Diterbitkan pada 15 Jun 2026, 07:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya  Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (Rabitah al-‘Alam al-Islami), Dr. Mohammad Abdulkarim Alissa pada Ahad bagi membincangkan isu berkaitan dengan perkembangan dunia Islam serta usaha memperkukuh persefahaman antara agama.

Pertemuan yang berlangsung di Putrajaya itu menyentuh tentang kejayaan Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 12 Jun yang lalu.

“Sidang kemuncak tersebut berjaya menghimpunkan tokoh agama, cendekiawan dan pemimpin masyarakat dari pelbagai latar belakang serta negara,” katanya dalam satu kenyataan dalam laman Facebook rasmi beliau.

YAB Dato’ Seri Anwar berkata, platform sedemikian penting untuk menggalakkan dialog yang sihat dan membina persefahaman dalam kalangan masyarakat dunia yang semakin berhadapan dengan pelbagai cabaran serta ketegangan yang semakin meruncing.

“Platform ini penting dalam membina persefahaman, merapatkan jurang perbezaan serta memupuk budaya dialog yang matang,” ujarnya lagi.

Menurut beliau, Dr. Alissa berkongsi pandangan mengenai peranan yang dapat dimainkan oleh Malaysia supaya hubungan antara dunia Islam dengan masyarakat antarabangsa dapat diperkukuh, termasuk usaha membina jambatan persefahaman antara Timur dengan Barat.

Pada masa yang sama, beliau menghargai peranan aktif Liga Dunia Muslim yang selama ini konsisten mempromosikan nilai kesederhanaan, keamanan dan kerjasama rentas agama pada peringkat global.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin itu membincangkan kedudukan semasa dunia Islam dan keperluan memperkukuh kekuatan umat melalui pendidikan, pembangunan ekonomi, penguasaan ilmu dan teknologi.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa nilai keadilan, ihsan dan kemanusiaan sejagat perlu terus diangkat sebagai asas pembinaan masyarakat yang lebih sejahtera.

Kata beliau, kemajuan dunia Islam tidak boleh hanya diukur menerusi pembangunan material semata-mata, sebaliknya hal tersebut memerlukan pengukuhan ilmu, akhlak dan nilai kemanusiaan.

Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin itu turut bersepakat bahawa masa hadapan yang lebih aman dan stabil dapat dicapai melalui dialog yang berterusan, sikap saling menghormati dan keterbukaan untuk menjalinkan hubungan lebih erat antara masyarakat dan penganut pelbagai agama.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi