28 Januari 2022, 23:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apabila seseorang manusia meninggal dunia, mereka akan berada di alam barzakh atau alam kubur sementara menunggu pembalasan dan perhitungan amal di padang mahsyar. Selepas mayat dikebumikan, tiada peluang lagi bagi si mati untuk beramal sendiri bagi menambah bekalan pahala untuk dibawa ke alam akhirat. Namun begitu, para ulama ada menyebutkan bahawa pahala si mati masih berterusan melalui perkara berikut:

  • Punca atau sebab yang diusahakan oleh si mati semasa hayatnya di dunia.
  • Punca atau sebab yang diusahakan oleh orang yang masih hidup untuk mereka yang telah meninggal dunia.

Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah yang bermaksud, “Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa daripada anaknya yang soleh.” (Hadis riwayat Muslim).

Berdasarkan hadis tersebut, jelas bahawa walaupun seseorang itu telah meninggal dunia, masih ada peluang untuknya membuat pahala berpanjangan dan berterusan di alam kubur, iaitu melalui amalannya sewaktu di dunia seperti sedekah jariah, wakaf, ilmu yang pernah disampaikan dan dimanfaatkan oleh orang lain, serta doa anaknya yang soleh.

Hal ini bermakna pahala akan tetap bertambah walaupun ketika itu seseorang berada di alam kubur dan tidak mampu beramal lagi. Hal ini ibarat seperti air sungai yang mengalir dari gunung, tetap bertali arus tanpa henti.

  1. Sedekah jariah atau wakaf

Amalan bersedekah amat dituntut oleh agama dan terdapat banyak ayat al-Quran yang menganjurkan perbuatan mulia ini. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Jika kamu menampakkan sedekahmu, maka itu adalah baik sekali dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang fakir, maka menyembunyikannya itu adalah lebih baik bagimu.” (Surah al-Baqarah 2:271).

Dalam ayat selanjutnya Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan janganlah kamu membelanjakan sesuatu melainkan kerana mencari keredaan Allah. Apa-apa sahaja harta yang baik kamu nafkahkan nescaya akan diberikan pahala yang cukup sedang kamu tidak sedikit pun akan dianiaya (dirugikan).” (Surah al-Baqarah 2:272).

Berkaitan dengan hadis sedekah jariah yang telah dinyatakan sebelum ini, Khatib al-Syarbini menjelaskan bahawa para ulama telah mentafsirkan perkataan “sedekah jariah” dalam hadis tersebut dengan maksud wakaf.

Menurut Syeikh Wahbah al-Zuhaili, wakaf ialah menahan harta benda yang kekal zatnya serta boleh dimanfaatkan bagi tujuan kebajikan, dan diserahkan kepada pihak yang telah ditentukan dengan harapan dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Maka itu, apabila seseorang itu meninggalkan sumbangan dalam bentuk wakaf kekal dengan ikhlas sewaktu masih hidup, maka pahala tersebut akan terus diperoleh walaupun setelah meninggal dunia. Contohnya seperti wakaf untuk pembinaan masjid, surau, madrasah, membina parit, telaga atau tali air untuk kegunaan orang ramai, dan menanam pokok buah-buahan lalu disedekahkan kepada makhluk Allah yang lain seperti manusia mahupun haiwan. Termasuk juga dalam amalan infak ialah mewakafkan mashaf al-Quran di surau atau masjid untuk kegunaan orang ramai. Semua peninggalan ini akan dinilai sebagai amalan jariah yang amat bernilai dan berharga yang boleh menjadi penyambung pahalanya di alam barzakh.

  1. Ilmu yang dimanfaatkan

Tugas mendidik atau mengajar ilmu kepada orang lain juga merupakan amalan yang sangat mulia di sisi agama. Sejarah memperlihatkan dakwah Rasulullah selama 23 tahun di Makkah dan Madinah dipenuhi dengan penyebaran ilmu yang melimpah ruah daripada Baginda kepada para sahabatnya. Apabila seseorang mengajarkan ilmu kepada orang lain dan kemudian orang itu mengajarkan pula kepada orang lain, itulah amalan yang amat bernilai dan dikira sebagai ilmu yang dimanfaatkan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, “Sesiapa yang menunjukkan satu kebaikan kepada orang lain, maka baginya pahala yang sama seperti yang diperoleh oleh orang yang membuat kebaikan itu.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis yang lain, Baginda bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang mengajak kepada petunjuk (kebaikan), baginya pahala seperti pahala yang diperoleh oleh orang yang mengikut kebaikan itu selepasnya dan tidak akan berkurangan pahalanya walau sedikit pun. Sesiapa yang mengajak kepada kesesatan, maka baginya dosa seperti dosa yang turut diperoleh oleh orang yang membuat dosa selepasnya dan tidak akan berkurangan dosa itu walau sedikit pun.” (Hadis riwayat Muslim).

Antara ilmu yang dapat dimanfaatkan termasuklah mengajar membaca, menulis, mengaji al-Quran dan apa-apa sahaja ilmu yang bermanfaat yang digunakan untuk tujuan kebaikan termasuk melalui dakwah, penulisan buku, dan sebagainya.

Maka itu, beruntunglah para guru, pendidik, pensyarah, guru agama, penceramah dan yang seumpama dengannya menjadi penyambung risalah kenabian menyebarkan ilmu kepada masyarakat tanpa mengenal erti penat lelah.

  1. Doa anak yang soleh

Menjadi kewajipan anak untuk memelihara ayah dan ibu sewaktu hayat mereka dan selepas kematian kedua-duanya. Tanggungjawab si anak adalah mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka di alam barzakh dan memohon kesejahteraan agar mereka ditempatkan bersama-sama golongan yang mendapat rahmat daripada Allah SWT. Dalam kitab al-Azkar, Imam al-Nawawi ada menyebut bahawa para ulama telah sepakat menyatakan bahawa orang yang hidup boleh berdoa kepada orang yang telah meninggal dunia dan doa tersebut sampai dan mendapat manfaat daripadanya.

Hal ini berdasarkan kepada firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Ansar) berdoa: wahai Tuhan kami, ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman terdahulu daripada kami.” (Surah al-Hasyr 59:10).

Ayat ini menjelaskan tentang doa orang Muhajirin dan Ansar kepada saudara mereka yang terlebih dahulu beriman daripada mereka. Jika doa tersebut dibolehkan, maka apatah lagi jika doa itu datangnya daripada seorang anak yang soleh buat arwah kedua ibu bapa mereka yang telah meninggal dunia.

  1. Ibadat atau amal kebajikan orang yang masih hidup (seperti anak atau waris) untuk mereka yang telah meninggal dunia.

Manfaat yang diperoleh oleh orang yang telah meninggal dunia tidak khusus hanya melalui doa anaknya yang soleh, malahan melalui amal kebajikan seperti puasa, haji dan sedekah untuk mereka yang telah meninggal dunia.

Dalam satu hadis daripada Abu Hurairah Rasulullah SAW telah ditanya oleh seorang sahabat “Bahawa sesungguhnya bapaku telah meninggal dunia dan meninggalkan hartanya, tetapi beliau tidak meninggalkan apa-apa wasiat, adakah boleh aku bersedekah harta tersebut bagi pihaknya? Jawab Baginda, ya boleh.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim, al-Nasai dan Ibn Majah).

Hadis lain daripada Aisyah r.anha bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang telah meninggal dunia dan didapati ada tertinggal ibadat puasa, maka walinya hendaklah berpuasa bagi pihaknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari).

Hadis daripada Ibn Abbas r.a. bahawa “seorang perempuan dari Juhainah datang kepada Nabi SAW dan berkata, ‘Ibuku telah bernazar untuk menunaikan haji, tetapi dia telah meninggal dunia, bolehkah aku melaksanakan ibadat haji bagi pihaknya?’ Nabi menjawab, ‘Ya boleh.’”

Berdasarkan fakta yang disenaraikan ini dapatlah dibuat kesimpulan bahawa rahmat dan kasih sayang Allah ke atas hamba-Nya teramat luas dan Dia masih memberikan peluang kepada seseorang hamba untuk terus menambah pahala walaupun setelah nyawa terpisah daripada badan. Sesungguhnya masuk atau tidaknya seseorang manusia ke dalam syurga bukanlah hanya sekadar banyak beramal semasa di dunia tetapi lebih bergantung kepada belas ihsan Allah SWT, dan di sinilah terletaknya kemurahan al-Khaliq terhadap makhluknya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.