Diterbitkan pada 22 Oktober 2025, 12:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Untuk kehidupan yang lebih baik, golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan di Malaysia bahkan di serata dunia disokong melalui pelbagai instrumen untuk meningkatkan literasi mereka dalam bidang ilmu pengetahuan dan variasi lapangan kehidupan.

OKU Penglihatan dalam Ruang Kemajuan Zaman
Seawal tahun 1947, usaha menyediakan pendidikan buat golongan OKU penglihatan sudah bermula melalui penubuhan institusi seperti St. Nicholas’ Home di Pulau Pinang selain penyelarasan kod tulisan Braille bagi masyarakat Melayu, Cina dan India. Pada peringkat ini, segala inisiatif tersebut dilaksanakan oleh pentadbir British kerana Tanah Melayu masih berada di bawah kuasa tersebut.

Penyediaan infrastruktur dan kelengkapan pengajaran ini terhasil melalui tuntutan masyarakat yang menginginkan kebajikan dan hak golongan OKU penglihatan terpelihara. Pada sekitar tahun 1950-an pula, muncul Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth di Johor Bahru dan penubuhan Persatuan Orang Buta Malaysia atau Malaysian Association for the Blind (MAB) di Brickfields untuk menandakan peluasan infrastruktur pendidikan serta latihan buat golongan yang tidak mampu melihat dunia.

Memahami OKU Penglihatan
Sememangnya tiada sesiapa yang mampu memahami sepenuhnya perasaan insan yang diuji dengan keadaan buta. Pada suatu ketika, pernah timbul polemik tentang fatwa pendermaan organ yang turut berkaitan dengan isu pendermaan kornea mata oleh seorang individu kepada individu lain.

Perselisihan pandangan berlaku antara Syed Hussein Alatas dengan Mufti Singapura pada sekitar tahun 1971 yang memberikan gambaran betapa perlunya ijtihad mengenai perkara baharu dalam dunia Islam. Atas beberapa hujah, mufti tersebut mendakwa bahawa haram hukum orang yang ingin mendermakan kornea mata sehingga sanggup membiarkan golongan OKU penglihatan terus buta.

Walau bagaimanapun, atas daya keintelektualan yang membumi, Alatas memberikan hujah balas dengan mengatakan keperluan pendermaan organ tersebut demi kemaslahatan ummah yang kemudiannya telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dalam buku berjudul Biarkan Buta: Sekitar Perbahasan Ilmiah Derma Kornea Mata.

Sorotan kepada kisah tersebut tidak lain adalah untuk menghadirkan pengetahuan serta kesedaran buat kita pada hari ini tentang nasib golongan yang tidak dapat melihat. Bukan sahaja terpaksa berhadapan dengan diskriminasi dunia sosial, bahkan mereka harus mendepani kehidupan yang rencam dengan pelbagai perubahan terutama dalam konteks teknologi.

Inisiatif yang Mengubah Kehidupan
Berkat usaha oleh banyak pihak, pelbagai inisiatif kemudiannya diwujudkan, antaranya termasuklah pengenalan tulisan Braille di Malaysia untuk keperluan golongan OKU penglihatan Muslim dalam soal agama.

Sekiranya senaskhah al-Quran untuk masyarakat biasa berketebalan sekitar 600 halaman, tetapi cetakan al-Quran Braille lazimnya dibuat dengan enam jilid yang mengandungi lima juzuk bagi setiap jilid. Hal ini membolehkan mereka membaca dan menghafal ayat suci al-Quran yang turut membantu kepada penambahbaikan dalam bahan bacaan di sekolah pendidikan khas agama, seperti di SKPK Agama Puteri Elizabeth di Johor Bahru.

Selain itu, dunia teknologi turut memberikan peluang kepada OKU penglihatan untuk menggunakan peranti canggih seperti komputer riba dan telefon pintar. Bagi komputer riba, OKU penglihatan dapat menggunakannya melalui perisian pembaca skrin seperti VoiceOver (macOS), Job Access with Speech (JAWS), Narrator dan Non-Visual Desktop Access (NVDA). Mereka dapat mengendalikan aktiviti penulisan khususnya melalui Microsoft Word apabila setiap tulisan dan ayat itu dapat dibaca oleh pembaca skrin berkenaan. Hal ini turut termuat dalam telefon pintar dengan perisian seperti VoiceOver (iOS/iPadOS) dan TalkBack (Android) yang mempunyai fungsi sama sebagai pembaca skrin biarpun tulisan tersebut berbahasa Melayu, Inggeris, Arab, Cina mahupun Tamil.

