25 September 2021, 14:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Erti kemerdekaan yang sebenar dalam Islam adalah apabila seseorang itu mendapat nikmat Islam dan iman, iaitu kalimah Lailahaillallah Muhammad Rasulullah. Sebagai umat Islam, nikmat tersebut hendaklah dijaga dan dipelihara agar kita merdeka daripada neraka dan kemurkaan Allah SWT.

Maka itu, kita hendaklah sentiasa bermohon dan berdoa supaya hati kita tidak dibolak-balikkan setelah diberikan hidayah oleh Allah SWT, kerana hidayah itu milik mutlak Allah SWT, dan Dia berhak untuk memberikan kepada sesiapa jua yang dikehendaki-Nya.

Selain itu, kunci untuk memelihara iman juga adalah dengan cara mengikuti bimbingan dan panduan daripada orang yang dikurniakan hidayah oleh Allah SWT, iaitu para ulama yang rabbani. Hal ini dikatakan demikian kerana selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW lebih 1400 tahun yang lalu, para ulama inilah yang telah menyambung dakwah nabi membimbing umat Islam.

Demikian inti pati ceramah bertajuk “Membina Jiwa Merdeka Tatkala Era Gelora” yang disampaikan oleh Ustaz Mohamad Wadi Annuar Ayub yang disiarkan melalui Facebook Langsung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pagi tadi.

Menurut Ustaz Wadi Annuar, antara doa yang perlu selalu diamalkan untuk memelihara iman dan mengikat erti kemerdekaan sebenar dalam diri seseorang Muslim termasuklah firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 8 yang bermaksud, “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau jadikan hati kami menyimpang daripada kesesatan setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu kerana sesungguhnya Engkau Maha Pemberi (kurnia)”.

Begitu juga doa daripada hadis yang riwayat al-Tirmidzi yang bermaksud, “Wahai Tuhan yang membolak-balikan hati, teguhkanlah hatiku pada pada agama-Mu”.

Oleh itu, bagi memastikan kita merdeka selama-lamanya daripada kemurkaan Allah, maka kita perlu mengikut manhaj atau pendekatan yang diperkenalkan oleh para ulama Islam dan menjadikan Allah tujuan sebenar kehidupan kita.

“Apa-apa sahaja yang dilakukan hendaklah diniatkan kerana Allah SWT. Kedudukan dan jawatan kita bukanlah penentu untuk seseorang itu menjadi ahli syurga atau ahli neraka, tetapi niat dan amalan kita. Orang yang sentiasa meletakkan Allah di hadapan, maka tidak ada kuasa yang dapat menggangu gugat mereka,” katanya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.