Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAidilfitri sepatutnya menjadi manifestasi kejayaan tarbiah daripada madrasah Ramadan, melahirkan insan yang lebih berdisiplin, beradab dan bertakwa. Perubahan yang diharapkan bukan sekadar pada penampilan luaran, malah pada akhlak dan cara hidup.
Menjelang tibanya Hari Raya Aidilfitri, suasana masyarakat Muslim di Malaysia pastinya dipenuhi dengan rasa kesyukuran dan kegembiraan. Setelah sebulan kita berjuang mendisiplinkan diri menerusi ibadah puasa pada bulan Ramadan, Syawal pula hadir bagi meraikan kemenangan bermakna itu. Namun begitu, dalam keghairahan kita meraikan kemenangan ini, wajar untuk kita merenung sejenak budaya mutakhir ini yang kian menular dalam kalangan masyarakat kita, khususnya dalam cara meraikannya.
Menerusi kecanggihan teknologi dan pelbagai platform media sosial, kita disajikan dengan pelbagai “kandungan raya” yang sangat kreatif. Namun begitu, kadangkala keghairahan mencipta sesuatu kandungan membawa kepada hiburan yang agak keterlaluan yang kurang manis dilihat, apatah lagi apabila dikaitkan dengan sambutan hari raya yang mulia. Keadaan ini menjurus kepada suatu persoalan persoalan yang lebih mendalam, apakah bentuk terjemahan kegembiraan bagi meraikan Syawal dengan keindahan adab dan identiti kita sebagai Muslim?
Hal yang lebih membimbangkan ialah keadaan ini bukan sahaja melibatkan golongan muda, malah merangkumi pelbagai lapisan umur, termasuklah golongan dewasa yang kelazimannya menjadi ikutan masyarakat. Trend masa ini seakan-akan lebih sarat dengan elemen hiburan sehingga kita mungkin terlepas pandang untuk mengetengahkan keindahan nilai keagamaan dan adab yang sebenar.
Ajaran Islam yang indah ini sama sekali tidak pernah menghalang umatnya untuk bergembira, malah Aidilfitri sememangnya disyariatkan sebagai hari untuk umatnya menzahirkan kebahagiaan dan kesyukuran setelah berjuang melawan hawa nafsu selama sebulan. Walau bagaimanapun, konsep kegembiraan dalam Islam sentiasa terikat dengan batas akhlak dan adab. Kita diajar bahawa kegembiraan yang paling indah ialah kegembiraan yang tidak membawa manusia kepada kelalaian dan mencalarkan maruah diri tanpa disedari.
Setiap individu Muslim pada dasarnya merupakan cerminan kepada orang lain di sekeliling. Ibu bapa menjadi teladan kepada anak, guru menjadi contoh kepada pelajar dan pemimpin menjadi ikutan masyarakat. Amalan menjaga maruah diri dan mengelakkan diri daripada mengundang sangkaan buruk manusia merupakan satu sikap yang sangat terpuji. Perkara ini seiring dengan pesanan Imam al-Nawawi (w. 676H) dalam karyanya, al-Minhaj Syarh Sahih Muslim yang mengajak kita untuk bijak mengurus sesuatu tindakan agar tidak menimbulkan fitnah meskipun perkara itu pada asalnya kelihatan remeh.
Selain itu, seorang ulama besar, Ibn Rajab al-Hanbali (w. 795H) dalam karyanya, Lata’if al-Maʻarif fi Ma li Mawasim al-ʻAm min al-Waza’if turut menitipkan nasihat berharga agar kita mengingati bahawa hakikat hari raya yang sebenar tidak hanya terletak pada pakaian baharu atau hiburan luaran semata-mata. Sebaliknya, keindahan Syawal terpancar melalui peningkatan ketaatan kita kepada Allah SWT dan kehalusan budi pekerti kita.
Dalam kepesatan dunia pada hari ini, tidak dinafikan kita mudah untuk terjerumus dalam perlumbaan memuat naik perkembangan semasa diri dalam media sosial, malah pada suatu tahap keadaan ini membayangi kepentingan menjaga keberkatan hari raya. Setiap perbuatan yang kita mulakan lambat laun boleh memberikan kesan jangka panjang kepada pembentukan akhlak masyarakat, terutamanya generasi muda. Alangkah indahnya jika umat Islam dapat bersama-sama memastikan suasana Syawal dipenuhi dengan kandungan yang mempunyai nilai murni.
Aidilfitri sepatutnya menjadi manifestasi kejayaan tarbiah daripada madrasah Ramadan, melahirkan insan yang lebih berdisiplin, beradab dan bertakwa. Perubahan yang diharapkan bukan sekadar pada penampilan luaran, malah pada akhlak dan cara hidup. Jika diperhatikan, pengisian sambutannya mempunyai elemen spiritual yang signifikan menerusi ibadah takbir membesarkan Allah SWT, termasuk sunah yang dianjurkan melalui hadis sebagai panduan kepada umatnya. Firman Allah SWT yang bermaksud,
… Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan mudah-mudahan kamu bersyukur.
(Surah al-Baqarah 2:185)
Oleh itu, marilah kita meraikan hari raya dengan penuh kesederhanaan dan keinsafan. Perbuatan bergembira itu tidak salah, tetapi biarlah berada dalam batas yang memelihara maruah dan nilai diri. Jadikanlah segala perkongsian hantaran dalam media sosial sebagai wadah yang membina jiwa, menyebarkan inspirasi kebaikan dan memaparkan keindahan Islam yang penuh adab, bukannya semata-mata mengejar jumlah tontonan.
Perkara yang paling berharga bukanlah terletak pada kemeriahan sambutan perayaan semata-mata, tetapi cara kita menghayati makna sambutannya di sisi Allah SWT. Semoga Aidilfitri kali ini benar-benar menjadi titik tolak kepada pembinaan akhlak yang lebih mulia dan bermakna dalam kehidupan kita semua. Ingatlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
Antara tanda kebaikan keislaman seseorang itu termasuklah dia meninggalkan perkara yang tidak bermanfaat baginya.
(Hadis riwayat al-Tirmizi, no. 2317).
Penulis merupakan pensyarah di Kolej Matrikulasi Pahang dan Penolong Setiausaha Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) Sesi 23/25. Selain itu, beliau juga seorang aktivis masyarakat dan pendidikan.