Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS) menerusi kenyataannya di laman Facebook semalam memaklumkan bahawa muzakarah pakar akan diadakan bagi meneliti secara terperinci tentang hukum solat dengan pakaian tidak menutup aurat di dalam telekung yang menjadi kebiasaan dalam kalangan wanita Melayu.
Menurut Sahibus Samahah Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, YBhg. Dato’ Setia Profesor Madya Dr. Haji Anhar Haji Opir, beliau telah meminta Bahagian Fatwa JMNS mengadakan muzakarah tersebut dalam waktu yang terdekat.
“Jabatan ini merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang sangat prihatin dalam pemberian pandangan, cadangan serta maklum balas terhadap artikel Taudhih al-Hukmi yang dipaparkan dalam media sosial jabatan bertajuk ‘Penjelasan Hukum Solat dengan Pemakaian Telekung Kebiasaan Wanita Melayu’.
“Hasil daripada muzakarah ini nanti akan dikongsikan kepada masyarakat,” ujarnya.
Maklum balas tentang isu ini tercetus setelah JMNS memuat naik hantaran Taudhih al-Hukmi (Penjelasan Hukum) yang bertajuk Penjelasan Hukum Solat dengan Pemakaian Telekung Kebiasaan Wanita Melayu, pada 18 Oktober yang lalu.
Berdasarkan penjelasan yang diberikan dalam hantaran tersebut, hukum asal solat bagi wanita yang berpakaian tidak menutup aurat di dalam tudung telekung adalah tidak sah.
Alasan hukum tersebut ialah aurat yang kelihatan dari bawah tudung telekung semasa berpakaian tidak menutup aurat di dalamnya tidak termasuk perkara yang dimaafkan.
Di samping itu, tindakan memakai pakaian yang tidak menutup aurat di dalam telekung tidak dikira sebagai usaha menutup aurat dengan sempurna kerana inisiatif memakai pakaian yang menutup aurat tidak dianggap sukar pada zaman ini.
“Sekiranya aurat yang dilihat dari arah bawah kain telekung masih kelihatan semasa solat, maka perkara tersebut dimaafkan dan tidak membatalkan solat,” jelas huraian tersebut.
Walau bagaimanapun, solat yang dilakukan oleh wanita yang mengenakan pakaian tidak menutup aurat di dalam tudung telekung sebelum mengetahui hukum tersebut adalah sah dan tidak perlu diganti kerana perkara tersebut merupakan perkara yang tersembunyi dalam kalangan masyarakat dan telah menjadi adat kebanyakan wanita di negara ini.