10 September 2021, 13:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Pandemik COVID-19 yang melanda negara ketika ini telah memberikan cabaran yang besar kepada warga pendidik yang terpaksa berdepan dengan kebiasaan baharu pembelajaran, iaitu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). Kedengaran rungutan mereka tentang bebanan tugas yang semakin banyak dan pelbagai masalah lain yang berkaitan dengan pelaksanaan PdPR.

Sehubungan dengan itu, Pensyarah Jabatan Perancangan, Penyelidikan dan Inovasi (JPP), Institut Perguruan Kampus Sultan Mizan (IPGKSM) menasihati warga pendidik supaya bijak mengawal emosi mereka kerana emosi yang tidak terkawal akan merosakkan diri sendiri yang secara tidak langsung akan menjejaskan pembelajaran murid.

“Paling utama kita sebagai pendidik harus bersyukur kerana masih ada orang yang lebih susah di luar sana. Selalulah bersangka baik dengan Allah kerana Allah tidak akan memberikan ujian melainkan mengikut kemampuan hamba-Nya. Kesusahan yang Allah datangkan pada hari ini adalah untuk menguatkan kita pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program “Bicara Pendidik: Pengurusan Emosi dan Kesejahteraan Warga Pendidik Semasa Pandemik COVID-19” yang disiarkan melalui Facebook Langsung Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.

Beliau mengingatkan warga pendidik bahawa tugas mereka merupakan satu ibadat. Setiap kerja yang dilakukan sehari-hari menjadi ibadat jika diniatkan kerana Allah SWT. Apatah lagi kerjaya sebagai guru kerana tugas mereka ingin membentuk jiwa dan nurani murid. Berjayanya seorang murid adalah hasil daripada seorang pendidik (second layer frontliner).

“Ujian pandemik ini Allah datangkan pada ketika yang baik. Bayangkan jika pandemik ini berlaku pada tahun 2010. Ketika itu kita belum maju lagi dari segi teknologi. Jadi bagaimana kita hendak belajar? Allah bagi ujian kepada kita mengikut kemampuan kita pada masa tersebut.

“Walaupun kita diuji, tetapi pada masa ini kita sudah ada kemahiran dari segi teknologi seperti Google Meet dan Zoom Meeting. Sekarang ramai guru telah jadi Youtuber untuk kelangsungan pelajar di seluruh Malaysia. Usaha yang dibuat bukan untuk anak murid sendiri sahaja, bahkan supaya lebih ramai lagi murid yang akan dapat manfaat.

“Oleh itu, guru tidak boleh menjadikan ‘kejahilan’ tentang teknologi maklumat sebagai penghalang bagi mereka untuk memberikan ilmu yang terbaik untuk anak murid,” tambah beliau.

Untuk mengawal stres atau tekanan perasaan, beliau menasihati warga pendidik supaya selalu beristighfar dan berzikir kerana dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang”. (Surah al-Ra‘d 13:28).

“Buang masalah mental ke tepi supaya kita boleh mendidik anak murid menjadi lebih kuat daripada semalam. Pengakhiran kita adalah kembali kepada Allah SWT. Perkara paling penting apabila Allah tanya apakah tanggungjawab kita, maka ketika itu tanggungjawab kita telah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Semoga kita menjadi warga pendidik yang boleh membentuk anak murid, dan pada masa yang sama kita boleh membentuk diri sendiri supaya menjadi contoh dan teladan kepada mereka semua,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.