Diterbitkan pada 26 Januari 2026, 11:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Cadangan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Malaysia (JPSM) ketika ini berada pada peringkat akhir persediaannya untuk pembentangan Memorandum Jemaah Menteri bagi mendapatkan kelulusan dasar.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Kedah, YB Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut beliau, selepas kelulusan dasar diperoleh daripada Jemaah Menteri, perkara tersebut akan dibawa kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi pengesyoran sebelum diangkat kepada Majlis Raja-Raja untuk perkenan.

“Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia akan mengadakan mesyuarat bersama dengan Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri dalam masa terdekat bagi membincangkan isu teknikal secara lebih terperinci.

“Penubuhan JPSM ini bakal menjadi sebuah entiti khusus pada peringkat persekutuan dan pusat rujukan berkaitan dengan perundangan jenayah syariah kepada pemegang taruh,” katanya.

Ujar beliau, cadangan sedemikian amat diperlukan bagi memastikan gerak kerja pendakwaan syariah seluruh Malaysia seragam, di samping tiada negeri yang ketinggalan dari segi perkembangan undang-undang dan fungsi pentadbiran.

Selain itu, penyelarasan ini membolehkan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri melaksanakan keseragaman tindakan pendakwaan syariah tanpa menjejaskan autonomi dan autoriti negeri melaksanakan kuasa masing-masing.

Dr. Zulkifli menambah bahawa matlamat utamanya adalah untuk mengaplikasikan prinsip pengasingan kuasa yang diamalkan di Malaysia, khususnya penyelarasan perundangan jenayah syariah, pentadbiran latihan, kompetensi dan profesionalisme agar mutu pendakwaan syariah di Malaysia dapat ditingkatkan kepada tahap yang lebih tinggi.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa kerajaan turut mengambil kira kedudukan pendakwaan syariah di Wilayah Persekutuan dan 13 negeri yang diasingkan sepenuhnya daripada Jabatan Agama Islam Negeri, manakala Sabah berada pada peringkat akhir proses penubuhan jabatannya.

“Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri telah mengadakan persidangan meja bulat perbincangan berkaitan dengan cadangan tersebut,” ujarnya.

Katanya lagi, perbincangan itu melibatkan pihak berkuasa agama negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, serta menegaskan bahawa cadangan penubuhannya tidak akan menghakis kuasa negeri.

Mengulas lanjut mengenai prestasi terkini mahkamah syariah, Dr. Zulkifli berkata terdapat perkembangan positif terhadap perkara berkenaan apabila banyak kes berjaya diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan.

Berdasarkan statistik pendaftaran kes jenayah dan pendakwaan di Wilayah Persekutuan bagi tempoh tahun 2019 hingga tahun 2025, prestasi yang ditunjukkan amat memberangsangkan dengan 9387 kes bagi kesalahan di bawah Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984, manakala 858 kes di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Kredit Foto: Pejabat YBM HEA
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi