Diterbitkan pada 9 Februari 2026, 21:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Projek terjemahan al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (Ensiklopedia Fiqh) kelolaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memasuki fasa terakhir yang melibatkan baki lapan jilid daripada 45 jilid keseluruhan, bermula pada awal bulan ini.

Kesinambungan projek tersebut susulan persetujuan Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, selaku penerbit asal meluluskan pelanjutan tempoh pelaksanaannya selama lima tahun, bermula dari 24 Januari 2025 hingga 25 Januari 2030 tanpa sebarang pindaan pada terma asal.

Ketika ini, perkembangan projek bagi tiga fasa sebelum ini mencatatkan kemajuan yang memberangsangkan dengan 84 peratus bagi Fasa 1 (12 jilid), 37 peratus bagi Fasa 2 (15 jilid) dan 33 peratus bagi Fasa 3 (10 jilid).

Setiap fasa melalui prosedur penerbitan yang ketat merangkumi proses penterjemahan, pentashihan, pengesahan dan penyuntingan sebelum dimuktamadkan sebagai naskhah sedia terbit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan menegaskan bahawa projek ini wajar disokong sepenuhnya memandangkan kerumitan menterjemahkan karya setebal hampir 17 000 halaman menuntut ketelitian yang mendalam.

“Barangkali timbul persoalan mengenai keperluan penterjemahan manual memandangkan kewujudan teknologi dan kecerdasan buatan mampu untuk melakukan perkara sedemikian.

“Proses terjemahan ini mempunyai disiplin yang tersendiri,” katanya ketika merasmikan program Nadwah Panel Pakar Ensiklopedia Fiqh di Dewan Dato’ Abdul Rahim Abu Bakar, Menara DBP, pada Isnin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan ketika menyampaikan ucapan perasmiannya.

“Dalam ilmu fiqh, proses ini menuntut kepakaran dan keilmuan khusus agar terjemahan yang dilaksanakan tepat mengikut konteks asal dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah.

“Proses ini juga bukan hanya sekadar terjemah, tetapi memerlukan disiplin ilmu yang kuat dan sistematik demi menjamin ketajaman terjemahan,” ujarnya.

Menurut Dr. Zulkifli, DBP melantik panel pakar yang terdiri daripada golongan ilmuwan yang berautoriti, mendalami ilmu fiqh serta menguasai bahasa Arab dan teknik penterjemahan.

Tambah beliau, usaha menterjemah karya besar ini bertujuan untuk membolehkan masyarakat umum menikmati khazanah ilmu yang bermanfaat, sekali gus meningkatkan kefahaman Islam.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menekankan keperluan merancakkan dan meningkatkan mutu penerbitan buku agama agar dapat memberikan kefahaman yang baik kepada masyarakat.

“Projek ini merupakan antara legasi dan sumbangan kita untuk membentuk negara MADANI, iaitu masyarakat yang cintakan ilmu, memahami Islam yang wasatiyah, serta menghayati nilai maqasid, ihsan dan berkemajuan,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari berkata, penerbitan Ensiklopedia Fiqh merupakan satu amanah besar kepada DBP dalam usaha membentuk kefahaman dan pemikiran masyarakat.

“Pada era teknologi maklumat yang begitu pantas dan mencabar, buku agama terutamanya, Ensiklopedia Fiqh menjadi antara rujukan muktabar bagi menangani kekeliruan, salah faham dan penyelewengan pemikiran terhadap ajaran Islam.

“Peranan panel pakar amat penting sebagai benteng mutu, ketepatan fakta dan kesahihan sumber, serta kesesuaian pendekatan penyampaian ilmu,” katanya.

Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapannya.

Pada masa yang sama, sesi penyampaian sijil penghargaan turut diadakan kepada panel pakar bagi projek Fasa 1, di samping penyerahan watikah pelantikan kepada panel pakar baharu bagi projek Fasa 4.

Terdahulu, majlis tersebut menyaksikan pengisian Diskusi Pakar bersama-sama dengan panel dan pakar bagi membincangkan dan mengemukakan pandangan penambahbaikan projek berkenaan.

Al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah merupakan sebuah karya yang disusun oleh puluhan ulama terkemuka dari Syria, Mesir dan Kuwait yang merangkumi penjelasan secara menyeluruh hal berkaitan dengan fiqh empat mazhab Sunni.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Mufti Negeri Selangor, YBhg. Sahibus Samahah Dato’ Dr. Haji Miszairi Haji Sitiris; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah, Pengarah Jabatan, Ketua Bahagian dan Ketua Editor DBP.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi