27 Mei 2021, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Umum mengetahui bahawa gencatan senjata yang diumumkan oleh Israel dalam konflik Israel-Palestin pada 10 Mei lalu telah dikhianati dalam tempoh tidak sampai 24 jam. Tindakan khianat Israel tersebut telah mengejutkan masyarakat Islam di seluruh dunia.

“Israel tidak pernah akur pada janji dan syarat perjanjian, serta sangat bongkak. Betapa banyak usaha mereka untuk menjajah dan menjarah tanah penduduk Palestin. Meskipun telah diberikan teguran lantang oleh masyarakat dunia, tetapi tidak diendah langsung oleh Israel. Mereka tetap dengan usaha mereka dan penyelesaian bagi mereka hanya satu, iaitu untuk membina negara Israel dan menghapuskan Palestin. Itu yang mereka mahu.”

Demikianlah yang diutarakan oleh Asmadi Abdul Samad, Penyelaras Kandungan, Sekretariat Perang Pedang al-Quds dalam Rancangan Sembang Tamu yang disiarkan melalui Studio Siaran Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Seorang lagi ahli panel yang diundang ialah Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif Interdisciplinary Research and International Strategy Institute (IRIS Institute).

Isu Palestin memerlukan satu proses pemikiran yang panjang. Isu ini telah bermula sejak berdekad lamanya dan tidak dapat dijangka bila akan berakhir. Oleh itu, umat Islam perlu ada daya juang yang tinggi untuk terus mengangkat isu Palestin ini kerana bagi umat Islam, isu Palestin merupakan isu akidah yang perlu dipertahankan. Bagi manusia seluruhnya pula, isu ini merupakan isu kemanusiaan yang memerlukan jalan penyelesaian.

Israel telah mencipta mitos tentang sejarah yang ada di tanah Palestin untuk menjayakan propaganda mereka. Siri Perang Pedang al-Quds yg berlaku hari ini juga merupakan satu daripada siri perang naratif yang cuba dimanfaatkan oleh Israel. Media mereka terus memainkan peranan untuk menunjukkan pejuang Palestin sebagai pengganas yang berselindung di sebalik wanita dan kanak-kanak. Pendekatan psikologi balikan digunakan untuk mempengaruhi masyarakat dunia bahawa mereka telah ditindas dan tanah Palestin milik mereka. Naratif inilah yang digembar-gemburkan oleh mereka sejak dahulu lagi. Oleh itu, untuk memerangi mereka, umat Islam Islam harus membangunkan sebuah naratif baharu melalui media, pendidikan dan penceritaan sejarah yang baharu kepada dunia.

“Kalau kita boleh menjadi contoh dalam kempen media siber sebagaimana yang berlaku pada hari ini, saya yakin kita juga boleh menggunakan cara ini untuk melawan zionis sebab zionis bukan sekadar mengangkat senjata, tetapi mereka memerangi dunia dengan kuasa pengaruh melalui naratif mereka,” tegas Ahmad Israa’.

Lambakan maklumat yang ada hari ini tidak seharusnya melahirkan generasi yang terus membela Palestin atas dasar emosi semata-mata. Tindakan yang lebih proaktif harus disusun dan tidak berhenti pada tindakan menyalurkan kewangan atau komen di media sosial sahaja. Usaha yang lebih luas diperlukan sehingga mampu memberikan desakan luar biasa kepada Israel dan sekutu mereka, serta badan perundangan dunia untuk mengambil tindakan tegas terhadap keganasan Israel.

Asmadi menyeru umat Islam, khususnya generasi muda supaya terus berusaha untuk melakukan apa-apa sahaja yang termampu untuk membebaskan Palestin. “Buatlah apa yang termampu meskipun sedikit, usaha kita mungkin terlalu kecil, tetapi buatlah untuk membantu saudara kita di Palestin. Pandanglah peristiwa yang berlaku di Palestin dengan pandangan hati yang mana hikmahnya itu nanti kita balikkan kepada tanah air kita,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Ahmad Israa’ berkata isu membebaskan Palestin penting bagi umat Islam kerana hal tersebut menggambarkan bahawa pembebasan dunia daripada monopoli dan dominasi kelompok al-mufsidun, al-mujrimun, dan al-mutrifun.

“Bebasnya al-Aqsa bermakna berakhirnya kuasa mereka di muka bumi ini, maka akan hadirlah semula kebahagiaan yang sebenar. Oleh itu, umat Islam di seluruh dunia harus bersatu membebaskan al-Aqsa,” ujarnya menutup perbincangan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.