Diterbitkan pada 5 Februari 2026, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Status kehalalan makanan tular pada hari ini memerlukan ilmu pengetahuan yang kukuh mengenainya serta kewaspadaan terhadap pengaruh trend semasa yang semakin meluas.

Dekan Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, YBhg. Profesor Dr. Yumi Zuhanis Has-Yun Hashim berkata kefahaman terhadap konsep makanan halal perlu kembali kepada asas yang ditetapkan dalam al-Quran.

Menurut beliau, cabaran produk makanan pada hari ini melibatkan bahan tersembunyi padanya disebabkan oleh perkembangan teknologi pemprosesannya yang semakin kompleks seperti kejuruteraan genetik dan daging kultur.

Bahan tersembunyi tersebut tidak tertera pada label produk kerana terikat oleh peraturan pelabelan menerusi akta, menjadikan ilmu kepenggunaan sangat kritikal untuk membezakan antara halal dengan syubhah pada sesuatu produk.

Beliau berkata demikian dalam program Suara Dari Anjung Dewan Tamadun Islam bertajuk “Makanan Tular atau Makanan Halal?” di Anjung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Menara DBP pada Khamis.

Menyentuh mengenai gejala makanan tular, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap kesannya kepada kebanyakan generasi muda yang celik digital.

Tambah beliau, budaya takut ketinggalan atau Fear of Missing Out (FOMO) mendorong golongan berkenaan mudah terpedaya dengan visual makanan yang menarik tanpa mengambil kira aspek nutrisi dan kesihatan.

“Makanan tular sering dikaitkan dengan kandungan gula dan lemak yang tinggi serta kurang serat,” katanya.

Selain risiko kesihatan, beliau berkata trend sedemikian mengakibatkan kesan domino seperti pembaziran apabila saiz hidangan yang dipaparkan dalam media sosial mendorong pembelian berlebihan.

Beliau menegaskan bahawa pengguna memiliki kuasa sebagai penentu dalam pasaran, justeru mereka perlu mengenal pasti bahan dan ramuan kritikal dalam makanan seperti gelatin yang kebanyakannya daripada sumber haiwan, termasuk haiwan haram seperti khinzir.

Jelasnya, masyarakat awam merupakan pengguna akhir tidak mempunyai kawalan terhadap rantaian bekalan makanan pada peringkat pertengahan, khususnya bahan seperti gelatin yang bukan merupakan produk akhir.

“Sistem pensijilan halal di Malaysia bersifat sukarela dan bukannya mandatori,” katanya.

Oleh itu, beliau memaklumkan bahawa produk yang tidak mempunyai logo halal Malaysia, tetapi memaparkan logo halal daripada badan pensijilan luar negara perlu disemak menerusi senarai Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf pada laman sesawang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pada masa yang sama, Panel Perunding Dasar Halal Negara, YBhg. Profesor Dr. Sa‘adan Man turut membangkitkan isu kekeliruan pengguna mengenai status halal premis makanan, khususnya restoran baharu dan penggunaan istilah yang mengelirukan.

“Restoran yang baru beroperasi tidak akan memperoleh pensijilan halal secara automatik, sebaliknya perlu melalui tempoh selewat-lewatnya setahun sebelum layak memohon sijil halal, selaras dengan prosedur yang ditetapkan,” ujarnya.

“Penggunaan istilah Muslim Friendly, No Pork No Lard, No Alcohol, Bufet Ramadan atau istilah lain yang menggambarkan seolah-olah sesuatu produk atau premis itu halal tidak dibenarkan,” tegas beliau.

Beliau menambah bahawa label ‘Produk Muslim’, lambang Kaabah dan masjid juga tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya tanpa memiliki sijil halal yang sah, dan perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Beliau menjelaskan bahawa penilaian halal makanan bergantung kepada tiga aspek utama, iaitu ilmu pengguna, integriti pengusaha dan autoriti pihak berkuasa agama seperti JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Mengulas tahap literasi halal masyarakat, beliau berpandangan bahawa kesedaran halal masih belum mencapai tahap memuaskan, khususnya masyarakat Muslim di kawasan bandar.

Faktor pendidikan serta penyampaian ilmu halal yang tidak konsisten sejak peringkat sekolah dilihat menyumbang kepada kekurangan kesedaran berterusan sehingga peringkat dewasa.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa isu halal yang tular dalam media sosial sedikit sebanyak membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemilihan makanan halal.

Sebagai panduan, beliau menasihatkan pengguna agar memastikan kewujudan logo halal Malaysia atau logo halal luar negara yang diiktiraf, meneliti ramuan produk, dan sekiranya masih timbul keraguan, menyerahkan penilaian tersebut kepada hati yang memiliki ketakwaan sebagai benteng terakhir.

Sementara itu, wacana Suara Dari Anjung Dewan Tamadun Islam berkenaan dikendalikan oleh Penolong Pengarah Kanan Unit Komunikasi Korporat, JAKIM, YBrs. Encik Mohamad Zarifi Mohamad Daud selaku moderator.

Program tersebut turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Encik M. Azahari Edin, Ketua Editor, karyawan DBP serta para pelajar Kolej Profesional MAIWP.

Barisan ahli panel, tetamu kehormat dan para hadirin dalam program Suara Dari Anjung Dewan Tamadun Islam bertajuk “Makanan Halal atau Makanan Tular?” di Anjung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Menara DBP.
Kredit Foto: Khairul Azhar
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi