Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRamadan menjadi musim ‘penggilapan kolektif’ yang memperkenalkan proses muhasabah yang sistematik. Proses refleksi diri ini dikenali sebagai pengawalan metakognitif (metacognitive regulation) dalam sains kognitif moden
Ramadan bukan sekadar bulan ibadah, malah berperanan sebagai sebuah sistem pendidikan spiritual yang tersusun dan berorientasikan pembinaan takwa. Allah SWT telah menjelaskan kedudukan takwa menerusi Surah al-Baqarah ayat 183 sebagai objektif utama daripada pelaksanaan ibadah puasa. Dalam tradisi intelektual Islam, takwa merupakan kesedaran berasaskan ilmu yang mengawal tindakan manusia.
Menurut Imam al-Ghazali (w. 505H), hati manusia ibarat cermin. Dosa menimbulkan karat, manakala ibadah bertindak melunturkan dan menggilapnya kembali. Oleh itu, Ramadan menjadi musim “penggilapan kolektif” yang memperkenalkan proses muhasabah yang sistematik. Proses refleksi diri ini dikenali sebagai metacognitive regulation (pengawalan metakognitif) dalam sains kognitif moden.
Fizik Keseimbangan: Mengurangkan Entropi Moral
Dalam hukum fizik, konsep entropi merujuk kecenderungan sesuatu sistem menuju keadaan yang tidak teratur. Kehidupan kontemporari yang sarat dengan limpahan maklumat digital, budaya materialistik dan tekanan ekonomi mengundang ketidakteraturan moral dalam diri manusia.
Ramadan berfungsi sebagai mekanisme penstabil. Melalui latihan menahan lapar dan syahwat, manusia berupaya mengurangkan impuls luaran dan meningkatkan kesedaran dalaman. Hal ini selari dengan prinsip fizik bahawa sistem yang terkawal akan menghasilkan kestabilan tenaga. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan dusta dan perbuatan keji, maka Allah tidak berhajat kepada puasanya.
(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 1903)
Hadis ini menunjukkan bahawa pengurangan entropi pada bulan Ramadan bukan bersifat fizikal semata-mata, tetapi merangkumi penyusunan semula struktur etika. Disiplin tersebut turut selari dengan metodologi eksperimen dan pemerhatian teratur yang ditekankan oleh sarjana fizik Muslim, Ibn al-Haytham (w. 430H). Kedua-duanya menuntut kawalan diri, ketelitian dan kesabaran yang tinggi.
Biologi Puasa: Homeostasis dan Neuroplastisiti
Dalam ilmu biologi, tubuh manusia sentiasa mengekalkan keseimbangan melalui proses homeostasis. Ibadah puasa merangsang adaptasi metabolik, meningkatkan sensitiviti insulin dan mengaktifkan proses autofagi (pembersihan sel).
Kajian neurosains turut membuktikan bahawa disiplin yang dilakukan secara berulang mampu menyusun semula struktur, fungsi dan sambungan saraf otak melalui proses neuroplastisiti. Tatkala seseorang mengawal marah, menahan diri daripada berkata kasar dan memperbanyak zikir, jaringan saraf baharu terbentuk. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,
Sesiapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan pahala, diampunkan dosanya yang telah lalu.
(Hadis riwayat al-Bukhari, no. 38)
Pengampunan ini bukan sahaja bersifat teologi, malah mempunyai kesan psikologi yang mendalam dengan memberikan ruang kepada pembentukan identiti baharu yang lebih seimbang.
Ilmuwan seperti al-Biruni (w. 440H) melihat alam ini sebagai jaringan sistem saling berkaitan antara satu dengan lain. Pendekatan holistik beliau telah membantu kita memahami bahawa transformasi fizikal, mental dan spiritual saling mempengaruhi.
Dimensi Kimia: Ramadan sebagai Reaksi Transformasi Berarah
Dalam disiplin kimia, sesuatu perubahan tidak berlaku secara rawak melainkan berlaku tindak balas yang mempunyai arah, kadar dan syarat tertentu. Setiap tindak balas memerlukan tenaga pengaktifan (activation energy) sebagai dorongan awal yang membolehkan sesuatu bahan meninggalkan keadaan asal untuk membentuk struktur yang baharu. Tanpa tenaga ini, perubahan kekal sebagai potensi yang tidak zahir.
Dalam konteks ini, Ramadan menyediakan “tenaga pengaktifan rohani” melalui pelaksanaan ibadah secara kolektif, perubahan rutin harian dan intensifikasi amalan. Keadaan tersebut berfungsi sebagai rangsangan awal yang mencetuskan transformasi dalam diri manusia. Individu yang pasif terhadap perubahan akhlak sebelum ini, mula terdorong untuk memperbaik diri disebabkan oleh sokongan ekosistem sekeliling.
Selain itu, kehadiran pemangkin juga mempercepat tindak balas tanpa mengubah struktur asal bahan. Kedatangan Ramadan menjadi pemangkin perubahan akhlak dengan cara mempercepat proses pembaikan diri tanpa menafikan fitrah manusia. Amalan seperti qiamullail, tadarus al-Quran dan sedekah tidak mengubah hakikat manusia sebagai makhluk yang mempunyai keinginan, tetapi memanfaatkannya ke arah yang lebih bermakna dan terkawal.
Al-Quran yang diturunkan pada bulan ini sebagai agen penstabil tindak balas rohani. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah ayat 185 menjelaskan bahawa al-Quran menjadi petunjuk dan pembeza (al-furqan) antara kebenaran dengan kebatilan. Dari sudut analogi kimia, al-Quran memandu reaksi perubahan manusia berlaku secara terarah. Tanpa panduan wahyu, perubahan emosi dan spiritual berisiko menjadi tidak stabil seperti tindak balas kimia yang berlaku tanpa kawalan suhu dan tekanan.
Ahli kimia Muslim, Abu Bakr al-Razi (w. 313H) memahami kimia bukan sekadar tentang eksperimen bahan, tetapi satu proses pemurnian. Prinsip pemisahan, penyulingan dan penulenan yang dikembangkan dalam alkimia Islam mempunyai makna simbolik yang mendalam. Unsur yang bercampur perlu diasingkan agar zat yang murni dapat dimanfaatkan. Ramadan menjalankan fungsi yang sama terhadap jiwa manusia melalui kaedah memisahkan niat daripada sifat riyak, keinginan daripada kerakusan, serta ibadah daripada kebiasaan kosong.
Begitu juga dalam kinetik kimia, kadar tindak balas dipengaruhi oleh suhu, kepekatan dan persekitaran. Ramadan meningkatkan “kepekatan” amal soleh dalam kehidupan seharian. Apabila sedekah, doa dan zikir menjadi amalan dominan, kadar perubahan akhlak meningkat dengan ketara. Faktor ini menjadikan Ramadan sering melahirkan lonjakan moral yang sukar dicapai pada bulan lain.
Walau bagaimanapun, prinsip kimia mengajarkan suatu tindak balas yang tidak diteruskan akan kembali kepada keadaan asal. Perubahan yang dicetuskan pada bulan Ramadan menuntut pengekalan keadaan baharu atau fasa penstabilan (stabilization phase) selepas bulan tersebut berakhir. Istiqamah pasca-Ramadan umpama proses penyejukan terkawal dalam makmal demi memastikan struktur baharu kekal stabil dan tidak runtuh.
Oleh hal yang demikian, bulan Ramadan ibarat “makmal transformasi akhlak” yang beroperasi menurut prinsip kimia yang memerlukan tenaga pengaktifan, dipercepat oleh pemangkin, diarahkan oleh panduan, dan distabilkan melalui kesinambungan amal. Perspektif ini memperlihatkan bahawa perubahan diri dalam Islam bukan proses mistik yang kabur, sebaliknya satu transformasi berdisiplin yang boleh dianalisis secara saintifik dan dihayati secara rohani.
Bersambung…
Penulis merupakan seorang guru penyelaras bagi mata pelajaran Kimia di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan. Beliau banyak menghasilkan penulisan yang menggabungkan wacana sains, khususnya kimia, dengan sastera dan puisi sebagai medium refleksi intelektual dan pembinaan makna.