Diterbitkan pada 22 Disember 2025, 17:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tradisi penulisan sejarah dalam Islam telah pun bertapak lebih awal dan berkembang kukuh dengan pendekatan yang objektif serta pengadilan moral yang sesuai dengan konteks masyarakat pada zaman penulisnya.

Sejarah merupakan sebuah pengisahan peristiwa bermakna dan penting yang melibatkan para pelakunya pada waktu serta ruang tertentu di dunia ini. Sejarah turut berkaitan rapat dengan dunia Islam yang mempunyai jutaan penganutnya. Apakah yang dapat kita fahami dengan istilah dunia Islam pada hari ini? Pengertian mengenainya tidak terhad kepada sempadan geografi semata-mata, tetapi turut merangkumi lokasi keberadaan syariat dan syiar Islam itu sendiri.

Dalam tempoh waktu tertentu, pelbagai peristiwa berlaku sama ada pahit ataupun manis, seterusnya membentuk sejarah dalam sejarah dunia Islam yang catatan serta kesannya masih dapat kita saksikan sehingga hari ini. Bertitik tolak daripada hal ini, kita dapat memahami bahawa fungsinya sebagai perakam sebuah peradaban dan penggerak kepada perubahan.

Sejarah sebagai Perakam Peradaban

Tentang sejarah, al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT meliputi pelbagai rakaman peristiwa umat terdahulu, bermula dari zaman Nabi Adam a.s. hingga zaman Nabi Muhammad SAW. Meskipun kitab suci ini sarat dengan catatan kisah, kita tetap tidak boleh menganggapnya sebagai buku sejarah semata-mata kerana lautan hikmah dan ilmu pengetahuan yang terkandung dalamnya melangkaui daripada perkara tersebut. Surah dalam al-Quran memberikan gambaran tentang perihal kerajaan terdahulu seperti kerajaan Firaun yang diceritakan dalam Surah al-Qasas, kaum Saba’ dalam Surah Saba’, bahkan kisah empayar Rom menerusi Surah al-Rum.

Sejarah sosial masyarakat turut dipaparkan melalui peristiwa Ashab al-Kahfi dan Ashab al-Ukhdud yang masing-masing dimuatkan dalam Surah al-Kahf serta Surah al-Buruj. Kesemua kisah ini dirakamkan agar manusia mengetahui tentang keadaan generasi terdahulu sebagai iktibar dalam pembentukan umat yang lebih baik. Oleh itu, para sarjana dunia Islam menggunakan pendekatan penulisan sejarah sebagai medium rakaman zaman setelah kewafatan Rasulullah SAW seperti dalam jadual yang berikut:

Penulis Tahun Wafat Karya
Ibn Hisyam (‘Abd al-Malik bin Hisyam) 218H/833M Al-Sirah al-Nabawiyyah
Al-Balazuri (Ahmad bin Yahya) 279H/892M Futuh al-Buldan
Al-Tabari (Abu Ja‘far Muhammad bin Jarir) 310H/923M Tarikh al-Rusul wa al-Muluk
Ibn Khaldun (‘Abd al-Rahman bin Muhammad) 808H/1406M Muqaddimah
Al-Jabarti (‘Abd al-Rahman bin Hasan) 1240H/1825M ʻAja’ib al-Athar fi al-Tarajim wa al-Akhbar

Daripada senarai sejarawan Muslim dan karya mereka di atas, ternyata perkembangan historiografi berkaitan dengan umat Islam telah mendahului zaman sebelum kemunculan Eropah sebagai pusat kajian sejarah moden. Mereka yang terlatih dalam disiplin ilmu ini sering menggemakan nama-nama sejarawan Barat seperti Leopold von Ranke, Herbert Butterfield, R. G. Collingwood, Lord Acton dan tokoh aliran Annales di Perancis. Sedangkan tradisi penulisan sejarah dalam Islam telah pun bertapak lebih awal dan berkembang kukuh dengan pendekatan yang objektif serta pengadilan moral yang sesuai dengan konteks masyarakat pada zaman penulisnya.

Sebagai contoh, Ibn Hisyam banyak menggunakan tradisi penulisan aliran Madinah (Ahl al-Madinah) yang berpaksikan pada periwayatan hadis dan khabar daripada mereka yang bersambung sanad kepada sahabat Rasulullah SAW. Daripada pendekatan ini, penulisan sejarah berkembang menjadi perbendaharaan rujukan ilmu pengetahuan buat generasi selepasnya.

Lain padang lain belalang, para penulis sejarah pasca-Ibn Hisyam memperkemas lagi penulisan sejarah masing-masing walaupun lokasi penulisan mereka tertumpu di Baghdad pada era Kerajaan Abbasiyah. Al-Balazuri dan al-Tabari telah menyusun himpunan peristiwa dari zaman Kerajaan Umaiyah hingga penubuhan Kerajaan Abbasiyah dalam karya mereka. Lantaran itu, apakah kepentingannya?

Penulisan sejarah dunia Islam ketika itu berkembang dengan kemasukan pelbagai sumber yang melalui proses kritikan dalaman dan luaran, sekali gus membantu penghasilan catatan peristiwa yang lebih objektif. Karya kedua-dua tokoh ini kekal menjadi rujukan utama sehingga kini, malah Tarikh al-Rusul wa al-Muluk oleh al-Tabari yang terdiri daripada 40 jilid dalam bahasa Arab telah diterjemahkan kepada bahasa Inggeris dan mendapat liputan meluas di universiti terkemuka Eropah. Peristiwa jatuh bangun era pemerintahan Islam dari zaman Khalifah Mu‘awiyah sehingga pasca-Khalifah Abu al-‘Abbas ‘Abdullah (digelar al-Saffah) dicatatkan dalam satu kronologi sejarah yang sistematik.

Memasuki alaf kedua pemerintahan umat Islam, Ibn Khaldun dan al-Jabarti meneruskan legasi penulisan sejarah dengan suntikan elemen yang lebih segar. Karya Muqaddimah oleh Ibn Khaldun mengetengahkan pendekatan multidisiplin ilmu yang menggabungkan analisis sosiologi, ekonomi dan geografi. Tidak hairanlah beliau digelar sebagai “Bapa Sejarah” dunia Islam kerana usahanya memperkenalkan teori kitaran sejarah yang menjelaskan tahap peradaban manusia dari fasa permulaan, peningkatan, kegemilangan hingga kejatuhannya. Penulisan beliau berteraskan konsep ‘umran yang merujuk tahap kemajuan peradaban melalui tingkah laku masyarakat badwi dan masyarakat hadari sekitar kurun ke-14 Masihi.

Al-Jabarti pula mencatatkan peristiwa penjajahan Napoleon Bonaparte dan tenteranya ke atas dunia Islam khususnya di Mesir pada tahun 1798. Catatan ini begitu mustahak untuk dirujuk ulang bagi mereka yang ingin mendalami kajian zaman imperialisme Barat, kemunduran umat Islam serta perubahan politik Mesir ketika Kerajaan Turki Uthmaniyah masih berkuasa.

Sejarah buat Pencetus Arus Perubahan

Dalam cakupan yang lebih luas, terdapat juga individu yang bukan ahli sejarah menghasilkan penulisan dengan menggunakan peristiwa sejarah sebagai pemangkin perubahan. Antaranya termasuklah pemikir Muslim kontemporari seperti Ali Shariati (ahli sosiologi Iran), Muhammad Zia-ul-Haq (ahli politik Pakistan) dan Shakib Arslan (ahli politik Lubnan) yang menggegarkan wacana dalam dunia Islam pada kurun ke-20.

Ali Shariati misalnya mengolah sejarah dan peristiwa ibadah haji sebagai instrumen kesedaran kemanusiaan, seruan pelepasan daripada penindasan, kebebasan daripada belenggu rasisme, serta pembentukan teologi yang membebaskan melalui bukunya, Hajj. Zia-ul-Haq pula menyeru semangat revolusi yang diinspirasikan daripada kisah para rasul, bermula dari era Nabi Saleh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Syu‘ib a.s., hingga zaman Nabi Muhammad SAW dalam karyanya, Revelation & Revolution in Islam.

Menjelang era kejatuhan Turki Uthmaniyah, Shakib Arslan tampil dengan bukunya, Our Decline: Its Causes and Remedies bagi memperincikan persoalan kejatuhan umat Islam. Baginya, kemunduran umat Islam berpunca daripada hilangnya rasa mulia dalam diri, tebal dengan sikap takut terhadap musuh, tidak berasa simpati akan nasib sesama Muslim serta belenggu kejahilan ilmu pengetahuan. Motif di sebalik penulisan mereka ini tidak lain adalah untuk membangkitkan kesedaran umat dengan mengimbas kembali sejarah peradaban Islam yang telah melalui pelbagai episod jatuh dan bangun.

