14 Januari 2022, 18:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau- Kelas Centre of Sunnah atau Markas As-Sunnah An-Nabawiyyah di Masjid Lama Arau telah dibuka semula selepas terpaksa ditangguhkan ekoran fenomena pandemik COVID-19 yang melanda dunia. Kelas ini dilaksanakan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis bertujuan untuk pengajaran ilmu Turath Islam yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat. Kelas ini berlangsung dalam dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Arab bermula pada 11 Januari 2022 pada setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Pembukaan semula kelas Centre of Sunnah ini telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Timbalan Mufti Negeri, Sahibul Fadhilah Haji Tajul Urus Abdul Halim. Turut hadir bersama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Masjid Lama Arau telah dibaiki semula oleh pihak MAIPs. Masjid ini telah lama didirikan semenjak zaman pemerintahan Almarhum Raja Syed Ahmad Jamalullail sekitar tahun 1873 hingga 1897. Kerja pembinaan Masjid Lama Arau ini melibatkan tukang yang berkemahiran dalam kalangan orang Arab dan orang Melayu yang diberikan tanggungjawab untuk membina Masjid Lama tersebut.

Terdahulu daripada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs berkenan menyampaikan zakat MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih bagi kariah Arau 1 yang diserahkan melalui amilnya, Abu Bakar Mahmud untuk diagihkan.

Tuanku Raja Muda kemudiannya berkenan mengetuai program Kayuhan MAIPs Peduli Khas COVID Bilangan ke-3 bagi tahun 2022 dan menyantuni serta menyampaikan sumbangan MAIPs kepada tiga orang asnaf terpilih di rumah masing-masing.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.