30 Jun 2021, 18:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Gema talbiah di tanah suci merupakan laungan yang sentiasa menggamit setiap umat Islam untuk mengunjungi Tanah Haram. Bagi pihak pengurusan Tabung Haji, perancangan dan persediaan operasi ibadat haji dilaksanakan setiap tahun demi kelancaran pengurusan ibadat haji bagi jemaah haji Malaysia.

Walau bagaimanapun, akibat pandemik COVID-19 yang masih belum reda ini, pada 12 jun 2021 lalu kerajaan Arab Saudi telah menetapkan bahawa ibadat haji pada tahun 2021 ini hanya dihadkan kepada 60 000 orang dengan kawalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat. Bakal jemaah haji yang dibenarkan hanya dalam kalangan rakyat Arab Saudi dan sesiapa yang berada di Arab Saudi.

Demikian menurut, Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman, Pengarah Eksekutif (Haji) Tabung Haji, dalam program Fikrah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi siatan TV1. Program ini turut menampilkan pendakwah terkenal, Ustaz Roslan Mohamed.

Menurut beliau lagi, umat Islam harus memahami aspek “kemampuan” yang ditetapkan bagi mewajibkan seseorang Muslim menunaikan ibadat haji. Beliau merumuskan aspek kemampuan sebagai syarat untuk menunaikan ibadat haji ini dengan formula 4K, iaitu kewangan, kesihatan, keselamatan dan kebenaran.

Dalam suasana pandemik kini, umat Islam berhadapan dengan ancaman keselamatan yang menggugurkan kewajipan menunaikan ibadat haji. Penularan penyakit berjangkit di seluruh dunia ini dibimbangi mengancam keselamatan jemaah haji menyebabkan kerajaan Arab Saudi tidak membenarkan jemaah haji dari luar Arab Saudi.

Oleh hal yang demikian, beliau menasihati umat Islam agar menerima keputusan ini dengan reda kerana pasti ada kebaikan di sebalik ketentuan ini dan sama-sama berdoa agar Allah SWT mengangkat wabak ini agar umat Islam dapat menunaikan ibadat haji dengan aman pada tahun akan datang.

Sementara itu, Ustaz Roslan Mohamed menyatakan bahawa penetapan keputusan untuk tidak membenarkan ibadat haji pada tahun ini dibuat demi kemaslahatan jemaah haji. Keputusan yang mengambil kira faktor keadaan semasa ini tidak menjadikan umat Islam berdosa disebabkan keuzuran syarii, iaitu ujian penularan penyakit berjangkit, untuk menjaga keselamatan jemaah haji seluruhnya.

Menurut beliau lagi, walaupun umat Islam berkemampuan dari segi kewangan dan kesihatan, suasana semasa tidak memberikan jaminan keselamatan dan kesejahteraan kepada jemaah haji untuk mengerjakan ibadat haji dengan aman. Maka itu, sebagai hamba-Nya yang beriman, ketentuan ini hendaklah dihadapi dengan perasaan syukur dan sabar agar mendapat rahmat daripada Allah SWT.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.