19 April 2024, 14:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT,

Maksudnya: “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, Dia menciptakan untukmu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenismu sendiri, agar kamu senang hati dan hidup mesra dengannya, dan Dia menjadikan antara kamu (suami isteri) rasa kasih dan sayang serta belas kasihan. Sesungguhnya perkara ini benar-benar mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang yang berfikir.”

(Surah al-Rum 30:21)

Perkahwinan merupakan ikatan zahir dan batin antara lelaki dengan wanita. Umat Islam diperintahkan oleh agama untuk memenuhi keinginan berumah tangga bagi memperoleh keturunan dengan syarat-syarat yang ditentukan oleh syariat Islam.

Ayat tersebut menjelaskan tentang hikmah perkahwinan yang mendatangkan ketenangan jiwa, serta menyemai sifat kasih dan sayang antara pasangan yang akan membawa kebahagiaan hidup. Rasulullah SAW menyenaraikan empat ciri utama sebagai panduan memilih pasangan dalam sabda Baginda yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a.:

Maksudnya: “(Lazimnya) wanita dinikahi kerana empat sebab; iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka itu, pilihlah kerana agama, mudah-mudahan kamu berjaya dan selamat.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW turut menganjurkan umatnya agar mencari pasangan yang mempunyai ciri penyayang, mesra dan mampu melahirkan zuriat sebagaimana hadis Baginda:

Maksudnya: “Berkahwinlah dengan wanita yang penyayang dan subur kerana aku bangga dengan jumlah kamu (umatku) di hadapan umat lain pada hari kiamat.”

(Hadis riwayat Abu Dawud)

Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW kerana Baginda sendiri berkahwin dan mempamerkan contoh untuk menjaga hubungan perkahwinan secara adil dan baik. Teladan yang ditunjukkan oleh Baginda mengajar umat untuk membina keluarga bahagia, melahirkan keturunan yang soleh dan meningkatkan hubungan kasih suami dan isteri demi menjaga kehormatan dan kesucian, serta melindungi diri daripada perbuatan maksiat.

Perkahwinan disyariatkan dalam Islam untuk menyempurnakan keperluan naluri  manusia serta melindungi diri daripada perbuatan maksiat.

Pada hakikatnya, apa-apa jua perintah Allah SWT kepada hamba-Nya, pasti bertujuan ke arah kebaikan. Perkahwinan mengiktiraf kecenderungan kejantinaan, menyempurnakan keperluan naluri manusia menurut jalan yang diredai, menenangkan perasaan atau emosi, serta menjamin pemeliharaan kesihatan tubuh badan. Mensyariatkan perkahwinan mempunyai pelbagai kebaikan sama ada untuk diri, masyarakat mahupun negara. Melalui perkahwinan akan terbina keluarga bahagia yang dapat membangunkan masyarakat sejahtera untuk membentuk tenaga memacu kemajuan negara.

Dapatan kajian menunjukkan bahawa kumpulan orang bujang di Malaysia berada pada tempat ketiga tertinggi di Asia Tenggara, dengan 45 peratus penduduknya terdiri dalam kalangan belum berkahwin, bercerai atau balu. Sifat yang berasa selesa dengan kerjaya sedia ada, serta tidak mahu dibebani dengan tanggungjawab kekeluargaan menyebabkan sebahagian golongan muda pada hari ini memilih untuk menangguhkan perkahwinan, malah ada yang memilih untuk meneruskan alam bujang. Negara bakal dipenuhi dengan nisbah penduduk warga tua yang tinggi, jika pengembangan zuriat mula berkurangan kerana kurangnya kesedaran terhadap kebaikan berumah tangga.

Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada berlakunya perceraian, antaranya termasuklah perlakuan curang, mengabaikan tanggungjawab, kurang persefahaman, juga dipengaruhi oleh kesesakan hidup, kesempitan kewangan, kemiskinan, gangguan kesihatan, tekanan emosi dan ketagihan dadah.

Dalam melayari bahtera berumah tangga, kejujuran pasangan merupakan titik paling asas untuk membina kestabilan dan kebahagiaan hubungan suami isteri. Suami dan isteri masing-masing bertanggungjawab memastikan rumah tangga yang dibina kekal bahagia dan saling memenuhi keperluan pasangan.

Perceraian yang berlaku dalam sesebuah keluarga akan menyebabkan emosi anak-anak terganggu dan mengalami kemurungan.

Kewujudan media sosial serta aplikasi mudah alih yang membolehkan perhubungan dalam talian telah membuka ruang berlakunya hubungan sulit, iaitu hubungan terlarang antara lelaki dengan perempuan secara sumbang, yang bercanggah dengan ajaran agama hingga boleh menghampirkan diri mereka yang terlibat kepada dosa zina. Demi kebahagiaan rumah tangga dan mensyukuri nikmat pemberian Ilahi, jauhilah daripada melakukan perkara yang ditegah oleh agama yang hanya mengundang kemurkaan Ilahi.

Berlaku jujurlah bersama pasangan kerana apabila kepercayaan tergugat, hubungan suami isteri akan menjadi rapuh. Dalam keadaan suami isteri mula bertelagah, hilanglah kerukunan hidup berumah tangga. Dalam keadaan demikian, kehidupan anak-anak akan terkesan secara langsung. Emosi dan fikiran anak-anak akan terganggu, sekali gus akan menjejaskan tumpuan mereka terhadap pelajaran. Anak-anak akan turut mengalami kemurungan apabila melihat hubungan ibu bapa yang tidak lagi mesra, malah bertambah buruk apabila berlaku penceraian.

Oleh hal yang demikian, umat Islam diberikan peringatan tentang perkara yang berikut:

Pertama: Perkahwinan merupakan sunnah Rasulullah SAW untuk menyempurnakan kehidupan yang dilimpahi ganjaran Allah SWT. Perkahwinan juga merupakan institusi untuk membina keluarga dengan melahirkan zuriat yang dijamin rezeki mereka oleh Allah SWT.

Kedua: Curahkan kasih sayang kepada pasangan dengan bersifat jujur, setia dan bertimbang rasa. Para suami hendaklah bersedia mengambil tanggungjawab meringankan beban kerja rumah isteri, terutama jika isteri juga bekerja untuk menambah pendapatan keluarga. Para suami wajib mempamerkan sifat belas kasihan dengan mengambil tanggungjawab membantu mengurus kerja rumah serta memenuhi keperluan anak-anak dalam semangat berat sama dipikul.

Ketiga: Alam perkahwinan tidaklah setiap masa indah diwarnai pelangi kerana kadang kala diselangi awan mendung yang menguji kesabaran. Ketika dilanda ujian, berunding dan berbincang dalam suasana tenang, sabar dan harmoni agar terjalin persefahaman yang membawa kebahagiaan. Dapatkan bantuan nasihat orang yang lebih tua, sahabat atau rakan taulan apabila menghadapi kekusutan.

Keempat: Sandarkan sepenuh pengharapan dan kekuatan kepada Allah SWT, memohon rahmat dan bimbingan-Nya agar dilimpahi rahmat berumah tangga. Berdoa dan memohon petunjuk dan panduan Ilahi ketika menghadapi dugaan dan ujian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan Maha Mengasihani.

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 19 April 2024, bertajuk “Perkahwinan Menyempurnakan Kehidupan”)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.