Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBaca Bahagian 1
Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad bin Mohamed Ibrahim merupakan tokoh perundangan dan arkitek utama yang merangka landskap perundangan Malaysia moden. Sebagai seorang pendidik berkaliber dan penggerak utama integrasi perundangan sivil dan syariah, ketokohan luar biasa beliau kekal utuh menerusi legasi institusi, inovasi kurikulum dan khazanah penulisan ilmiah yang ditinggalkannya sebagai rujukan sepanjang zaman.
Berhijrah ke Malaysia untuk Berbakti
Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 1968 selepas bersara daripada pegawai kerajaan di Singapura. Kehadiran beliau dialu-alukan oleh Universiti Malaya (UM) bagi menyumbang kepakaran dalam pendidikan perundangan.
Pada ketika itu, Malaysia terpaksa bergantung sepenuhnya pada universiti di England dan Singapura untuk membolehkan anak tempatan melanjutkan pengajian dalam bidang Undang-undang. Bertitik tolak daripada keadaan ini, UM telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan fakulti undang-undangnya sendiri. Keberadaan beliau di UM telah melancarkan proses penubuhan fakulti tersebut, yang pada akhirnya berjaya direalisasikan pada 21 April 1972. Beliau kemudiannya dilantik sebagai dekan fakulti pertama dan berkhidmat hingga 30 Mac 1983.
Pengalaman luas di UM kemudiannya dimanfaatkan dalam proses penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) secara rasmi pada 23 Mei 1983, seiring dengan pembukaan kulliyyah (fakulti) undang-undang di universiti berkenaan. Berbekalkan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki, beliau merupakan individu yang paling layak untuk merancang, merangka serta menyusun kurikulum kulliyyah tersebut. Pada 1 Julai 1983, beliau dilantik sebagai Sheikh al-Kulliyyah (dekan) yang pertama. Setahun selepas pemergian beliau pada tahun 2000, kulliyyah berkenaan dinamakan semula sebagai Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim (AIKOL) bagi memperingati dan menghargai jasanya.
Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad bercita-cita tinggi untuk memajukan undang-undang Islam di Malaysia. Beliau melihat pendidikan sebagai titik mula untuk merealisasikan impian ini. Oleh itu, penggubalan kurikulum pengajian Ijazah Sarjana Muda Undang-undang yang turut mengandungi pengajaran undang-undang Islam amatlah tepat. Hal ini dikatakan demikian kerana program pengajian berkenaan akan melahirkan graduan pengamal undang-undang yang memiliki pengetahuan bersepadu, dan selaras dengan sistem perundangan di negara.
Tunjuk ajar dan bimbingan yang diterima di AIKOL akan mendorong mereka yang tamat pengajian untuk meneruskan legasi beliau dalam usaha menambah baik sistem perundangan di Malaysia. Kesepaduan kurikulum antara undang-undang konvensional dengan undang-undang Islam pada peringkat prasiswazah turut diperkukuh lagi dengan pewujudan program pascasiswazah. Program yang dirintis oleh UIAM ini kemudiannya menjadi ikutan universiti yang lain.
Keanggotaan dalam Jawatankuasa
Sepanjang tempoh pelibatan Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad dalam Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil Kebangsaan, banyak draf perundangan telah dihasilkan untuk kegunaan mahkamah syariah. Ternyata sumbangan beliau dalam aspek ini sangat penting kerana kebanyakan undang-undang syariah yang diguna pakai pada hari ini merupakan hasil usaha jawatankuasa teknikal yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.
Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad turut menganggotai pelbagai jawatankuasa lain yang rata-ratanya bertujuan untuk memajukan sistem serta prasarana undang-undang Islam, di samping menaik taraf sumber manusia yang terlibat dalam institusi perundangan syariah negara. Selain itu, beliau merupakan antara individu terawal yang menjadi Ahli Lembaga Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan terlibat secara langsung dalam proses penubuhan IKIM serta memikul tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan Perundangan IKIM.
Sumbangan dalam Penulisan Ilmiah, Penghormatan dan Anugerah
Sebagai individu yang berpengalaman dalam editorial bidang undang-undang, beliau memperkenalkan pengajaran undang-undang secara teknikal menerusi penerbitan Journal of Malaysian and Comparative Law semasa beliau menjadi tenaga pengajar undang-undang di UM. Usaha ini terus mekar apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Istilah Undang-undang Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta Pengerusi Jawatankuasa Buku Undang-undang.
Beliau juga menganggotai Jawatankuasa Penyelaras Jurnal Hukum, merangkap Ketua Pengarang dalam Lembaga Pengarang bagi jurnal tersebut. Semasa bersama-sama dengan IKIM, institusi ini berjaya menerbitkan jurnal undang-undangnya sendiri, iaitu Jurnal Undang-undang IKIM dengan beliau sendiri bertindak selaku ketua pengarang jurnal. Peranan yang dimainkan ini membuktikan iltizam beliau untuk memasyarakatkan literasi perundangan dan memberikan pendedahan kepada khalayak mengenai prosiding dan resolusi mahkamah syariah.
Dari aspek penulisan karya ilmiah, kebolehan Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad sememangnya mengagumkan. Beliau berjaya menghasilkan sekitar 20 naskhah buku dan lebih daripada 200 makalah ilmiah dalam pelbagai kepakaran undang-undang. Hingga hari ini, tidak banyak ahli akademik yang mampu menghasilkan karya perundangan sivil dan syariah secara bersepadu setanding beliau.
Sebagai menghargai sumbangan dan ketokohan beliau, beberapa buah buku diterbitkan. Antaranya termasuklah Malayan Law Journal (1986), DBP (1988), UIAM (1991) dan IKIM [2005, 2007 (dengan kerjasama MPH) dan 2020]. Beliau telah menerima pelbagai anugerah kecemerlangan oleh kerajaan Singapura, Malaysia, bahkan daripada pemerintah Pakistan. UM telah menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada beliau pada tahun 1984, manakala gelaran Tan Sri pula dikurniakan daripada Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1987.
Penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah Tahun 1988 ini merupakan arkitek utama dalam perangkaan landskap perundangan Malaysia moden. Hijrahnya ke Kuala Lumpur mencetuskan reformasi terhadap pendidikan tinggi dalam bidang undang-undang di Malaysia. Ketokohan beliau nyata terserlah, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dalam kebangkitan sistem perundangan Islam dan sivil negara.
Legasi beliau terus hidup melalui institusi yang diasaskan, kurikulum yang diwariskan, khazanah persuratan yang ditinggalkan serta generasi graduan yang meneruskan perjuangannya memperkasakan sistem perundangan negara. Sesungguhnya, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad layak diangkat dan dikenang sebagai tokoh perundangan syariah negara yang unggul sepanjang zaman.
Penulis merupakan pegawai yang bertugas di Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia.