27 November 2021, 22:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Mutakhir ini, terdapat segelintir pengguna media sosial yang tidak beradab kerana menunjukkan sikap tidak menghormati pemimpin disebabkan mereka tidak bersetuju atau tidak sehaluan dengan keputusan yang telah dibuat oleh pemimpin tersebut. Hal ini jelas dapat diperhatikan pada ruangan komen dalam media sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Sesetengah komen tersebut berunsur cacian dan makian terhadap pemimpin tertentu. Lebih teruk lagi, terdapat juga komen yang jelas menunjukkan rasa kebencian sehingga sanggup membatasi kemurnian ajaran agama dengan mendoakan keburukan dan mengharapkan malapetaka menimpa pemimpin yang mereka tidak sukai.

Persoalannya, adakah Islam membenarkan umatnya mencaci maki secara terbuka mahupun tertutup, dan mendoakan keburukan serta mengharapkan malapetaka menimpa pemimpin yang tidak disukai? Tentu sahaja tidak, kerana Islam amat menitikberatkan tentang pengamalan akhlak mulia dalam kehidupan harian umatnya, termasuklah menghormati pemimpin meskipun mereka tidak bersetuju dengan kepimpinan pemimpin tersebut. Baginda Rasulullah SAW sendiri mengingatkan umatnya agar sentiasa menghormati pemimpin meskipun tidak menyukai corak kepimpinan pemimpin tersebut. Baginda juga turut menegah dan melarang umatnya mencaci maki, apatah lagi mendoakan keburukan dan mengharapkan malapetaka menimpa seseorang pemimpin.

Oleh hal yang demikian, jelas bahawa Islam mengangkat tinggi dan memuliakan para pemimpin dalam kalangan rakyat kerana pemimpin merupakan faktor utama penggerak kelangsungan dalam sistem sosial masyarakat. Tanpa adanya pemimpin, sudah tentu akan berlakunya kekacauan, bahkan mungkin berlaku perebutan kuasa antara ahli masyarakat kerana ingin menjadi ketua dalam komuniti masing-masing. Oleh sebab itu, pentingnya dalam sesuatu komuniti mempunyai pemimpin yang akan bertindak sebagai ketua untuk mengetuai segala perancangan pembangunan demi kelangsungan sistem sosial masyarakat agar lebih sistematik dan adil. Beberapa catatan sejarah ketamadunan dunia membuktikan bahawa perkembangan sesebuah tamadun amat bergantung pada kebijaksanaan pemimpin dan rakyatnya.

Tidak dinafikan bahawa setiap individu memiliki hak kebebasan untuk bersuara. Akan tetapi, hak kebebasan bersuara ini tidak sepatutnya diterjemahkan dengan kebebasan yang melampau sehinggakan berani menulis komen mencaci maki, apatah lagi mendoakan sesuatu keburukan terhadap pemimpin yang tidak disukai sama ada secara jelas mahupun tidak.

Sekiranya kita tidak bersetuju atau tidak sehaluan dengan keputusan yang telah diputuskan oleh pemimpin tertentu, tidak sepatutnya kita bertindak melampaui batas kebebasan bersuara dengan mencaci maki pemimpin dalam media sosial kerana hal tersebut merupakan perbuatan yang jelas tidak beradab dan ditegah dalam ajaran Islam. Malah, perbuatan tersebut juga terkeluar daripada norma kebudayaan masyarakat Melayu yang cukup terkenal dengan ketinggian nilai sopannya apabila berbicara dan santunnya apabila bersua.

Dalam pada itu, seharusnya kita memahami bahawa amanah dan tanggungjawab menjadi seorang pemimpin bukanlah semudah yang kita sangkakan. Boleh jadi apa-apa yang mereka rancangkan itu tidak mendatangkan manfaat kepada diri kita, tetapi mendatangkan manfaat kepada orang lain yang memerlukan. Sentiasalah kita berlapang dada dengan setiap perancangan dan keputusan yang telah dibuat oleh para pemimpin. Bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin utama dalam sesebuah negara kerana perlu berlaku adil dan saksama terhadap setiap rakyatnya agar semua rakyat dapat menerima manfaat yang sama. Oleh sebab itu, para pemimpin memerlukan sokongan daripada rakyat agar segala gagasan yang telah dirancangkan dapat berjalan dengan jaya, seterusnya dapat dinikmati manfaatnya oleh semua pihak secara adil dan saksama.

Sehubungan dengan itu, jika kita tidak bersetuju dengan sesuatu keputusan ataupun gagasan yang dibuat oleh seseorang pemimpin, jangan pula memberikan komen yang menghina, sebaliknya berilah komen yang membina agar dapat memberikan manfaat kepada masyarakat yang lain. Alangkah baiknya jika kita menggunakan saluran yang betul yang telah disediakan oleh pihak kerajaan bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada rakyat untuk pembangunan negara.

Pemimpin dan rakyat saling memerlukan antara satu sama lain demi kesejahteraan negara.

Semua orang mempunyai hak untuk bersuara bagi memberikan pendapat dan pandangan demi mengubah masa depan negara. Cuma ramai antara kita yang tidak menggunakan hak bersuara pada saluran yang betul, sebaliknya meluahkan perasaan tidak puas hati dengan membangkitkan propaganda kebencian terhadap pemimpin tertentu melalui media sosial hanya kerana tidak tercapai perkara yang diinginkan.

Tidak dinafikan terdapat juga segelintir pemimpin yang bersikap tidak amanah dan tidak bertanggungjawab terhadap kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat kepadanya dengan melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat dan undang-undang negara seperti terlibat dalam rasuah dan pecah amanah. Walaupun begitu, kesalahan tersebut tetap tidak membolehkan untuk kita mencaci maki atau mendoakan keburukan bagi mereka kerana siapalah kita untuk menghukum mereka. Seelok-eloknya perkara tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa dan pengamal undang-undang untuk mengadili dan menghukum.

Justeru, kejayaan pembangunan sesebuah negara tidak hanya bergantung sepenuhnya pada kebijaksanaan para pemimpin negara, malah amat bergantung pada kematangan rakyat dalam bersuara serta kesediaan untuk bekerjasama dengan para pemimpin untuk membangunkan negara. Bak kata cerdik pandai, “tanpa rakyat siapalah pemimpin, tanpa pemimpin siapalah rakyat”. Hal ini bermaksud hubungan pemimpin dan rakyat tidak boleh dipisahkan. Dalam erti kata lain, kekuatan dan kemegahan sesebuah negara terletak pada kesediaan rakyat dan para pemimpin bekerjasama membangunkan negara. Oleh sebab itu, rakyat yang mahukan pembangunan negara yang baik seharusnya sentiasa berfikiran matang dan menghormati pemimpin meskipun gagasan ataupun keputusan yang telah mereka tetapkan itu tidak memihak pada kehendak dan keinginan mereka, sebaliknya memihak pada kehendak orang yang lebih memerlukan.

Kesimpulannya, keutamaan menghormati pemimpin bukanlah keperluan tetapi kewajipan bagi setiap rakyat terhadap pemimpinnya. Rakyat merupakan nadi dalam kepimpinan negara. Kematangan rakyat dalam bersuara dan jalinan erat kerjasama rakyat dengan pemimpin tentu sahaja akan melancarkan segala perancangan dan gagasan yang telah dirancangkan oleh para pemimpin.

Kesannya kelak akan kembali kepada kita juga sebagai rakyat yang akan merasai manfaatnya seperti peningkatan kebajikan kesihatan, peningkatan inisiatif pendidikan kepada semua golongan, ekonomi yang semakin pulih, peluang pekerjaan kepada rakyat, menarik minat pelabur asing melabur di dalam negara dan penurunan kadar kemiskinan rakyat. Oleh sebab itu, kita hendaklah bersyukur dengan barisan kepimpinan negara yang sentiasa prihatin akan kesusahan rakyat ekoran pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Hai orang yang beriman, taatilah Allah dan rasul (Nya), dan pemimpin antara kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah terhadap sesuatu, maka kembalikanlah hal tersebut kepada Allah (al-Quran) dan rasul (sunah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”. (Surah al-Nisa’ 4:59).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.