Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Stesen radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIMfm) mencatat satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya melengkapkan siaran langsung selama 25 jam tanpa henti sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-25 IKIMfm, baru-baru ini.
Kejayaan tersebut mendapat penghargaan daripada Pengurus Rancangan Radio IKIMfm, YBhg. Datin Mona Jasman yang merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh tenaga kerja IKIMfm yang telah bertungkus-lumus menjayakan siaran berkenaan.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi IKIMfm, beliau menyifatkan kelancaran program itu sebagai hasil komitmen luar biasa warga kerja Pusat Media IKIMfm yang merangkumi barisan penyampai, penerbit, juruteknik, pasukan media serta urus setia.

“Sesungguhnya, saya amat terharu melihat semangat, kesungguhan, pengorbanan masa dan komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh setiap seorang daripada pegawai Pusat Media.
“Setiap detik sepanjang 25 jam ini bukan sekadar siaran, tetapi menjadi bukti bahawa apabila kita bersatu hati, tiada yang mustahil untuk direalisasikan,” jelas beliau menerusi hantaran tersebut.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama erat, usaha sama yang padu, serta sikap saling melengkapi dalam kalangan kru penerbitan yang tidak mengenal erti penat lelah dari awal hingga penghujung siaran.
Pada masa yang sama, YBhg. Datin Mona menzahirkan harapan agar segala dedikasi yang dicurahkan oleh seluruh pasukan itu dinilai sebagai amal soleh.
“Semoga segala usaha, penat lelah dan pengorbanan kita diberkati serta dimakbulkan oleh Allah SWT, sekali gus menjadi inspirasi untuk kita terus melakar lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” ujarnya.