1 Oktober 2021, 15:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PUTRAJAYA – Buat pertama kalinya, Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia diadakan secara dalam talian disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda negara. Jika pada tahun lepas Multaqa Jawatankuasa Fatwa berlangsung selama tiga hari, namun pada kali ini persidangan secara maya ini hanya berlangsung selama setengah hari sahaja, iaitu dari pukul 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Walau bagaimanapun, situasi ini tidak menjadi halangan untuk kita terus memartabatkan institusi fatwa di negara ini. Multaqa yang bertemakan “Merealisasi Revolusi Pendigitalan Fatwa di Malaysia” ini disiarkan melalui Facebook Langsung Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 30 September 2021.

Perasmian Multaqa 2021 dimulakan dengan ucaptama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bahawa usaha ke arah pendigitalan sangat membantu masyarakat untuk mengakses informasi dengan lebih mudah dan tepat.

“Pendigitalan fatwa sebagai medium transformasi teras ilmu Islam yang mengintegrasikan ilmu fiqah dengan teknologi moden dapat memberikan manfaat besar kepada umat Islam,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Tuan Haji Idris Haji Ahmad ketika menyampaikan ucaptama sekali gus merasmikan Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia secara maya semalam.

Beliau menyeru supaya semua pihak terutama institusi fatwa supaya berganding bahu membangunkan penyelidikan bagi menangani pelbagai isu agama yang timbul dalam kalangan masyarakat.

“Institusi kefatwaan memerlukan perekayasaan metode dan pendekatan untuk menangani cabaran dunia semasa demi menjamin institusi ini kekal dihormati dan dijadikan sebagai sumber rujukan agama yang berwibawa dan dipercayai,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa tema yang dipilih pada tahun ini adalah sebagai menyahut titah utama diraja Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbudin Shah Al-Maghfur-Lah pada multaqa tahun lalu. Tema ini juga sigifikan dengan masyarakat kita pada masa ini.

Sesi tausiyah disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman Abdullah dengan tajuk “Mensejahterakan Kehidupan Bersama Teknologi”. Selain itu, dua orang ahli panel yang diundang ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee yang membentangkan kertas kerja bertajuk “Pengurusan Fatwa dalam Mendepani Revolusi Industri 4.0”, dan Mufti Negeri Sarawak, Sahibus Samihah Datu Haji Kipli Haji Yassin yang membentangkan kertas kerja yang bertajuk “Pembudayaan Digital dalam Pengurusan dan Pentadbiran Kefatwaan”.

Semoga penganjuran Multaqa Jawatankuasa Fatwa Seluruh Malaysia yang diadakan pada setiap tahun ini akan terus memartabat dan memperkasakan institusi fatwa di negara kita. Multaqa seperti ini penting untuk memperkaya hasil kajian dan penyelidikan, data terkini, serta fakta yang tepat tentang aspek kefatwaan.

Bukan itu sahaja, penganjuran multaqa ini juga dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan yang ada dalam aspek pentadbiran dan pengurusan kefatwaan, seterusnya mampu memperbaik segala kekurangan agar institusi fatwa terus kekal unggul dan dihormati oleh segenap lapisan masyarakat.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.