Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan Sekarang
Itqan bermaksud sikap berhati-hati, teliti, rapi, rajin dan cemerlang ketika mengambil tindakan menyempurnakan sesuatu tanggungjawab atau tugas. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan rasul-Nya serta janganlah kamu mengkhianati amanah kamu walhal kamu mengetahui (salahnya).”
(Surah al-Anfal 8:27)
Bekerja ialah ibadah dan ikhtiar mencari rezeki untuk mencapai kesejahteraan hidup. Bekerja membolehkan manusia memperoleh pendapatan yang dapat memenuhi keperluan menyara perbelanjaan diri dan keluarga seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, perjalanan dan kenderaan, pendidikan, perubatan dan sebagainya. Mukmin yang bekerja dengan itqan dan memenuhi adab pekerjaan ialah mukmin yang terpuji dan akan dikurniakan keberkatan harta serta ganjaran kebaikan di dunia dan di akhirat.
Islam menuntut umatnya untuk bekerja dan mencari sumber pendapatan yang halal. Islam menegah umatnya bersifat malas, tidak mahu bekerja atau sentiasa meminta-minta. Kelebihan yang besar disediakan buat mukmin yang rajin bekerja semata-mata ingin menyempurnakan amanah selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Barang siapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan purnama.”
(Hadis riwayat al-Tabarani)
Memiliki pekerjaan merupakan anugerah Ilahi yang wajib disyukuri, juga amanah daripada Allah SWT yang bakal dipertanggungjawabkan. Ayat 27 Surah al-Anfal memperingatkan umat Islam terutamanya warga kerja agar tidak mengkhianati amanah pekerjaan, dengan maksud wajib melaksanakannya sebaik mungkin, iaitu insaf dan sedar bahawa bekerja ialah tanggungjawab untuk menyejahterakan kehidupan manusia, bukan untuk memenuhi kehendak nafsu, apatah lagi untuk kepentingan peribadi yang berlawanan dengan syariat.
Islam amat menitikberatkan nilai murni ketika bekerja. Prinsip itqan yang berusaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik, di samping mengamalkan nilai integriti, jujur dan amanah, wajib dijadikan amalan seiring dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah amat menyukai seseorang kamu yang apabila melakukan pekerjaan dia melakukan dengan bersungguh-sungguh.”
(Hadis riwayat al-Tabarani)
Prinsip itqan akan melahirkan pekerja yang produktif dan menghasilkan kualiti kerja yang cemerlang. Oleh itu, disenaraikan beberapa nilai murni sifat pekerja yang itqan, iaitu:
Pertama: Menghormati masa bekerja yang ditetapkan, datang dan pulang pada waktu yang ditetapkan, tidak menggunakan waktu bekerja untuk melayari kandungan media sosial yang tiada kaitan dengan urusan kerja, berada di kantin dengan berbual kosong, atau berehat lebih daripada masa yang dibenarkan.
Kedua: Beriltizam meningkatkan mutu perkhidmatan, kemahiran dan kepakaran dalam bidang kerja yang diamanahkan.
Ketiga: Tekun dan disiplin menyiapkan tugasan yang diberikan dalam tempoh yang ditetapkan, tidak menangguhkan kerja, malah sentiasa berusaha mahu menghasilkan kerja yang berkualiti.
Keempat: Berniat kerja sebagai ibadah, menyempurnakan kerja dengan hati yang tenang dan riang; berjaya membina kesefahaman dan semangat berpasukan dengan rakan sekerja, serta reda dengan rezeki yang halal.
Kelima: Memiliki minda terbuka, iaitu bersikap profesional, bersedia menerima cabaran, cepat mempelajari perkara baharu, serta mampu berkongsi idea dan pembaharuan dengan rakan sekerja.
Keenam: Mengamalkan budaya berjimat cermat, dan memastikan tidak berlaku pembaziran sumber dan khazanah milik pejabat atau majikan.
Ketujuh: Bersifat jujur, ikhlas dan amanah; tidak menyalah guna kuasa, tidak melakukan penyelewengan dan tidak melakukan rasuah.
Islam mengiktiraf pekerjaan sebagai ibadah jika dilakukan dengan niat semata-mata mengharapkan keredaan Ilahi, serta kerja dilakukan secara bersungguh-sungguh dan memenuhi amanah. Negara bakal menikmati pencapaian yang gemilang dalam pelbagai bidang jika warga kerja pada pelbagai peringkat sentiasa membudayadan dan mengamalkan sifat itqan.
Bekerja secara itqan serta ikhlas dan jujur menyempurnakan amanah menandakan kepatuhan seorang hamba kepada Tuhannya dan akan menyebabkan rezeki menjadi berkat. Islam sangat menitikberatkan soal memperoleh harta daripada sumber yang baik selaras sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Tidak berganjak kaki seseorang hamba pada hari akhirat sehinggalah dia ditanya tentang bagaimana umurnya dihabiskan, tentang bagaimana ilmunya dimanfaatkan, tentang dari mana hartanya diperoleh dan ke mana dia belanjakan, dan tentang bagaimana tubuhnya digunakan?
(Hadis riwayat al-Tirmidzi)
Harta diperoleh mesti mendapat keberkatan kerana harta tersebut digunakan untuk menyara diri dan ahli keluarga, memberi makan minum, menyediakan tempat tinggal, membeli pakaian dan keperluan harian yang keseluruhannya bersangkutan dengan hal ibadah. Walaupun keberkatan harta perkara batiniah yang sukar diukur secara lahiriah, namun keberkatan boleh dirasai melalui pelbagai kebaikan dan rasa tenang dalam kehidupan.
Harta yang berkat menjadikan seseorang itu berasa cukup sekalipun harta yang diperoleh sedikit. Harta yang berkat menjadi asbab doa diterima dan dimakbulkan oleh Allah SWT; berbanding dengan harta yang banyak tetapi tidak berkat, bukan sahaja seseorang itu berasa tidak cukup, malah dibelenggu oleh rasa keluh-kesah, terus bersifat tamak, dengki dan hasad, malah berasa berat untuk menunaikan kewajipan seperti menunaikan nafkah, membayar zakat, berwakaf dan bersedekah.
Bersempena dengan sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei, seluruh warga kerja diseru agar terus menabur bakti berkhidmat untuk negara. Didoakan semoga warga kerja dikurniakan kekuatan dan kesihatan, memenuhi amanah dengan niat beribadah semata-mata kerana Allah SWT, melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan kesungguhan, dikurniakan kebijaksanaan dan perlindungan keselamatan serta diganjarkan rezeki yang berkat.
(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 2 Mei 2025, bertajuk “Itqan dalam Pekerjaan – Kunci Keberkatan Rezeki”)