27 Januari 2022, 21:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Melihat keperluan dan peri pentingnya memberikan pendedahan kepada masyarakat tentang ilmu fiqah bencana yang berlaku baru-baru ini, Jabatan Mufti Negeri Perlis telah menganjurkan Seminar Fiqh Bencana 2022 bertempat di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Perlis, di sini tengah hari tadi. Penganjuran seminar tersebut diharap dapat melahirkan masyarakat Perlis yang berkefahaman luas tentang isu agama.

Acara perasmian seminar tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Dalam titah perasmiannya, baginda berharap agar seminar tersebut dapat menjadi wadah untuk menyebarkan ilmu tentang isu fiqah berkaitan dengan bencana alam, termasuklah perkara ibadat seperti hukum-hakam pelaksanaan solat ketika bencana dan juga permasalahan muamalat seperti hukum mengambil hak orang lain atas dasar darurat, menjumpai barangan berharga hak milik orang lain dan hukum membersihkan rumah ibadat bukan Muslim.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika merasmikan Seminar Fiqh Bencana di Kangar tengah hari tadi.

“Seminar ini dapat memberikan pendedahan dan penambahan ilmu kepada pihak bertanggungjawab. Para penjawat awam yang terlibat dengan bencana seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan seumpamanya juga perlu mengetahui beberapa hal berkenaan dengan hukum-hakam agama ketika mengurus bencana. Hal ini juga penting kepada para guru agama dalam usaha menyalurkan maklumat ini kepada orang awam seperti di masjid dan di sekolah,” titah baginda.

Pada majlis tersebut, Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan melancarkan Tabung Bencana yang merupakan inisiatif Jabatan Mufti Negeri bagi mewujudkan budaya tolong-menolong yang memerlukan sokongan dan dokongan semua pihak dengan matlamat agar setiap rakyat dapat menyumbang kepada mereka yang memerlukan semasa menghadapi bencana.

Ahli panel yang diundang dalam seminar tersebut ialah Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Ustaz Hisyam Mohd Radzi dan Dr. Muhammad Fathullah Al-Haq Muhamad. Sementara itu, forum bertajuk “Bencana: Antara Azimah dan Rukhsah” pula disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Ustaz Hisyam Mohd Radzi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.