Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTatkala kebanyakan orang berpuas hati dengan kerjaya dalam satu bidang sahaja, Profesor Ahmad sebaliknya telah menempuh tidak kurang daripada tiga kerjaya sepanjang 30 tahun yang lalu, setiap satu daripadanya beliau telah berikan sumbangan yang amat luar biasa … .
M.B. Hooker, Profesor Universiti Kent
Tarikh 17 April pada tahun ini, genap 27 tahun kembalinya Allahyarham Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad bin Mohamed Ibrahim ke negeri abadi. Individu yang lebih mesra dengan panggilan “Prof. Ahmad” semasa hayatnya amat dikenali sebagai seorang tokoh perundangan yang ulung dan disegani di negara ini.
Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad merupakan seorang yang memiliki susuk tubuh yang tinggi. Dari sudut penampilannya pula, beliau sering mengenakan kot, tali leher dan songkok sebagai pakaian hariannya. Hal sedemikian sebenarnya merupakan sebuah perlambangan yang merujuk kepakaran beliau dalam undang-undang Inggeris dan undang-undang Islam.
Berkaitan dengan personaliti beliau, tulisan Allahyarham Tan Sri Profesor Emeritus Mohd Kamal Hassan telah mewakili kebanyakan pandangan orang terhadapnya. Tan Sri Profesor Emeritus Mohd Kamal menyifatkan keperibadiannya sangat unggul dan berakhlak mulia. Beliau merupakan seorang yang sederhana, berdisiplin, sopan, menepati waktu, merendah diri, menghormati pandangan orang lain dan warak. Selain dikenali sebagai pengerusi mesyuarat yang efisien dan efektif, beliau sentiasa melazimkan amalan berwuduk dan qailulah, serta mengakui tidak pernah benci sesiapa.
Latar Belakang Pendidikan yang Cemerlang
Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad dilahirkan pada 15 Mei 1916 di Singapura. Beliau mendapat pendidikan awal di St Anthony Boy’s School, Singapura. Di sekolah, beliau seorang pelajar yang pintar dan sentiasa menunjukkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan. Individu yang memiliki kekuatan daya ingatan ini kemudiannya melanjutkan pelajaran di Sekolah Victoria Bridge sebelum ke Raffles Institution.
Beliau menduduki peperiksaan Junior Cambridge pada usia 13 tahun dan menduduki Senior Cambridge setahun selepas itu. Oleh sebab peraturan pada ketika itu menetapkan seseorang pelajar perlu menamatkan pengajian di Raffles Institution pada umur 16 tahun, maka beliau ditempatkan di kelas khas dengan pelajar lebih senior. Beliau mengambil kesempatan mengembangkan minatnya dalam bidang penulisan dan terlibat sebagai editor majalah sekolah, The Rafflesian. Hasil usaha gigihnya dalam pelajaran, beliau turut dicalonkan oleh pengetua sebagai penerima Biasiswa Queen. Hal ini dapat dilihat dalam surat tamat pengajiannya, terdapat catatan pengetua yang menyifatkan beliau sebagai seorang pelajar yang cemerlang dan sangat berpotensi.
Pada umur 16 tahun, beliau memasuki Kolej Raffles sebagai calon luar kampus yang diurus oleh Universiti London sebagai pelajar luar England, dan beliau satu-satunya calon dari Negeri Selat. Pada tahun 1935, beliau berjaya memperoleh ijazah sarjana muda.
Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad bertemu dengan sahabat penanya, A.V. Winslow, yang telah lulus dalam peperiksaan Biasiswa Queen sebelum itu. Winslow memujuknya untuk turut sama mengambil peperiksaan berkenaan, dan beliau lulus dengan sekali percubaan sahaja,. Menerusi biasiswa tersebut, beliau berjaya memasuki Kolej St John, Universiti Cambridge pada Oktober 1936 ketika berusia 20 tahun. Pada tempoh ini juga beliau memohon pekerjaan sebagai peguam di Middle Temple, London.
Pada tahun pertama pengajiannya, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad mengambil jurusan dalam bidang Ekonomi. Beliau mendapat Kelas Pertama (Economic Tripos Part I) pada tahun 1937 dan menerima Hadiah Wright. Berdasarkan Kalendar Universiti Cambridge bagi Tahun 1937–1939, beliau turut menerima Hadiah Kolej berjumlah £40.
Setelah itu, beliau bertukar jurusan dalam bidang Undang-undang. Pada tahun 1938, beliau menduduki peperiksaan Law Qualifying Examination II dan mendapat Kelas Pertama, di samping menerima Anugerah Earle. Beliau menamatkan pengajian Law Tripos Part II yang merupakan sebahagian daripada keperluan untuk mengambil peperiksaan Sarjana Muda Undang-undang (LLB) dengan mendapat Kelas Pertama pada tahun 1939. Prestasi beliau terus cemerlang semasa berada pada peringkat pengajian tinggi sehingga melayakkan beliau untuk menerima Anugerah George Long dalam kursus Undang-Undang Rom dan Jurisprudens serta anugerah McMahon Law Studentship.
Pada tahun 1940, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad pulang ke tanah air kerana Perang Dunia Kedua meletus. Semasa di Singapura, beliau mengambil peperiksaan akhir Bar sehingga memperoleh Certificate of Honour sebelum diiktiraf sebagai peguam oleh Middle Temple pada November 1941 tanpa hadir.
Pelibatan dalam Dunia Perundangan
Editor Malayan Law Journal, Dr. Bashir Ahmad Mallal amat memahami semangat tinggi anak muda ini dan menawarkan pekerjaan kepada beliau sebagai penulis undang-undang. Tugas beliau merangkumi tanggungjawab membaca kes yang dihantar oleh mahkamah untuk dilaporkan, mendraf ringkasan pada bahagian awal laporan kes (headnotes) dan menulis nota ringkas.
Beliau juga pernah berkhidmat dengan Hakim Nogi, Ketua Jabatan Undang-undang Jepun di Singapura, juga Hakim Raja Musa, iaitu Hakim Mahkamah Tinggi. Pengalaman ini amat membantu beliau apabila dilantik sebagai majistret pada tahun 1946. Pada 16 September 1946, beliau ditauliahkan sebagai peguam di hadapan Yang Amat Arif Ketua Hakim Murray–Aynsley. Beliau merupakan peguam bela dan peguam cara yang pertama di Singapura.
Sekiranya kita pernah mendengar kes Natrah di Singapura, beliaulah yang menjadi peguam dalam kes itu. Kes tersebut melibatkan perebutan hak penjagaan seorang kanak-kanak perempuan Belanda, iaitu Natrah (Maria Huberdina Hertogh) antara ibu angkatnya, Che Aminah dengan ibu bapa kandungnya yang berasal dari Belanda. Pada Disember 1956, kes ini dirayu di Mahkamah Rayuan Singapura.
Dalam kes ini, walaupun Natrah bernikah mengikut syariat Islam, mahkamah tetap membatalkan perkahwinan itu kerana domisil Natrah adalah dengan mengikut negara ayahnya, iaitu Belanda. Keputusan ini telah menyebabkan Che Aminah dan Natrah terpisah, lantas menimbulkan kemarahan umat Islam di Singapura.
Rentetan daripada kes ini, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad mengusulkan agar usaha memperkukuh undang-undang syariah yang seharusnya melindungi masyarakat Islam Singapura perlu digiatkan lagi. Sebagai ahli Badan Penasihat Islam, beliau bekerjasama dengan ulama Singapura untuk membawa perubahan demi kepentingan masyarakat Islam negara itu.
Pada tahun 1959, beliau dilantik sebagai Peguam Bela Negara. Beliau dilantik sebagai Peguam Negara Singapura yang pertama pada September 1963, dan berkhidmat hingga tahun 1967.
Meskipun beliau amat sibuk dengan tugas hakiki sebagai penjawat awam, tetapi beliau masih mempunyai kesempatan untuk bergiat aktif dalam program kemasyarakatan dan kebajikan masyarakat Islam Singapura.
Ketika mengamalkan undang-undang di Singapura, beliau mempunyai peranan yang signifikan dalam penggubalan Piagam Wanita 1961. Selepas beberapa proses, piagam ini pada akhirnya menjadi undang-undang yang penting di Singapura bagi mengurus hal ehwal berkaitan dengan perkahwinan, perceraian, perwarisan, nafkah dan jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak. Selanjutnya, beliau turut terlibat secara langsung dalam proses penggubalan Muslim Law Enactment (1966).
Pada tahun 1967, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Ahmad dilantik sebagai Duta Singapura ke Mesir dan berkhidmat hingga tahun 1968. Beliau mengambil peluang mendalami ilmu Islam sepanjang beliau berkhidmat di negara tersebut.
Bersambung…
Penulis merupakan pegawai yang bertugas di Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia.