28 November 2021, 10:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

ARAU – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyifatkan etika sebagai prinsip bertingkah laku yang dapat mengawal seseorang individu atau sesebuah profesion. Oleh hal yang demikian, etika juga dapat dianggap sebagai satu “standard” bagi tingkah laku.

Menurut Raja Muda Perlis, istilah etika dalam kalangan teknokrat atau pakar merujuk isu “standard moral” yang melibatkan para teknokrat ataupun pemimpin yang dapat membantu untuk meningkatkan lagi integriti profesion kakitangan sesebuah organisasi.

Dalam sesebuah organisasi, etika amat berperanan untuk menentukan kestabilan organisasi berkenaan. Etika juga dapat memelihara nilai-nilai murni organisasi dengan sikap bertanggungjawab dan prihatin terhadap kebajikan warganya. Etika dapat memantapkan kestabilan organisasi, seterusnya mempertingkatkan lagi produktiviti, kredibiliti dan reputasi, serta menjamin perkembangan yang berterusan dalam kalangan kakitangan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid Al Barakah, Jelempok, Arau, semalam. Masing-masing menerima RM700 setiap seorang yang akan diagihkan oleh amil kariah, Encik Zainol Ahmad.

Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf, Hartanah dan Mal Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs); Encik Mohd Nazri Mat Rejab dan Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs; Tuan Syed Aisam Syed Idris Alhabshe.

Semasa bertitah tentang etika dalam organisasi, Tuanku Raja Muda Perlis menyimpulkan bahawa etika menjadi amat penting apabila seseorang berhadapan atau mengendalikan tatacara kehidupan manusia, terutamanya ketika menguruskan individu, keluarga, organisasi dan masyarakat bagi memastikan kesejahteraan dan kebahagiaan itu dapat dikekalkan.

“Oleh itu, kepentingan etika ini dapat dilihat dalam konteks sejagat, iaitu melalui individu, keluarga, organisasi dan juga masyarakat,” jelas tuanku.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.