Segala usaha tersebut merupakan rahmat Allah SWT buat OKU penglihatan agar mereka tidak ketinggalan dalam perjalanan meniti kehidupan di dunia ini.

Dengan izin Allah SWT yang mengurniakan idea kepada para pencipta peralatan tersebut, akses kepada dunia teknologi untuk OKU penglihatan tidak lagi menjadi halangan ataupun permasalahan.

Bertitik tolak dari adaptasi kepada kemajuan kecerdasan buatan kini juga, Edote Sdn. Bhd. yang merupakan syarikat anak tempatan telah menghasilkan eBrelle untuk kegunaan golongan yang tidak dapat melihat. Peranti yang semakin mendapat tempat dalam dunia pendidikan khas penglihatan di Malaysia ini menawarkan pengguna bahan bacaan 30 juzuk al-Quran selain keupayaan untuk menulis teks, pengendalian Microsoft PowerPoint, PDF, sambungan Bluetooth, Wi-Fi dan ChatGPT. Hasilnya, golongan OKU penglihatan dapat membaca al-Quran melalui paparan pada peranti pintar, di samping mampu mengendalikan kelas dalam talian biarpun berada di tempat berbeza semasa proses pembelajaran dijalankan.

Keberadaan eBrelle ini merupakan satu daripada pencapaian golongan bijak pandai tempatan dalam penciptaan pasaran teknologi supaya perkembangan kemajuan tidak terasing daripada kehidupan OKU penglihatan. Teknologi eBrelle mendapat liputan luas melalui program khas pembelajaran al-Quran di universiti khususnya di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah dan Universiti Sains Islam Malaysia bermula dari tahun 2024 hingga kini. Publisiti mengenai peranti unik ini turut tersebar luas sehingga dikeudarakan dalam segmen bual bicara dalam siaran radio IKIMfm dan BFM.

Melangkah lebih jauh, produk eBrelle berjaya menembusi pasaran antarabangsa di England, Sepanyol dan Amerika Syarikat untuk membolehkan golongan buta di negara tersebut menggunakan peranti berperisian al-Quran Braille. Usaha sebegini dibuat antara lain untuk menyedarkan masyarakat betapa golongan buta tidak terasing daripada kemajuan teknologi, bahkan dapat mengakses teknologi seperti manusia normal yang lain.

Rentetan inovasi itu, eBrelle Junior telah dihasilkan untuk kegunaan murid kurang upaya penglihatan tahap satu di sekolah rendah, iaitu untuk pelajar tahun tahun hingga tahun tiga. Peranti ini lebih kecil dan lebih tahan lasak, sesuai dengan keadaan kanak-kanak yang dalam proses pembelajaran untuk menjaga barang dengan baik.

Perisian dalam eBrelle Junior dicipta untuk sukatan mata pelajaran asas seperti kitab Iqra’ 1 hingga Iqra’ 6, fungsi menulis tulisan rumi dan nombor, di samping kamus dwibahasa. Dengan adanya usaha sebegini, kanak-kanak kurang upaya penglihatan turut berpeluang untuk menguasai teknologi biarpun mereka tidak dapat melihat dunia secara zahir.

Tidak sekadar mempelajari tulisan Braille yang asas pada sehelai kertas, golongan OKU dapat hidup bersama-sama pada era Revolusi Perindustri 4.0 yang menuntut kita beradaptasi dengan pelbagai bentuk produk teknologi. Melalui teknologi seumpama ini, mereka seharusnya bijak mendakap peluang untuk memajukan diri dari segi ekonomi, mobiliti sosial serta keupayaan intelek.

Bagi masyarakat bukan OKU pula, stigma dan persepsi yang kononnya mengatakan golongan OKU penglihatan sebagai buta teknologi seharusnya dibuang jauh-jauh. Sebaliknya, mereka wajar diberikan sokongan dan ruang untuk membuktikan keupayaan sebenar dalam memanfaatkan teknologi sebagai alat pembelajaran dan kehidupan. Hal ini penting kerana penerimaan dan sokongan masyarakat menjadi pemangkin kepada usaha melahirkan komuniti OKU yang berdaya saing, berdikari serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi