Diterbitkan pada 20 November 2025, 10:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Apabila kita, umat Islam melangkah ke alam digital sebagai pengguna kecerdasan buatan (AI) pada hari ini, kita tidak lagi duduk bersila di madrasah atau menelaah kitab kuning dengan guru. Cukup hanya pada papan kekunci, bertanyakan soalan dalam ruang carian atau bot sembang AI. Sebagaimana yang diharapkan, lalu muncullah jawapan sepantas kilat yang bukan sahaja kelihatan mudah difahami, bahkan meyakinkan. Namun begitu, kebanyakan dalam kalangan kita tidak menyedari bahawa di sebalik kemudahan itu tersembunyi doktrin halus yang boleh melemahkan akidah umat Islam dan jati diri bangsa.

Hal ini perlu ditegaskan bahawa dalam persoalan agama, jawapan yang terhasil oleh teknik yang disebut sebagai prom (prompt), iaitu cara kita mengemukakan pertanyaan kepada AI bukanlah berdasarkan keikhlasan hati atau sanad ilmu, tetapi merujuk maklumat yang dikumpulkan dan diindeks secara statistik oleh mesin.

Prom ialah ayat atau arahan yang ditaip untuk “memancing” maklumat tertentu. Jika kita bertanya secara umum atau samar, jawapannya juga akan cenderung berbentuk sedemikian. Walau bagaimanapun, jika kita bertanya dengan teliti dan tepat, insya-Allah kita akan mendapat jawapan yang lebih mendekati maksud sebenar ilmu.

Misalnya, jika kita mencari makna “Islam” tanpa asas pengetahuan agama, kita mudah tersasar kepada tafsiran yang kabur. Barangkali kita mendapat jawapan sama ada bersifat terlalu progresif, ekstrem mahupun sinkretik, yakni campuran fahaman agama lain yang kelihatan rasional tetapi tidak berlandaskan turath yang sahih. Contoh prom yang umum dan boleh menimbulkan kekeliruan ialah:

Adakah semua agama benar?

Adakah syurga untuk semua?

AI akan menjawab berdasarkan semangat toleransi moden yang kadangkala menafikan prinsip tauhid dan kenabian. Hal yang lebih membimbangkan lagi ialah AI juga tidak mengenal adab. AI menjawab seperti mesin yang hanya menjalankan perintah, bukan seperti seorang murid yang berhati-hati di hadapan gurunya, dan AI tidak akan pernah berkata, “Wallahu a‘lam.” Pendeknya, AI tidak tahu makna gentar tatkala membaca firman Allah SWT, tidak memahami erti rindu kepada Rasulullah SAW, apatah lagi menangis ketika membaca hadis Baginda.

Tanpa bimbingan adab menuntut ilmu, pengguna AI akan menganggap setiap jawapan AI sebagai fatwa walaupun sekadar lontaran serpihan teks di Internet. Kebergantungan seperti ini bukan sahaja merosakkan disiplin ilmu, malah boleh melahirkan keangkuhan digital apabila pengguna mula berasa dirinya serba tahu segalanya hanya kerana AI menjawab dengan penuh yakin.

Seperkara penting lagi ialah AI turut mengukuhkan gelembung kognitif (cognitive bubble). Keadaan ini berlaku apabila sistem AI mempelajari corak soalan kita lalu menyediakan maklumat yang selari dengan kecenderungan peribadi. Jika kita sering mencari pandangan yang longgar, maka AI akan terus mengungkapkan pandangan sedemikian. Sekiranya kita condong kepada fahaman liberal atau ekstrem, maka sistem akan memperkukuh kecenderungan itu.

Akhirnya, pengguna hanya melihat satu sisi dunia, lalu meyakini bahawa hal itu sebagai satu-satunya kebenaran. Dalam situasi sebegini, pengguna AI tidak lagi mencari guru, tidak lagi menghadiri halakah dan tidak lagi membaca kitab. Mereka hanya menadah skrin dan menelan segala “kebenaran” daripadanya.