Di bumi Malaysia pula, Profesor Diraja Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas menjadikan sejarah sebagai instrumen penting untuk masyarakat Melayu–Islam mengenali identiti mereka. Dalam tulisannya, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, al-Attas mengupas tentang perubahan pandangan alam dan ketinggian intelektual masyarakat Melayu di Nusantara kesan daripada proses islamisasi yang menggantikan pengaruh Hindu–Buddha.

Melalui sejarah, sebuah masyarakat seharusnya belajar untuk membangunkan diri mereka daripada mimpi panjang kemunduran kepada ruang kesedaran insan yang berasaskan ilmu pengetahuan di bawah bimbingan wahyu. Generasi hari ini tidak seharusnya menganggap bahawa mempelajari sejarah merupakan sesuatu perkara yang sia-sia. Dengan sejarah, kita pada hakikatnya dapat mengenal diri untuk mencari makna keunggulan pada esok hari.

Sebagai renungan, tahun 2025 menyaksikan pelbagai tekanan terhadap masyarakat dalam dunia Islam dari sudut ekonomi, geostrategik mahupun kemanusiaan. Peningkatan tarif oleh Amerika Syarikat terhadap negara Islam, termasuk Malaysia jelas memperlihatkan umat Islam perlu mempunyai kekuatan ekonomi bagi mengimbangi tekanan tersebut.

Dada akhbar juga melaporkan pelbagai siri pencabulan kedaulatan oleh watak haram Israel terhadap dunia Islam seperti genosid di Gaza, serangan 12 hari ke atas Iran, serta konflik bersenjata di Lubnan, Yaman dan Qatar. Ketika artikel ini ditulis, isu Global Sumud Flotilla (GSF) sedang hangat diperkatakan sebagai satu perjuangan kemanusiaan oleh masyarakat dunia untuk membela nasib mereka yang tertindas di Gaza. Kesemua peristiwa ini wajar menjadi rakaman sezaman supaya umat Islam tidak terus leka, sebaliknya bangkit dengan satu tindak balas demi masa hadapan umat.

Selepas tempoh 25 hingga 30 tahun kelak, peristiwa ini bakal menjadi catatan sejarah yang memenuhi rak buku dan ruang arkib. Sebagai umat yang digelar umat terbaik, masyarakat di dunia Islam perlu mengorak langkah dengan progresif untuk mencipta sejarah gemilang mereka sendiri bermula hari ini. Jangan biarkan naratif penindasan dan tayangan babak kemunduran berlangsung terus-menerus tanpa usaha perubahan.

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tidak seharusnya berpeluk tubuh, sebaliknya perlu menemukan fungsi mereka di pentas antarabangsa sebagai penggerak kepada perubahan masyarakat Islam. Jadikanlah perkara yang berlaku pada tahun ini sebagai pemberi kekuatan untuk kita mengubah cara berfikir, cara melihat dunia, cara mendalami ilmu serta cara membangunkan kehidupan.

Sebagai kesimpulan, sejarah dunia Islam menyimpan pelbagai sejarah sisipan yang wajar kita renung untuk manfaat bersama. Hanya mereka yang kenal dan terdidik dengan sejarah mampu membina lembaran baharu yang lebih gemilang. Kita pernah melalui zaman kejatuhan dan kini masih boleh dikatakan berada dalam keadaan mundur.

Usah biarkan keadaan ini masih serupa untuk tatapan pada hari esok. Bukalah pemikiran agar kita memperoleh sesuatu yang berguna daripada tinggalan sejarah melalui renungan retrospektif berlandaskan panduan wahyu dan akal rasional. Usah biarkan “kekeldaian” fikiran terus membelenggu. Bebaskan diri daripada cengkaman minda tertawan agar kita dapat membuktikan umat Islam benar-benar umat yang terbaik.


Dr. Noorilham Ismail merupakan seorang pensyarah kanan di Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Sejarah Amerika Syarikat Moden, Sejarah Eropah Moden, Sejarah Amerika Latin dalam era Perang Dingin, hubungan Amerika Syarikat–Asia Tenggara semasa Darurat Tanah Melayu (1948–1960), serta Sejarah Islam di Johor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi