Diterbitkan pada 27 Mac 2025, 14:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Umat Islam sering diingatkan tentang kepentingan ibadah puasa Ramadan yang berkaitan rapat dengan takwa. Orang yang bertakwa disebut dalam al-Quran sebagai muttaqin. Hubung kait puasa Ramadan dengan takwa dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud, “Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah 2:183).

Imam al-Nawawi menjelaskan maksud takwa merujuk perbuatan seseorang Muslim yang mentaati segala ketetapan titah perintah Allah SWT dan mematuhi larangan-Nya. Hal ini bermakna bahawa takwa berkaitan rapat dengan keakuran seseorang hamba terhadap titah perintah Allah SWT. Segala suruhan Allah SWT mesti dilakukan dengan penuh rasa kehambaan, manakala segala larangan-Nya wajib dipatuhi.

Begitulah ibadah puasa yang melarang umat Islam melakukan perkara yang asalnya dihalalkan pada bulan lain. Umat Islam boleh makan dan minum pada siang hari sepanjang 11 bulan, namun pada bulan Ramadan, mereka dilarang melakukan rutin tersebut. Semuanya dilakukan sebagai tanda akur terhadap titah perintah Allah SWT. Sesungguhnya tempoh sebulan mentaati perintah Allah SWT, selain menggandakan amalan lain sepanjang Ramadan, merupakan suatu bentuk tarbiah kepada seluruh umat Islam. Semua tarbiah tersebut pada akhirnya dapat meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.

Takwa letaknya dalam hati dan dizahirkan menerusi perbuatan anggota badan. Keakuran mengikut perintah Allah SWT agar berpuasa berada dalam hati. Tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui status ibadah puasa orang lain. Dalam keadaan diri berada seorang diri, tidak ada manusia lain yang dapat memastikan diri kita sedang berpuasa ataupun sebaliknya melainkan Allah SWT.

Boleh sahaja seseorang melanggar perintah Allah SWT kerana orang lain tidak akan mengetahui keadaan sebenar diri yang mungkin makan dan minum ketika bersendirian. Walau bagaimanapun, disebabkan sifat takwa yang ada dalam diri, umat Islam melaksanakan perintah Allah SWT dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala daripada-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “… Takwa itu letaknya di sini”, sambil menunjuk ke dadanya sebanyak tiga kali. (Hadis riwayat Muslim).

 

Perihal Golongan Muttaqin

Setiap Muslim perlu berusaha untuk tergolong dalam kalangan hamba Allah SWT yang disebut muttaqin. Al-Quran menjelaskan perihal golongan muttaqin sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, “(Orang bertakwa atau muttaqin), iaitu orang yang beriman kepada perkara ghaib, dan mendirikan solat serta mendermakan sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang yang beriman kepada al-Quran yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan adanya hari akhirat.” (Surah al-Baqarah 2:3-4).

Bulan Ramadan membuka ruang kepada setiap Muslim untuk berusaha menjadi orang bertakwa. Lima perkara yang dikaitkan dengan orang bertakwa dalam ayat al-Quran tersebut sememangnya boleh dilihat berdasarkan pelaksanaan amal ibadah dalam bulan Ramadan.

Pertama: Orang yang bertakwa akan sentiasa percaya tentang perkara ghaib yang tidak dapat dilihat menerusi pancaindera. Perkara ghaib ini antara lain merujuk keyakinan kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang sebenar-benarnya dan selayaknya disembah, meskipun tidak dapat melihat-Nya. Oleh itu, orang yang bertakwa akan mentaati perintah Allah SWT dengan menahan diri daripada makan, minum serta apa-apa juga perbuatan yang membatalkan puasa Ramadan, hanya semata-mata kerana taat kepada Allah SWT.

Kedua: Orang yang bertakwa akan menunaikan solat. Sepanjang bulan Ramadan, umat Islam bukan sahaja menunaikan solat fardu lima waktu, malah turut mengerjakan solat sunat pada malam hari seperti solat tarawih dan solat witir. Inilah bukti jelas bahawa Ramadan mendidik diri agar menunaikan solat yang merupakan ibadat utama dalam Islam. Tidak wajar ada orang berpuasa, tetapi tidak menunaikan solat.

Ketiga: Orang yang bertakwa akan membelanjakan rezekinya ke jalan Allah SWT dengan cara mengeluarkan zakat dan bersedekah. Ramadan melatih diri agar cakna kepada orang lain. Ibadat zakat fitrah diwajibkan ke atas setiap Muslim dan mesti dibayar dalam bulan Ramadan. Begitu juga bersedekah yang digandakan pahalanya pada bulan Ramadan termasuklah amalan memberikan makanan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, dia akan mendapatkan pahala orang tersebut tanpa sedikit pun mengurangi pahalanya.”  (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

Keempat: Orang yang bertakwa juga ialah orang yang beriman dengan kebenaran al-Quran. Bulan Ramadan tidak boleh dipisahkan daripada al-Quran. Umat Islam mestilah memanfaatkan masa sepanjang Ramadan dengan membaca al-Quran dan melakukan tadabbur terhadap makna ayat al-Quran. Al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan dengan membawa pelbagai faedah untuk umat manusia. Allah SWT menyatakan hal ini dalam al-Quran yang bermaksud, “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah … .” (Surah al-Baqarah 2:185). Sesungguhnya ibadah puasa dan al-Quran, kedua-duanya akan menjadi syafaat kepada Muslim di akhirat nanti. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Puasa dan al-Quran akan memberikan syafaat kepada seseorang hamba Muslim pada hari kiamat.” (Hadis riwayat Ahmad).

Kelima: Orang yang bertakwa juga benar-benar meyakini adanya hari akhirat. Ramadan merupakan peluang terbaik untuk umat Islam memohon keampunan kepada Allah SWT. Orang yang berusaha untuk mendapat keampunan Allah SWT bermakna mereka percaya dengan adanya hari akhirat yang menjadi penentu kehidupan abadi. Oleh sebab itulah ibadah puasa Ramadan yang dilaksanakan dengan baik akan diganjarkan dengan keampunan daripada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan, maka akan diampuni dosanya yang telah lalu.” (Hadis muttafaq ‘alaih).

 

Golongan Muttaqin Ditempatkan di Dalam Syurga-Nya

Terdapat banyak ayat al-Quran yang menjelaskan kedudukan istimewa golongan muttaqin. Golongan ini memperoleh ganjaran syurga sebagaimana yang dinyatakan oleh Allah SWT dalam banyak ayat al-Quran:

  • “Sesungguhnya orang yang bertakwa (muttaqin) (akan ditempatkan) di tempat tinggal yang aman sentosa (syurga).” (Surah al-Dukhan 44:51).
  • “Sesungguhnya orang yang bertakwa (muttaqin) ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air terpancar padanya.” (Surah al-Dzariyat 51:15).
  • “Sesungguhnya orang yang bertakwa (muttaqin), ditempatkan di dalam taman syurga dan nikmat kesenangan (yang tidak ada taranya).” (Surah al-Tur 52:17).
  • “Sesungguhnya orang yang bertakwa (muttaqin), ditempatkan di dalam taman syurga (yang indah) dan (dekat) beberapa sungai.” (Surah al-Qamar 54:54).
  • “Sesungguhnya orang yang bertakwa (muttaqin) berada di tempat teduh (yang dipenuhi pelbagai nikmat), dan yang berdekatan dengan mata air (yang mengalir).” (Surah al-Mursalat 77:41).

Sememangnya ganjaran untuk golongan muttaqin sangat istimewa, iaitu syurga-Nya. Golongan muttaqin lahir antaranya daripada tarbiah Ramadan yang merupakan peluang umat Islam mendidik hati untuk bersungguh-sungguh melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya.

Sebenarnya ganjaran golongan muttaqin bukan sahaja melibatkan kehidupan di akhirat, tetapi Allah SWT turut menjanjikan ganjaran istimewa ketika mereka hidup di dunia lagi. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud, “… Dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya). Serta memberinya rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Talaq 65:2-3).

Marilah sama-sama kita memanfaatkan keberadaan dalam bulan Ramadan ini dengan meningkatkan amal ibadah, agar kita tergolong dalam kalangan muttaqin. Peluang dipanjangkan usia untuk beribadah dalam bulan Ramadan merupakan suatu nikmat yang sangat berharga, maka janganlah disia-siakan. Sesungguhnya orang yang bertakwa atau golongan muttaqin akan mendapat balasan syurga yang dikurniakan oleh Allah SWT pada hari akhirat nanti.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi