15 Julai 2021, 13:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) mengambil maklum dan menyambut baik keputusan kerajaan untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu berbangkit berkaitan dengan TH dari tahun 2014 hingga 2020.

Hal itu lanjutan daripada pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa mesyuarat Jemaah Menteri semalam bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) bagi menyiasat isu-isu berkaitan dengan TH hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Dato’ Sri Amrin Awaluddin dalam kenyataannya berkata, TH akan memberikan kerjasama penuh kepada suruhanjaya tersebut berdasarkan lunas-lunas perundangan.

“TH berpendapat bahawa hasil siasatan dan pandangan daripada RCI kelak dapat membantu TH menambah baik dari segi pengurusan dan aspek tadbir urus.

“Aspek tadbir urus, integriti dan reputasi TH sebagai institusi simpanan kewangan Islam amat penting bagi memastikan keyakinan dan kepentingan orang ramai terjamin khususnya para pendeposit.

“TH telah dan sentiasa berusaha untuk melaksanakan proses penambahbaikan terhadap operasi dan urus tadbirnya demi kepentingan pendeposit,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, penubuhan RCI tersebut merupakan tanda komitmen kerajaan bagi memastikan segala pengurusan dan pentadbiran Lembaga Tabung Haji berada pada landasan yang tepat, berintegriti dan sudah pasti mendapat reda Allah SWT.

“Terima kasih atas cadangan dan buah fikiran sahabat-sahabat kami daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang. Semua usul akan diteliti sebaiknya. Sesungguhnya institusi kebanggaan umat Islam di Malaysia ini adalah hak bersama dan kita akan pastikan institusi tersebut akan terus terpelihara,” katanya.

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.