan maksud sebenar, mereka kelihatan baik pada zahir tetapi memiliki niat jahat yang terselindung, mereka bersifat pepat di luar – runcing di dalam.

Sifat munafik merupakan antara penyakit yang paling bahaya dalam masyarakat, boleh menjadi gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut. Sifat kepura-puraan mereka boleh mengancam kesejahteraan ummah dan keselamatan sesebuah negara. Digambarkan golongan munafik sebagai manusia yang busuk hati kerana hasad dengki terhadap orang beriman seperti firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 10:

Maksudnya: “Dalam hati mereka (golongan munafik itu) terdapat penyakit (syak dan hasad dengki), lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.”

Rasulullah SAW melalui pengalaman pahit akibat perbuatan kumpulan munafik. Mereka berpura-pura di hadapan Baginda menyokong dakwah Islam, namun hakikatnya mereka berniat mahu memusnahkan Islam, membawa banyak musibah, termasuklah mengkhianati umat Islam seperti yang berlaku semasa Perang Uhud. Abdullah bin Ubai telah mempengaruhi sebahagian daripada tentera Muslimin supaya mundur daripada medan perang, mengakibatkan tentera Rasulullah SAW menjadi lebih kecil dan lemah. Kejatuhan Khalifah Abbasiyah juga disebabkan oleh perbuatan khianat seorang daripada menteri yang berpenyakit hasad, tergamak bekerjasama dengan musuh untuk membuka laluan sehingga membolehkan tentera Tatar masuk menguasai Baghdad. Sabda Rasulullah SAW:

Ertinya: “Empat perkara yang ada pada dirinya (semuanya), dia menjadi munafik sepenuhnya dan sesiapa yang ada  satu daripadanya; nescaya dirinya mempunyai satu daripada sifat munafik, sehinggalah dia meninggalkannya. Apabila diberikan amanah dia berlaku khianat, apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia memungkiri janji, dan apabila dia berdebat dia tidak jujur dan bukan mencari kebenaran.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Orang munafik itu dapat dikenali melalui sifat yang berikut:

Pertama: Tidak memiliki pendirian kukuh, menunjukkan pendirian yang senantiasa berubah mengikut keadaan, sangat mudah terpengaruh dengan persekitaran, ibarat lalang yang mudah mengikut arah tiupan angin atau sesumpah yang boleh menukar warna kulit mengikut pohon yang dihinggapnya.

Kedua: Ingkar kepada janji, mudah berdusta dan mudah memberikan sumpah palsu; cakap siang tidak boleh dibawa ke malam.

Ketiga: Orang munafik juga boleh diibaratkan sebagai pelakon hebat, bijak melakonkan watak mengikut pentas dan penonton, sifat bermuka-muka, memuji sewaktu berhadapan dan mengumpat ketika berada di belakang. Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Kamu akan mendapati manusia yang paling jahat, iaitu memiliki dua wajah, yang datang pada segolongan dengan satu wajah, dan datang pada golongan lain dengan satu wajah.”

Keempat: Mengharapkan apa-apa juga kebaikannya dibalas dengan upah, berbentuk wang ringgit, harta, pangkat dan jawatan; harga dirinya boleh dijual beli dan boleh diperdagangkan; kesetiaan akan berakhir jika tidak mendapat ganjaran atau upah.

Kelima: Menjadikan dunia sebagai matlamat hidup dan terlalu cinta akan kebendaan.

Keenam: Riyak dan mengejar pujian serta tidak bersedia menerima teguran dan nasihat atas apa-apa juga kelemahan dan kesilapan.

Ketujuh: Jiwa yang senantiasa gelisah dan resah kerana terpaksa bersikap pura-pura di hadapan khalayak.

Kelapan: Kelihatan baik di permukaan tetapi berhati busuk, berniat jahat dan berbuat khianat, serta suka melakukan tipu daya.

Kesembilan: Melakukan kerosakan di bumi, dengan menggunakan tipu muslihat, memutar-belitkan fakta dengan memberikan alasan mahu membuat perkara yang baik, sedangkan perkara yang berlaku adalah sebaliknya.

Kesepuluh: Tidak berasa bersalah, malah berbangga melakukan dosa dengan memberikan pelbagai hujah untuk menghalalkan apa-apa juga dosa yang telah dilakukan.

Kesebelas: Berhasad dengki terhadap kejayaan dan pencapaian orang lain dan menaruh dendam.

Berwaspadalah dengan orang-orang munafik dan jauhkan diri daripada menjadikan mereka sebagai rakan dan sekutu kerana perlakuan munafik amat membahayakan diri, masyarakat, negara dan agama. Sifat munafik akan merosakkan dasar keimanan dan amalan kebaikan. Sikap dan amalan munafik mestilah dihapuskan dalam kehidupan, kerana sepanjang sejarah Islam, golongan munafik ialah perosak kepada kehidupan beragama dan menghalang penghayatan hidup berlandaskan tauhid dan keesaan Allah SWT.  Menurut riwayat Imam At-Tabarani, Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya perkara yang paling aku bimbangkan setelah peninggalanku, iaitu orang munafik yang petah berbicara.”

Terkandung 13 ayat dalam al-Quran yang memperingatkan ummah tentang golongan munafik, bahkan ada satu surah khusus dalam al-Quran yang membicarakan perihal munafik, iaitu Surah al-Munafiqun. Sesungguhnya sifat munafik sangat dimurkai oleh Allah SWT berpandukan firman Allah SWT dalam  ayat 145, Surah al-Nisa’:

Maksudnya: “Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan neraka paling bawah.”

Sifat munafik sangat dimurkai oleh Allah SWT.

Oleh itu, umat Islam diseru agar tetap berpegang teguh kepada akidah Islamiah berteraskan Ahli Sunah Wal Jamaah, yang menjadi warisan Rasulullah SAW, sahabat dan tabiin. Jagalah hubungan dengan Allah SWT dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan ibadat, terutamanya solat fardu berjemaah.

Ya Allah, kami berlindung dengan-Mu daripada kefakiran, kekufuran, kefasikan, kederhakaan, kemunafikan, sum’ah dan riyak.

Ya Za al-Jalali Wa al-Ikram, jadikanlah kami antara hamba-Mu yang memelihara amanah. Kuatkan iman dan hati kami agar menjauhi perbuatan khianat seperti salah guna harta benda bukan milik kami, memberi atau menerima rasuah, menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri, serta menjauhkan kami termasuk dalam golongan yang mengabaikan tanggungjawab yang diamanahkan.

Ya Malik al-Mulk, jauhi negara kami daripada kehancuran disebabkan perbuatan rasuah; serahkan tanggungjawab pimpinan dan pengurusan negara kami kepada kalangan hamba-Mu yang amanah, jujur dan ikhlas, serta tegas lagi berani menegakkan kebenaran dan melaksanakan keadilan berlandaskan hukum.

Ya Razzaq, berkatilah hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat, wakaf dan sedekah. Kurniakan rezeki yang berlipat ganda kepada mereka, serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, jauhi golongan fakir dan miskin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 11 Februari 2022, “Hindari Sifat Munafik”, Jabatan Agama Islam Perak)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.