Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKangar – Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Profesor Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Dr. Maza), baru-baru ini mengingatkan umat Islam supaya berwaspada terhadap fitnah besar yang sedang melanda di media sosial.
“Jika dahulu, terdapat golongan manusia yang sanggup bertarung untuk berebut wilayah, tetapi sekarang terdapat golongan manusia yang berebut-rebut mencari pengaruh dan kedudukan di media sosial. Situasi cinta akan kemasyhuran sedang dilalui sekarang. Keadaan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja,” katanya.
Dr. Maza mengambil contoh, berita tentang aktiviti derma atau sumbangan terus dimasukkan ke dalam media sosial semata-mata untuk mendapatkan tanda “suka” daripada netizen. Hatta, sembahyang tahajud yang sepatutnya dibuat secara bersembunyi pun kini dibuat secara langsung di media sosial.
Katanya, adakah amalan bersedekah perlu diumumkan kepada orang ramai? Dalam al-Quran dinyatakan, jika sekiranya kamu menzahirkan sedekah kamu, itu tidak mengapa, tetapi sekiranya kamu menyembunyikannya dan memberikan sedekah kepada yang berhak, itu adalah yang terlebih baik bagi kamu.
“Sekiranya kita menzahirkan sedekah dengan niat kerana Allah Taala dan menjadi contoh ikutan kepada orang lain, itu adalah baik tetapi sekiranya kamu menyembunyikan sedekah, itu adalah terlebih baik. Cuma risiko apabila seseorang itu menzahirkan sedekah, dikhuatiri akan menimbulkan rasa tidak ikhlas,” katanya lagi.
Daripada Abu Hurairah r.a. dalam Sahih Muslim bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Terdapat tiga golongan yang membuat amalan agama yang dipanggil oleh Allah di akhirat kelak, iaitu orang yang mati syahid, yang membaca al-Quran dan yang bersedekah”.
Ketika sesi soal jawab di akhirat, bagi orang yang suka bersedekah ini, Allah menempelak mereka dengan firman-Nya yang bermaksud, “Sesungguhnya kamu berbohong, kerana kamu bersedekah bukan kerana-Ku tetapi untuk menerima pujian manusia dan digelar sebagai pemurah.”
Disebabkan amalannya itu, wajah lelaki tersebut disentap dan tubuhnya dicampak ke dalam api neraka.
“Oleh sebab itu, bagi mereka yang suka menderma dan bersedekah dengan tujuan yang baik seharusnya membetulkan niatnya supaya tidak disalah tanggap sebagai mencari populariti semata-mata,” demikian menurut Dr. Maza lagi.