24 Oktober 2021, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –Tidak sempurna iman seseorang Muslim sehinggalah dia mencintai Rasulullah SAW lebih daripada segala-galanya. Kecintaan tersebut bukan hanya setakat dizahirkan melalui kata-kata, bahkan lebih besar daripada itu seluruh hal yang berkaitan dengan Rasulullah SAW, termasuk sifat dan peribadi Baginda perlu dihayati dan dijadikan contoh yang terbaik dalam kehidupan seharian.

Hal ini disampaikan oleh Ustaz Salman Maskuri dalam ceramah agama bulanan yang bertajuk “Rasulullah Ikutanku” menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pagi tadi.

“Rasulullah SAW telah menghabiskan masanya untuk kita semua, maka kita perlu membalas kehidupan kita untuk Baginda. Baginda sanggup mengetepikan kesenangan dunia bagi memastikan risalah Islam ini sampai kepada kita,” katanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud,  “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang yang beriman”. (Surah al-Taubah 9:128).

Ayat ini membawa maksud bahawa Allah SWT tidak menghantar utusan daripada kalangan malaikat atau makhluk yang pelik, tetapi daripada kalangan manusia supaya kita mudah mendekati, menyayangi dan hidup bersama-sama dengannya.

Rasulullah SAW sentiasa mahu pastikan umat Baginda mampu melaksanakan segala suruhan Allah SWT dengan baik dan tidak terbeban dengan bebanan syariat. Oleh itu, pelbagai keringanan (rukhsah) diberikan kepada umat Baginda.

Dalam suatu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Kalau tidak kerana takut menyusahkan umatku, pasti akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali solat”. (Hadis riwayat al-Bukhari).

Ustaz Salman berkata, umat Nabi Muhammad sangat beruntung kerana menjadi penutup segala umat yang ada di dunia ini, dan menjadi umat yang paling banyak mendapat syafaat Baginda.

“Di dunia ini kita yang terakhir, tetapi di akhirat kita menjadi yang terawal. Kita yang paling banyak mendapat syafaat di akhirat nanti,” katanya.

Allah SWT telah memperuntukkan doa khusus bagi para nabi untuk mereka meminta apa-apa sahaja, tetapi Rasulullah SAW tidak menggunakan kelebihan tersebut kerana Baginda mahu menyimpannya untuk umat Baginda pada hari akhirat nanti. Hal ini menggambarkan bahawa tiada yang lebih penting bagi Rasulullah SAW melainkan umat Baginda.

Rasulullah SAW juga telah diberikan dua pilihan, sama ada mahu separuh umatnya berada di dalam syurga, atau mendapatkan syafaat bagi umatnya dalam kalangan pendosa. Baginda telah memilih syafaat kerana mahu umatnya yang berdosa juga dapat memasuki syurga. Begitulah besarnya jasa dan pengorbanan Rasullah SAW kepada umatnya pada hari akhirat kelak.

Menurut Ustaz Salman, bulan Rabiulawal juga merupakan bulan untuk umat Islam memperingati hari kewafatan Rasulullah SAW.

“Kita sudah tidak boleh berjumpa dengan nabi, tetapi perasaan yang ada di dalam hati kita mesti sama dengan perasaan orang ada bersama-sama nabi dan kehilangan nabi, iaitu dari segi kerinduan, kepiluan, kesedihan, dan sebagainya.

“Apabila disebutkan kepada mereka nama Muhammad, mereka sangat sebak, sedih dan pilu. Inilah yang perlu kita tanam di dalam hati kita kerana Bagindalah segala-galanya bagi hidup kita. Baginda telah memperjuangkan hidupnya untuk memastikan umatnya selamat daripada neraka. Walaupun tidak berjaya semuanya, tetapi Baginda mendapat hasil yang cukup banyak,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.