12 Julai 2021, 19:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Pada tahun lalu, kita semua dikejutkan dengan penularan wabak penyakit dikenali sebagai COVID-19. Penyakit yang dikatakan kali pertama dikenal pasti di Wuhan, China ini merebak ke seluruh pelosok dunia, termasuk Makkah dan Madinah.

Berdasarkan sumber yang dikeluarkan oleh akhbar Saudi Gazzete, Kerajaan Arab Saudi menerusi badan yang bertanggungjawab berkaitan dengan ibadat haji, iaitu Kementerian Haji dan Umrah mengumumkan ibadat haji akan diadakan pada tahun ini mengikut syarat kesihatan dan keselamatan khas berikutan pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir.

Namun begitu, pelaksanaan ibadat haji pada tahun ini bukan sahaja dikuatkuasakan mengikut piawaian dan peraturan kesihatan, keselamatan dan peraturan sedia ada, malah akan dipertingkatkan bagi menjaga kesihatan serta kesejahteraan jemaah yang datang dari seluruh dunia.

Pada tahun lalu, pihak berkuasa Arab Saudi berjaya mengendalikan ibadat haji mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan mendapat pujian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Mereka memuji usaha dan inisiatif yang dilakukan oleh kerajaan Arab Saudi bagi memastikan garis panduan dan protokol ibadat haji tahun ini dipatuhi berikutan penularan pandemik COVID-19 masih belum berakhir.

Menurut jurucakap WHO, Dr Tedros Ghebreyesus, mereka juga turut memuji langkah dan pengurusan yang dikendalikan oleh kerajaan Arab Saudi bagi memastikan ibadat haji dapat dilaksanakan dengan selamat dan teratur. Hal ini terbukti apabila lebih kurang 10 ribu jemaah bergerak dari Arafah untuk bermalam di Muzdalifah sebelum bergerak ke Mina bagi melontar jamrah dalam keadaan yang penuh berdisiplin mengikut garis panduan kesihatan yang telah ditetapkan.

Ibadat haji pada tahun lalu menyaksikan pelaksanaannya dilakukan pada skala lebih kecil, iaitu hanya sekitar 10 ribu Jemaah. Jumlah ini jauh lebih kecil berbanding dengan jumlah 2.5 juta jemaah dari seluruh dunia pada tahun sebelumnya.

Institusi kesihatan di Arab Saudi dikhabarkan akan terus menilai keadaan semasa COVID-19 dan mengambil langkah yang perlu untuk menjaga kesihatan seluruh umat manusia yang bergelar duyuf al-Rahman.

Secara tidak langsung, hal ini memberikan gambaran jelas bahawa garis panduan ketat boleh dilaksanakan oleh sesebuah negara untuk menerima pakai kebiasaan baharu termasuklah dalam upacara keagamaan seperti ibadat haji yang dilaksanakan oleh umat Islam pada setiap tahun.

Rukun Islam Kelima

Ibadat haji merupakan rukun Islam kelima bagi mereka yang berkemampuan dan cukup syaratnya. Hukum melaksanakan ibadat ini wajib hanya sekali seumur hidup. Ibadat haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Dari segi istilah pula bermaksud,  mengunjungi Baitullah (Kaabah) pada masa-masa tertentu (bulan haji, yakni Zulhijah) serta melaksanakan perkara yang wajib bagi ibadat haji.

Baitullah yang terletak di dalam Masjidilharam merupakan destinasi impian bagi setiap umat Islam.

Allah SWT berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud “(Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri, dan tidak boleh membuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haji.”  (Surah al-Baqarah 2:197)

Ibadat ini haruslah dilaksanakan mengikut ketetapan dan panduan yang telah ditetapkan oleh syarak. Allah SWT juga menetapkan ibadat ini hanya diwajibkan bagi mereka yang berkemampuan (istita‘ah). Hal ini berdasarkan perintah Allah SWT yang bermaksud “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” (Surah Ali Imran 3:97).

Istita’ah dalam Ibadat Haji

Menurut Imam Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat ini mengatakan bahawa istita‘ah (kemampuan) ialah kemampuan seseorang dari sudut (mengerjakan haji) untuk dirinya dan orang lain. Oleh itu, aspek berkemampuan yang dimaksudkan pada firman Allah SWT ini bukanlah berdasarkan kekuatan jasmani semata-mata. Hal ini dikatakan demikian kerana Allah SWT tidak pernah membebankan hamba-Nya melainkan dia mampu untuk menunaikan sesuatu perintah.

Syeikh Abdul Azim Badawi dalam kitabnya al-Wajiz fi Fiqhi al-Sunnah wa al-Kitab al-‘Aziz membahagikan istita’ah (kemampuan) itu kepada tiga bahagian yang utama.

  1. Memiliki kesihatan jasmani yang baik, iaitu terlindung daripada penyakit yang berbahaya dan penyakit yang boleh mengganggu mereka daripada melaksanakan ibadat haji yang kebanyakannya memerlukan kekuatan jasmani, seperti tawaf, sai, melontar jamrah dan sebagainya.
  2. Mempunyai bekalan yang cukup untuk pergi dan kembali, serta mencukupi segala hajat dan keperluannya dan keperluan ahli keluarganya terutamanya dalam hal nafkah seperti isteri dan anak-anak.
  3. Mendapat jaminan keamanan dalam perjalanan ketika menuju Tanah Suci.

Sementara itu, dalam kitab Fiqh Manhaji, Syeikh Dr. Mustafa al-Bugha menjelaskan kemampuan mempunyai dua kategori utama, iaitu kemampuan secara langsung dan tidak langsung.

  1. Kemampuan secara langsung bermaksud seseorang itu mampu melakukan sendiri ibadat haji dan umrah disebabkan masih berupaya, iaitu mempunyai badan yang sihat, sanggup menempuh perjalanan dan melakukan ibadat berkenaan tanpa mengalami kemudaratan yang berat dan kesulitan yang tidak mampu ditanggungnya.
  2. Kedua, kemampuan secara tidak langsung pula bermaksud seorang mukalaf yang memiliki harta mencukupi untuk mengupah orang lain mengerjakan haji bagi pihaknya sama ada semasa dia masih hidup atau selepas meninggal dunia.

Hal ini disebabkan dia sendiri tidak berupaya melakukannya disebabkan tua, berpenyakit dan seumpamanya. Lajnah Tetap Fatwa Arab Saudi pula menambah erti kemampuan dalam ibadat haji, yakni sihat tubuh badan, mempunyai kenderaan untuk sampai ke Masjidilharam, sama ada melalui darat, udara mahupun laut.

Oleh hal yang demikian, ketika pandemik COVID-19 yang sedang menular pada masa ini halangan bagi mengerjakan ibadat haji akibat penularan wabak penyakit juga bertepatan dengan konsep yang terdapat dalam maqasid syariah, iaitu hifz al-nafs (pemeliharaan nyawa). Oleh itu, aspek kemampuan dalam kesihatan jasmani dan keamanan dalam perjalanan ke Tanah Suci juga perlu diambil kira bagi jemaah haji yang ingin menunaikan ibadat haji.

 Perjalanan Haji Kebiasaan Baharu

Bagi pihak Tabung Haji yang menguruskan Jemaah haji Malaysia, persediaan telah dimulakan sejak awal lagi. Persiapan yang disediakan termasuk kemudahan fasiliti di dalam negara sebelum pelepasan jemaah dan fasiliti di Tanah Suci meliputi penginapan, pengangkutan, penerbangan, sajian makan, hukum hakam ibadat dan sebagainya di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

Pihak Tabung Haji melalui Bahagian Bimbingan Haji komited menganjurkan kursus haji secara dalam talian bermula sejak awal tahun ini selama 13 minggu bagi melengkapkan para bakal haji dengan ilmu pengetahuan berkaitan dengan ibadat haji seperti cara melaksanakan ibadat haji, pengisian rohani, ilmu kesihatan dan keperluan kewangan serta mendapat gambaran suasana terkini.

Pada tahun ini, pertama kali dijalankan kursus asas haji secara dalam talian kerana mematuhi arahan kerajaan agar tidak mengadakan pertemuan secara bersemuka.

Walau bagaimanapun, pada 12 jun 2021 lalu kerajaan Arab Saudi telah menetapkan bahawa ibadat haji pada tahun 2021 ini hanya dihadkan kepada 60 000 orang dengan kawalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat. Bakal Jemaah haji yang dibenarkan hanya dalam kalangan rakyat Arab Saudi dan sesiapa yang berada di Arab Saudi. Semua piawaian dan peraturan kesihatan, keselamatan dan peraturan sedia ada dipertingkatkan bagi menjaga kesihatan dan kesejahteraan jemaah.

Antara syarat yang dikenakan kepada bakal jemaah haji yang datang dari seluruh dunia pada tahun ini termasuklah mengambil suntikan vaksin, memakai penutup muka dan mengamalkan penjarakan sosial sepanjang melaksanakan ibadat haji, serta mempamerkan ujian swab yang berstatus negatif sebelum memasuki Tanah Suci.

Bagi suntikan vaksin, syarat wajib yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi ialah pengambilan empat jenis vaksin COVID-19 yang diktiraf sahaja, sama ada Pfizer, Astrazeneca, Johnson dan Johnson atau Moderna. Selain itu, para jemaah haji juga diminta bersedia untuk mengambil suntikan wajib vaksin meningococcal.

Semoga urusan ibadat semua jemaah haji pada tahun ini dipermudahkan oleh Allah SWT. Pihak kerajaan Malaysia akur dengan keputusan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi yang mengehadkan jumlah jemaah haji yang terpilih untuk menunaikan ibadat haji pada tahun ini.

Semoga Allah SWT menghilangkan penularan pandemik COVID-19 dari bumi ini agar umat Islam dari seluruh dunia dapat menunaikan rukun Islam yang kelima ini seperti tahun sebelum penularan wabak.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.