Pernah juga disebut sebelum ini, AI mencipta skrip ceramah agama dengan gaya yang meyakinkan tetapi isinya menyimpang daripada dasar akidah. Meskipun nadanya kelihatan islamik, hakikatnya mesej yang dibawa telah menyerap fahaman asing yang memisahkan iman daripada amal dan ibadah daripada perjuangan. Oleh itu, umat Islam perlu sentiasa berwaspada, jangan biarkan hati belajar tanpa berguru dan jangan biarkan agama ditafsirkan tanpa hidayah.

Namun begitu, tidak wajar bagi kita menolak teknologi secara membuta tuli. AI hanyalah alat, bukannya musuh sebagaimana pisau yang boleh menyembelih ayam dan juga mencederakan orang. Semuanya bergantung pada individu yang menggunakannya. AI juga perlu dipandu dengan adab, niat dan kefahaman agama. Kita mesti mendidik umat Islam menggunakan prom dengan cermat, pintar dan bertanggungjawab.

Bagaimanakah caranya? Mulakan dengan mengajar makna prom itu sendiri menerusi cara kita bertanya. Pendekatan tersebut bukan sekadar berkaitan dengan pertanyaan “soalan”, tetapi juga merangkumi arah dan tujuannya. Soalan yang salah akan membawa jawapan yang sesat, manakala soalan yang baik membawa kita lebih dekat kepada hikmah. Misalnya, prom samar yang sering digunakan secara tidak tepat ialah:

Apakah hukum bercinta dalam Islam?

Soalan seperti ini adalah luas dan terbuka kepada pelbagai tafsiran, tetapi jika prom tersebut ditulis begini:

Apakah pandangan ulama mazhab Syafii tentang hubungan lelaki dengan perempuan sebelum nikah dalam konteks pelajar universiti?

Kita akan dapati AI cuba menjawab dalam kerangka yang lebih berfokus dan berakar pada tradisi. Antara contoh lain yang mungkin kita boleh gunakan sebagai prom ketika meminta bantuan AI termasuklah:

Apakah perbezaan antara akidah Ahli Sunah dengan fahaman Muktazilah dari aspek sifat Allah SWT?

atau:

Berdasarkan prinsip maqasid syariah, adakah harus bagi Muslim menyambut perayaan agama lain dalam keluarga bukan Islam?

Dalam erti kata lain, dengan teknik prom yang tepat dan berhemah, kita berupaya mendorong AI menampilkan kandungan yang lebih sahih dan berpaksikan wacana keilmuan yang benar. Hal ini bukan bermakna AI menjadi guru, sebaliknya kita menjadikan AI sebagai alat untuk menyusun semula kefahaman dan tidak ada kena mengena dengan perihal mencipta ajaran baharu.

Selain itu, penting untuk kita tanamkan dalam jiwa pengguna Muslim bahawa AI tidak boleh mengganti sanad, mujahadah dan roh ilmu. Ilmu bukan hanya maklumat. Ilmu umpama cahaya yang turun dari langit, dibawa oleh rasul, disampaikan dengan adab, difahami dengan takwa dan diamalkan dengan rendah hati.

Pendidikan literasi AI hendaklah dimasukkan dalam wacana pengajaran Islam, sama ada di sekolah, madrasah, mahupun pusat pengajian tinggi. Kita mesti sedar bahawa ilmu yang benar memerlukan dua “sayap” utama, iaitu maklumat dan bimbingan. Hala tuju ilmu akan “terbang” ke arah yang salah sekiranya elemen maklumat tidak disertai bimbingan.

Sehubungan dengan itu, tanggungjawab terletak pada bahu kita semua – ibu bapa, guru, ustaz, pendakwah dan pencinta ilmu. Budaya bertanya yang baik, pembinaan prom yang bersih dan penggunaan teknologi digital yang takut kepada Allah SWT perlu diterapkan dalam masyarakat. AI tidak “jahat”, alat ini merupakan cerminan terhadap perkara yang kita inginkan. Jika kita cerminkan hati yang bersih dan niat yang ikhlas, insya-Allah AI akan membawa manfaat, bukan mudarat.


Profesor Dr. Makmor Tumin merupakan seorang pensyarah kanan di Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya. Beliau mempunyai kepakaran dalam bidang Sains Politik, khususnya dalam falsafah politik (Islam dan Barat) serta masyarakat sivil. 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi