8 November 2021, 09:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

ARAU – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyerahkan sumbangan daripada Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) berjumlah RM21 000 kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah Masjid As Sobirin Kampung Gial, Arau semalam. Masing-masing akan menerima RM700 setiap seorang, dan akan diagihkan oleh amil kariah, Encik Azli Jam.

Turut hadir mengiringi keberangkatan baginda ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (AMMK) Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Puan Siti Berenee Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif  MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Ketika menyampaikan titah ucapan selepas majlis tersebut, baginda memberikan penekanan tentang peri pentingnya sifat malu yang dapat menzahirkan akhlak dan budi pekerti mulia dalam pandangan alam Melayu.

Raja Muda Perlis ketika menyampaikan titah ucapan selepas majlis penyerahan sumbangan kepada asnaf terpilih di Arau, semalam.

Sifat malu dalam masyarakat Melayu mempunyai kedudukan sebagai mekanisme pembendung diri daripada melakukan tingkah laku yang tidak baik, sebagai kesantunan dan lambang kehidupan bermoral, serta sebagai maruah dan kehormatan diri dan bangsa.

“Sifat malu membawa dua makna, iaitu sama ada baik (positif) atau buruk (negatif). Sisi negatif sifat malu sering dianggap sebagai antara faktor penyebab masyarakat bersikap pasif, pendiam, rendah diri, tidak asertif dan tiada keberanian diri. Sifat malu yang positif pula berkaitan dengan tingkah laku yang sopan sehingga dapat memelihara martabat kemanusiaan dan kehormatan bangsa.

Tambah Tuanku Raja Muda lagi, sifat malu juga merupakan satu daripada warisan sifat keperibadian sosial masyarakat Melayu yang harus dikekalkan dan terus dipupuk. Konsep malu merangkumi sistem nilai kepercayaan dan kekuatan orang Melayu. Sebagai cerminan kehidupan sesebuah bangsa, malu juga merupakan satu daripada kerangka akhlak masyarakat Melayu kerana sifat ini mempunyai perkaitan yang rapat dan kesepaduan dengan konsep lain, iaitu akal, ilmu, hati (qalb), agama, adab dan juga bahasa.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah lima orang mangsa yang ditimpa bencana ribut baru-baru ini dari sekitar kariah berkenaan yang turut menerima sumbangan MAIPs daripada baginda untuk tujuan membaiki bumbung rumah.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.