Diterbitkan pada 11 April 2025, 14:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “… sehingga saat kamu berasa lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berselisih pendapat dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu perkara yang kamu suka (kemenangan dan harta rampasan perang). Dalam kalangan kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia (semata-mata) dan ada yang mengehendaki akhirat … .”

(Surah Ali ‘Imran 3:152)

Tamak ialah sifat mazmumah, iaitu sifat tercela yang membawa kesan buruk dalam kehidupan. Kamus Dewan Perdana mentakrifkan tamak sebagai keinginan memiliki sesuatu tanpa batasan; keinginan berlebihan terhadap harta, pangkat, kedudukan atau kesenangan lalu sanggup melakukan apa-apa sahaja bagi mencapai tujuan tanpa memikirkan kesan buruk kepada diri sendiri dan orang lain.

Pepatah Melayu bermadah, “Orang tamak selalu rugi” dan “Yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran”. Hal ini menggambarkan keadaan seseorang yang tamak haloba dan bernafsu serakah mengejar kemahuan secara berlebihan tanpa menyedari kerugian yang menanti. Sifat tamak akan menjerumuskan seseorang melakukan perbuatan keji seperti menipu, menyeleweng, merasuah, hatta ke peringkat berlaku zalim. Rasulullah SAW menyebut perihal keburukan sifat tamak melalui sabda Baginda:

Maksudnya: “Tidaklah dua ekor serigala yang lapar dikirimkan kepada seekor kambing itu lebih berbahaya daripada sifat tamak seseorang pada harta dan kedudukan terhadap agamanya.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Tamak ialah penyakit hati yang didorong oleh beberapa perkara, antaranya termasuklah kurang didikan agama, terlalu mencintai dunia serta terlalu menuruti hawa nafsu, tidak mengambil berat soal pembersihan hati dan tidak mengutamakan kehidupan akhirat. Oleh itu, penyakit tamak perlu dibendung dan dijauhi bagi membolehkan kehidupan insan dilimpah naungan rahmat Ilahi.

Meskipun bulan Syawal ialah bulan yang disambut dengan keriangan, namun kita juga harus memperingatkan diri akan peristiwa pahit yang berlaku dalam bulan Syawal tahun ketiga Hijrah; iaitu peristiwa kekalahan umat Islam dalam Peperangan Uhud yang boleh dijadikan pengajaran dan wajib diambil iktibar. Ayat 152 Surah Ali ‘Imran menyebut tentang kekalahan umat Islam dalam peperangan Uhud, antaranya termasuklah disebabkan keingkaran pasukan pemanah kekal mengawal di atas bukit, seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW, kerana mereka menjadi ghairah melihat ghanimah (harta rampasan perang) apabila tentera kafir berundur meninggalkan medan perang. Disebabkan keghairahan melihat harta rampasan perang, pasukan pemanah tersebut meninggalkan tempat mereka ditugaskan, lalu bergegas turun ke lereng bukit, dan berebut untuk mendapatkan ghanimah. Tindakan tersebut membolehkan tentera kafir mengambil kesempatan untuk berpatah balik, mengepung dan berjaya menewaskan tentera Islam.

Islam melarang sifat tamak kerana sifat tersebut membawa kepada kekejian, antaranya termasuklah:

Pertama: Mengakibatkan kerugian. Sifat tamak boleh menyebabkan seseorang terjerumus ke lembah kerugian seperti yang dialami oleh orang yang terlibat dengan kegiatan judi atau skim cepat kaya atau menjadi mangsa penipuan pelaburan kerana terlalu ghairah inginkan kekayaan secara cepat, tetapi pada akhirnya ditipu.

Kedua: Merosakkan hubungan kemasyarakatan. Tamak menyebabkan terhakisnya iman seseorang sehingga lahirnya perasaan iri hati dan hasad dengki kerana tidak boleh menerima kejayaan orang lain. Sifat tersebut juga menjadi punca pelbagai sifat tercela lain yang merosakkan hubungan kemasyarakatan, atau berkemungkinan membawa kepada perbuatan menipu, memfitnah, menindas, rasuah, bertindak kejam, menzalimi dan menganiaya orang lain kerana dipengaruhi oleh sifat tamak yang hanya mementingkan diri sendiri.

Ketiga: Hilangnya sifat pemurah dan dermawan. Tamak menyebabkan seseorang merasakan harta sedia ada tidak cukup, lalu bersifat bakhil, enggan bersedekah dan enggan berkongsi rezeki dengan orang lain.

Islam menggariskan beberapa panduan untuk menghindarkan diri daripada sifat tamak, antaranya termasuklah:

Pertama: Mengingati hakikat kehidupan dunia hanya sementara. Ilmu tasawuf mendidik hati agar meletakkan dunia di tapak tangan, bukan di hati. Hal ini bermakna dunia perlu dijadikan ladang untuk bekalan akhirat dan jangan dijadikan matlamat hidup sehingga menyebabkan umat Islam hanyut oleh keuntungan dunia, mengejar harta, pangkat atau kedudukan sehingga mengabaikan suruhan Ilahi.

Kedua: Bersyukur dengan nikmat Allah. Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk senantiasa menginsafi diri dengan membandingkan taraf diri sendiri dengan mereka yang lebih rendah. Dengan hal yang demikian, kita akan lebih mensyukuri nikmat Allah SWT. Sesungguhnya orang yang senantiasa mengamalkan sifat bersyukur, insya-Allah akan ditambahkan lagi nikmat dan diluaskan lagi rezeki.

Ketiga: Membanyakkan sedekah dan infak. Amalan menghulurkan derma kepada golongan kurang yang bernasib baik dan kalangan daif yang memerlukan dapat mendidik hati supaya tidak terlalu cinta akan harta, sekali gus menjauhkan diri daripada sifat tamak.

Keempat: Berasa cukup (qanaah). Sifat berasa cukup mendorong kehidupan yang lebih bahagia. Orang yang mengamalkan hidup secara sederhana, di samping bersyukur dengan kurniaan Ilahi, serta tidak membanding-bandingkan kehidupan mereka dengan mana-mana pihak dapat hidup dalam ketenangan dan kebahagiaan. Harta yang banyak dan pangkat yang tinggi, bukan ukuran kebahagiaan dan ketenangan hidup, namun kebahagiaan dan ketenangan hidup bakal dinikmati apabila kita senantiasa menghargai dan mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi yang sedia dimiliki.

Sifat tamak mengundang kerugian serta membawa banyak kekejian dalam kehidupan manusia. Banyakkan berdoa kepada Allah SWT agar hati dan jiwa kita dijauhkan daripada sifat tamak, sebaliknya senantiasa mendapat panduan serta perlindungan daripada Allah SWT. Dengan mengamalkan sifat qanaah dan syukur, insya-Allah seseorang insan akan dikurniakan keberkatan harta, kelapangan jiwa serta lebih dipandang mulia, berbanding dengan sifat tamak yang dipenuhi sifat mazmumah yang dipandang hina oleh insan lain dan Allah SWT.

 

(Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 11 April 2025, bertajuk “Tamak: Sifat Tercela – Pengajaran daripada Peperangan Uhud”)

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi