Oleh Deeya Aqilah
10 Disember 2021, 23:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Bersempena program MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke-53 bagi tahun 2021, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan berangkat menyerahkan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada tiga orang asnaf, iaitu Zailudin Bidin, Udoh Kassim dan Norqairil Adzhar. Masing-masing menerima agihan zakat MAIPs bernilai RM700 tunai, “Kit MAIPs Peduli” dan beras fidyah daripada baginda di rumah masing-masing.

Dalam pada itu, peserta yang mengiringi baginda telah berganding bahu untuk mengadakan gotong-royong bagi membantu membersihkan kawasan pekarangan sebuah daripada rumah yang diziarahi tersebut.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyerahkan sumbangan agihan zakat kepada asnaf di Kangar.

Dalam titah baginda, Tuanku Raja Muda menekankan peri pentingnya kebersihan dan menyeru rakyat supaya sama-sama bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan alam sekitar.

Perbuatan meninggalkan sampah di kawasan rekreasi dan melupuskan sisa buangan dengan sesuka hati menunjukkan kedangkalan akal fikiran golongan tersebut dalam masyarakat. Sikap ambil mudah dengan membuang sampah merata-rata dan menganggap sampah individu akan diuruskan oleh pihak lain semata-mata juga adalah sikap yang amat tidak bertanggungjawab.

Sebagai ahli masyarakat yang mendokong aspirasi “Perlis Hebat! Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama dalam Tindakan”, baginda amat berharap agar kempen “Rakyat Perlis Hidup Bersih” dan “Masyarakat Perlis Madani Berperaturan” dapat dijayakan oleh semua pihak dengan sikap penuh bertanggungjawab dan bersungguh-sungguh selari dengan matlamat pencapaian “Perlis Negeri Bandaraya Pintar 2030”.

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!