Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Projek Sahabat al-Quran (SAQ) yang digerakkan menerusi kerjasama strategik Yayasan Maghfirah (YM) dengan Akademi Kepemimpinan Tun Perak (AKTP) menyasarkan pelibatan sebanyak 2000 orang pelajar menjelang akhir tahun 2027.
Sasaran tersebut memberikan tumpuan khusus kepada golongan anak asnaf yang menetap di kawasan dan lokaliti yang berpendapatan rendah.
Ketua Lembaga Penasihat AKTP, Yang Berhormat (YB) Senator Profesor Emeritus Awang Sariyan berkata, projek tersebut bukan sekadar menekankan pembacaan al-Quran, malah merangkumi aspek penghayatan dan penerapannya dalam kehidupan.
Menurut beliau, modul SAQ digagaskan berlandaskan kerangka KARIM, iaitu memastikan pelajar untuk khatam al-Quran (K), memahami asas Islam (A), rajin membaca dan menulis (R), insan berakhlak (I) dan Melayu berjati diri (M).
“Projek ini sebagai satu rangkuman modul yang cukup bersepadu dan terkini.
“Pembangunannya dizahirkan hasil komitmen YM dengan AKTP, dan saya rasakan ini merupakan kali pertama modul seumpamanya diguna pakai dalam masyarakat,” kata beliau dalam sidang media Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara YM dengan AKTP pada Selasa.
Beliau mengalu-alukan pelibatan pihak korporat dan para dermawan untuk tampil menyumbang dana bagi mengembangkan lagi modul SAQ secara lebih luas ke seluruh negara sehingga menjadi sebuah program utama pada peringkat nasional.
Ujarnya, perancangan yang lebih teliti dengan sokongan dana mampu melebarkan manfaat projek ini untuk pelbagai peringkat umur.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YM, YBrs. Encik Muhammad Shuib Norudin memaklumkan bahawa tajaan yang diperlukan bagi seorang pelajar ialah sebanyak RM150 untuk satu bulan pembelajaran modul SAQ sehingga mereka mencapai sasaran khatam al-Quran dalam tempoh tiga tahun.
Menyentuh soal pelan perancangan jangka panjang, beliau menegaskan bahawa bimbingan terhadap kumpulan pelajar berkenaan tidak akan terhenti setakat modul SAQ sahaja.
“Kita mempunyai rangkaian kesinambungan untuk mendidik anak ini pada masa hadapan menerusi projek Sahabat Remaja, Sahabat Belia dan Skuad Prihatin Ummah,” ujarnya.
Jelas beliau, melalui inisiatif tersebut, mereka dilatih agar mempunyai kesedaran untuk kembali menabur bakti kepada masyarakat yang pernah membantu mereka suatu ketika dahulu dengan apa-apa cara sekalipun.
Terdahulu, YB Senator Profesor Emeritus Awang turut menyempurnakan pelancaran projek itu yang berlangsung di Hotel Tenera.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif AKTP, YBrs. Ustaz Fauzi Asmuni dan Pengerusi Eksekutif YM, YBrs. Tuan Haji Mohd Sahrularifin Ab Manan.
Projek SAQ merupakan sebuah inisiatif pendidikan yang memfokuskan pembangunan generasi muda melalui pendidikan al-Quran, kefahaman Islam, pembentukan akhlak, budaya membaca dan menulis, serta pembangunan jati diri dan kepimpinan.
Setakat ini, sebanyak 800 orang pelajar menerima manfaat daripada projek tersebut di 19 buah cawangan aktif yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah.
Pihak penganjur sentiasa membuka ruang kepada orang ramai atau badan korporat yang mahu menghulurkan sumbangan dengan menyalurkan dana melalui akaun bank CIMB (98-670-005-000101) berserta rujukan SAQ03.