9 Mei 2024, 11:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lembaga Tabung Haji (TH) meneruskan perkhidmatan bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI untuk musim haji pada tahun ini sepertimana tahun-tahun sebelumnya.

Hal ini bagi memudahkan bakal jemaah haji negara melunaskan tanggungjawab masing-masing.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mohamed Ameen Abdul Wahab dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa bakal haji bagi musim 1445H/2024 boleh membuat pembayaran dam sebelum berangkat ke tanah suci Makkah.

“Bertepatan dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, bakal jemaah haji tahun ini yang akan melaksanakan ibadah haji secara tamattu’ dan qiran digalakkan untuk melaksanakan bayaran dam pada kadar semasa yang ditentukan sebelum sampai di tanah suci kerana hal itu lebih mudah”, jelas beliau.

Beliau berkata, sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan haji yang menyeluruh, TH terus menyediakan kemudahan perkhidmatan bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI dan juga melalui kaunter pejabat cawangan di seluruh negara pada tahun ini.

Tambahnya, kaedah pembayaran secara dalam talian ketika di tanah air lagi pastinya dapat membantu menyenangkan lagi bakal haji berbanding ketika tiba di Makkah nanti.

Beliau turut mengingatkan kepada semua bakal haji supaya berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran dam yang mencurigakan daripada agensi pelancongan ataupun mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.

“TH berasa bertanggungjawab untuk mengingatkan kepada para pendeposit terutamanya bakal haji untuk menyemak dan memeriksa terlebih dahulu sebarang syarikat penyedia perkhidmatan korban atau dam secara teliti bagi mengelakkan diri daripada terpedaya dengan taktik penipu,” jelas beliau.

Katanya, sekiranya bakal haji ingin melaksanakan korban atau dam dengan sendiri, dinasihatkan supaya memastikan syarikat yang menawarkan perkhidmatan tersebut berdaftar secara sah dan mempunyai pengalaman serta rekod pengurusan pelaksanaan dam dan korban yang baik di tanah suci.

Menurut TH, pembayaran dam pada tahun ini ditetapkan pada kadar RM725 bagi seekor kambing atau kibas dan daging sembelihan ini akan diagihkan kepada penduduk yang layak di Makkah.

Sementara itu, katanya, kadar pembayaran korban pula ditetapkan pada RM936 untuk seekor kambing atau kibas dan urusan pengagihan akan dilaksanakan oleh Islamic Development Bank (IDB) kepada penduduk Islam yang layak terutamanya di rantau negara teluk dan benua Afrika.

Tambahnya, tawaran pelaksanaan korban ini turut dibuka kepada semua pendeposit TH.

Pembayaran dam dan korban ini boleh dilaksanakan melalui aplikasi THiJARI bermula pada hari Isnin, 29 April 2024 ataupun secara bersemuka melalui pembayaran di mana-mana kaunter pejabat cawangan TH di seluruh negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.