26 Jun 2021, 20:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelaksanaan ibadat korban dibenarkan di seluruh negara tertakluk kepada cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang yang telah ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, SOP ibadat korban itu diwartakan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) atas nasihat mufti seluruh negeri melalui Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, ketetapan tersebut tertakluk kepada bidang kuasa negeri sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Cadangan ini telah dipersetujui di peringkat persekutuan untuk dipertimbangkan di peringkat negeri masing-masing,” kata Zulkifli dalam Sidang Media Khas SOP Ibadah Korban yang disiarkan secara langsung melalui Facebook rasminya semalam.

Beliau menjelaskan, ibadat korban dibenarkan bermula selepas solat sunat hari raya Aidiladha hingga jam 6.00 petang sahaja dengan had kehadiran tidak melebihi 10 orang termasuk petugas. Begitu juga pada hari tasyrik, waktu yang ditetapkan bermula 6.00 pagi hingga 6.00 petang kecuali hari terakhir, iaitu hingga waktu asar mengikut pendapat yang masyhur.

“Proses penyembelihan hanya dibenarkan di 27 rumah sembelihan Abatoir Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), termasuk 35 rumah penyembelihan ruminan swasta yang dilesenkan oleh JPV, serta masjid dan surau dengan kelulusan JPV atau pihak berkuasa tempatan atau pihak berkuasa agama atau pejabat kesihatan daerah,” katanya.

“Proses pemotongan dan membungkus pembahagian daging korban hendaklah dibuat di tempat lapang dan tidak menyebabkan berlaku kesesakan. Penjarakan sosial amat penting dan segala sop perlu dipatuhi dengan sebaiknya.”

“Sembelihan korban selain daripada rumah sembelihan pula hendaklah dilaksanakan tidak melebihi lima ekor dalam sehari dengan bilangan petugas tidak melebihi 10 orang bagi setiap haiwan, serta mengambil kira keluasan kawasan bagi mengelakkan sesak sempit dan sembang dekat,” tambah beliau.

Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam Sidang Media Khas berkenaan SOP ibadat korban semalam.

Berhubung pengagihan daging korban, Zulkifli menjelaskan terdapat dua kaedah yang dicadangkan, iaitu penghantaran secara langsung kepada peserta dan kehadiran peserta untuk menerima daging korban.

“Penghantaran secara langsung kepada peserta yang mengambil bahagian dan fakir miskin berdasarkan senarai nama yang telah ditetapkan, manakala jumlah kehadiran peserta mengambil bahagian tidak boleh melebihi jumlah petugas dalam satu masa mengikut sop yang ditetapkan dan elakkan 3S, iaitu sesak, sempit dan sembang dekat,” jelasnya.

Beliau menasihatkan pihak yang terlibat dalam ibadat korban supaya mengadakan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran melalui aplikasi MySejahtera.

“Pemakaian pelitup muka adalah diwajibkan, pastikan penjarakan sosial tidak melebihi satu meter, elakkan daripada bersesak, ruang rapat dan tetutup, serta perbualan jarak dekat.”

“Petugas yang dipilih hendaklah sihat, tidak bergejala dan bukan dalam kalangan yang berpenyakit kronik. Petugas yang telah mendapat dua dos suntikan vaksin diberikan keutamaan,” tambah beliau.

Beliau turut menekankan adab yang perlu dilakukan oleh orang melakukan ibadat korban, antaranya termasuklah larangan memotong kuku atau sebarang rambut yang ada pada tubuh, menyaksikan binatang korban, menajamkan pisau, tidak melewatkan haiwan yang hendak disembelih, membaca Basmalah dan bertakbir, serta bersedekah.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.