Diterbitkan pada 14 Ogos 2025, 12:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Secara asasnya, tindakan menggali semula kubur adalah haram kerana dianggap mencemarkan kehormatan si mati. Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan oleh Abu Dawud yang bermaksud,

Mematahkan tulang orang yang telah mati adalah seperti mematahkan tulangnya ketika masih hidup.

Namun begitu, dalam kes tertentu yang terpencil, tindakan menggali semula kubur dibenarkan bagi tujuan syarii atau darurat. Hal ini selaras dengan kaedah fiqh bahawa keadaan darurat membolehkan perkara yang diharamkan.

Antara kes terpencil yang boleh berlaku dalam masyarakat kita termasuklah proses menggali semula sesebuah tanah perkuburan bagi mengeluarkan mayat yang telah disemadikan. Pada kebiasaannya, hal seperti ini melibatkan kes jenayah yang memerlukan siasatan lanjut terutamanya oleh pakar forensik bagi mendapatkan bukti daripada sampel yang terdapat pada tubuh badan mayat yang telah disemadikan.

Dalam keadaan lain, penggalian semula kubur dilakukan untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang punca kematian, mengesahkan maklumat sedia ada, atau mengenal pasti identiti jenazah terutamanya dalam kes yang meragukan. Ada juga kes tertentu yang melibatkan tujuan penyelidikan ilmiah atau saintifik, khususnya dalam bidang forensik dan antropologi.

Contoh darurat lain yang membenarkan tindakan gali semula kubur adalah apabila mayat belum dimandikan, mayat tidak dihadapkan ke arah kiblat, terdapat harta yang jatuh ke dalam liang lahad sewaktu proses pengebumian dijalankan, menyelamatkan bayi di dalam kandungan yang masih hidup, jenazah dikebumikan di tanah yang dicuri, serta kawasan asal tapak kubur yang tidak selamat dan dikhuatiri berisiko untuk dibongkar oleh pihak lain.

Selain darurat tersebut, terdapat juga situasi seperti pemindahan tanah perkuburan yang akan dibangunkan semula sebagai kawasan tertentu, sekali gus memerlukan proses pemindahan kubur.

Pada hakikatnya, penggalian semula kubur bukanlah suatu proses yang mudah dan tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana proses tersebut melibatkan kelulusan pihak berwajib dan perlu menepati panduan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Daripada Anas bin Malik r.a., Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Wahai suku Najjar, sebutkanlah kepadaku berapa harga kebun kamu ini?” Mereka menjawab, “Tidak, demi Allah kami tidak meminta harganya melainkan daripada Allah SWT.” Anas berkata, “Berdasarkan pengetahuanku, di dalam kawasan kebun ini terdapat kubur kaum musyrikin, bekas runtuhan dan pokok kurma.” Kemudian, Nabi Muhammad SAW mengarahkan supaya kubur itu dibongkar, serta bekas runtuhan itu diratakan dan pokok itu ditebang.

Selain itu, terdapat juga kuburan para sahabat yang dibongkar dan dipindahkan ke tempat lain. Ketika mengulas pendapat Abu Abdullah al-Zubairi yang mengatakan bahawa boleh memindahkan kuburan jika dilalui air atau keadaan tanahnya lembap, Imam al-Nawawi rahimahullah berkata, “Pandangan al-Zubairi itu lebih sah (asah) kerana dalam Sahih al-Bukhari, telah sabit daripada Jabir bin Abdullah r.a. bahawa dia menguruskan jenazah bapanya dalam satu kuburan bersama-sama lelaki lain ketika terjadi Perang Uhud. Jabir berkata, ‘Hati saya tidak senang membiarkan dia dikuburkan bersama-sama orang lain itu, maka saya keluarkan dia (mayat ayah itu) setelah berlalu enam bulan. Ternyata keadaannya masih seperti ketika saya menguburkannya dahulu, kecuali ada kerosakan kecil pada daun telinganya.’”

Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa hukum menggali semula kubur diharuskan sekiranya pihak berkuasa perlu membuat bedah siasat bagi tujuan pengesahan terhadap sesuatu kes yang berbangkit terutamanya atas perintah mahkamah atau Jabatan Peguam Negara.

Selain itu, Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelaskan bahawa tindakan ini perlu diambil kerana termasuk dalam kategori darurat atau hanya dapat dilaksanakan dengan kaedah tersebut, berdasarkan pandangan pakar perubatan dan pihak berkuasa yang menyiasat.

Namun begitu, sebarang tindakan menggali semula kubur mesti mendapat kebenaran daripada pihak berautoriti terlebih dahulu dan tidak boleh dibuat sesuka hati dengan berpegang pada kaedah “darurat mengharuskan perkara yang haram”.

Berdasarkan konteks fatwa di negara ini pula, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-61 memutuskan ketetapan seperti berikut:

  1. Harus menggali semula tanah perkuburan sekiranya terdapat keperluan yang mendesak atau darurat dengan sebab tertentu yang diharuskan oleh syarak.
  2. Harus menggali semula tanah perkuburan untuk digunakan bagi mengebumikan mayat yang baru setelah dikenal pasti oleh pihak berkuasa bahawa mayat itu telah pun reput.

Selanjutnya, antara pandangan yang berkaitan dengan isu ini termasuklah pandangan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, iaitu proses menggali semula jenazah yang ditanam atas keperluan mendesak seperti keperluan bedah siasat bagi mengesahkan sesuatu yang penting yang hanya didapati dengan cara tersebut adalah diharuskan jika mendapat keizinan daripada pihak berautoriti.

Dari sudut perundangan di Malaysia, mahkamah boleh mengarahkan penggalian semula kubur bagi mengeluarkan mayat mangsa untuk tujuan bedah siasat, selaras dengan peruntukan Kanun Tatacara Jenayah. Bagi jenazah beragama Islam, keizinan khas daripada Jabatan Agama Islam Negeri perlu diperoleh terlebih dahulu.

Dalam penggalian semula kubur, antara tatacara yang perlu dipatuhi termasuklah tidak mendedahkan aurat si mati kepada umum, tidak menghina jenazah, serta menyegerakan proses bedah siasat atau prosedur lain tanpa membiarkan jenazah terlalu lama di luar. Walau bagaimanapun, jika dipercayai jasad telah mereput atau hancur dan proses bedah siasat pada ketika itu tidak memberikan manfaat, maka kubur tersebut tidak dibenarkan untuk digali semula.

Walaupun selepas proses penggalian mayat dilakukan, tisu lembut tidak lagi dapat dinilai kerana pereputan, prosedur tersebut tetap dibenarkan dalam kes tertentu yang memerlukan pemeriksaan terhadap kecederaan tulang, selagi dilaksanakan menurut garis panduan syarak dan keizinan pihak berkuasa berwibawa. Sekalipun keadaan mayat tidak sempurna, kecederaan tulang yang dapat dikesan tetap menjadi bukti penting dalam laporan bedah siasat yang diperlukan oleh pihak berkuasa dan mahkamah.

Selepas prosedur penggalian semula kubur dan bedah siasat selesai, jenazah hendaklah dikebumikan semula di tanah perkuburan dalam keadaan yang selamat.

Kesimpulannya, penggalian semula kubur bukanlah perkara yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Tindakan ini menuntut penelitian hukum syarak, pertimbangan perundangan, pandangan pakar yang berkaitan, serta keizinan khas daripada pihak berautoriti. Hal ini penting bagi memastikan setiap langkah yang diambil tetap memelihara kemuliaan dan kehormatan jenazah sebagaimana yang dituntut oleh agama.


Penulis merupakan graduan Ijazah Doktor Falsafah Pengajian Islam (Syariah dan Pendidikan Islam), Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi