Diterbitkan pada 18 Jun 2026, 08:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1448H menyaksikan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar menerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi kategori Tokoh Kebangsaan.

Sementara itu, bagi kategori Tokoh Antarabangsa pula, anugerah tersebut disandang oleh Penasihat Pusat Kajian Maqasid Syariah, Rabat, Profesor Dr. Ahmad al-Raysuni.

Penyampaian kedua-dua anugerah berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfur-Lah di Masjid Putra pada Rabu.

Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar merupakan seorang cendekiawan yang memiliki latar belakang pendidikan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Falsafah Sains Islam dan Teologi, dan Ijazah Sarjana Perbandingan Agama di Universiti Temple, Amerika Syarikat, serta Ijazah Sarjana Matematik dalam pengkhususan Algebra di Universiti London.

Selain menjawat jawatan sebagai Rektor UIAM, beliau turut menyumbang kepakarannya secara aktif selaku Ahli Jawatankuasa Protem Etika Bioteknologi, Majlis Bioetika Negara; Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia; Ahli Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia dan Pakar Penasihat Perundingan Meja Bulat bagi Kajian Reformasi Pendidikan Negara.

Beliau turut menerima pelbagai pengiktirafan daripada dalam negara mahupun luar negara seperti Anugerah Cendekiawan Ulung ASEAN (2025), Penyelidik Teratas, Anugerah Antarabangsa Farabi Ke-13 dalam bidang Ilmu Kemanusiaan dan Pengajian Islam oleh Kementerian Sains, Penyelidikan dan Teknologi, Iran (2022) dan Anugerah Ilmu Kemanusiaan Global (2019).

Dalam pada itu, Profesor Dr. Ahmad al-Raysuni yang tidak asing dalam dunia keilmuan Islam mempunyai Ijazah Doktor Falsafah Undang-undang Islam di  Universiti Mohammed V, Rabat dan ijazah sarjana dalam bidang yang sama di Universiti Qarawiyyin.

Beliau merupakan pakar utama dalam bidang maqasid syariah yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa ketika ini, selain usul fiqh dan fiqh kontemporari.

Kebanyakan karyanya menjadi rujukan dan sukatan pengajian di seluruh dunia Islam seperti Nazariyyah al-Maqasid, Maqasid al-Maqasid dan Qawaʻid al-Maqasid.

Usaha gigih beliau selama ini turut menangkis fahaman ekstremisme dan mempromosikan pendekatan wasatiyah dalam pemikiran politik Islam menerusi  beberapa karyanya merangkumi al-Ummah Hiya al-Asl, Maqsid al-Salam dan Fiqh al-Thawrah.

Sambutan tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Amar Haji Fadillah Yusof; Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Yang Berhormat (YB) Tan Sri Dato’ Dr. Johari Abdul dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Kredit Foto: Facebook Dr. Zulkifli Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi