Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFirman Allah SWT,

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr, (iaitu malam kemuliaan dan kebesaran). Tahukah kamu apakah malam al-Qadr itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”
(Surah al-Qadar 97:1-3)
Ayat 1 hingga ayat 3 Surah al-Qadar menyebut tentang malam al-Qadar dan kelebihan malam tersebut. Malam al-Qadar ialah malam kemuliaan dan kebesaran, iaitu malam istimewa yang berlaku setahun sekali pada bulan Ramadan. Amal ibadah yang dilakukan pada malam al-Qadar lebih besar pahalanya, melebihi amal ibadah yang dilakukan pada seribu bulan yang lain.
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan bahawa diberi nama malam al-Qadar kerana pada malam tersebut ditetapkan segala ketentuan yang Allah SWT kehendaki daripada perintah-Nya bagi hamba-Nya untuk setahun akan datang, merangkumi rezeki dan ajal, serta perkara lain yang menyentuh kehidupan insan. Lalu, Allah SWT menyerahkan perkara tersebut kepada malaikat Israfil, Mikail, Izrail dan Jibril a.s. untuk diurus.
Malam al-Qadar sangat dinanti-nantikan kerana malam tersebut menawarkan peluang keemasan untuk meraih pahala berlipat ganda, pengampunan dosa dan rahmat Allah yang melimpah-ruah. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,

Maksudnya: “Sesiapa yang menghidupkan (beribadah) malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”
(Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebaik sahaja memasuki malam ke-21 Ramadan, Rasulullah SAW membanyakkan amal ibadah sepanjang malam hingga penghujung Ramadan kerana mengharapkan amalan Baginda bertepatan dengan malam al-Qadar. Sayidatina Aisyah r.a. menggambarkan kesungguhan ibadah Rasulullah SAW menerusi hadis yang berikut,

Maksudnya: “Rasulullah SAW bersungguh-sungguh beribadah pada sepuluh malam terakhir melebihi malam-malam lainnya.”
(Hadis riwayat Muslim)
Malam al-Qadar berlaku pada satu malam daripada sepuluh atau sembilan malam terakhir bulan Ramadan selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil.”
(Hadis riwayat Ahmad)
Sepuluh malam terakhir Ramadan merupakan hadiah Allah SWT ke atas umat Nabi Muhammad SAW yang tidak diberi kepada mana-mana umat terdahulu. Maka itu, peluang keemasan ini jangan disia-siakan. Menjadi suatu kerugian besar apabila sepuluh malam terakhir Ramadan tidak dipenuhi dengan ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT, kerana teralih tumpuan lebih sibuk mengurus persiapan menyambut hari raya seperti menyediakan juadah, menghias rumah dan menyiapkan pakaian sehingga menyebabkan amalan sunat dan membaca al-Quran dihentikan, di samping masjid dan surau semakin susut bilangan jemaah.
Jika pada waktu siang kita dituntut untuk bekerja, menyempurnakan amanah yang ditugaskan dan bergaul sesama manusia, maka pada waktu malamnya, kita hendaklah memilih untuk lebih bersendirian mendampingkan diri dengan Allah SWT, membina hubungan akrab dengan Ilahi, memohon keampunan-Nya dan mendekatkan diri kepada-Nya.
Diriwayatkan dalam sebuah hadis tentang pemerhatian Sayidatina Aisyah r.a., pada sepuluh hari terakhir Ramadan,

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi Muhammad SAW apabila masuk hari sepuluh terakhir Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain (tidak menggauli isteri), menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).”
(Hadis riwayat al-Bukhari)
Oleh itu, marilah kita sama-sama bermuhasabah, adakah kita telah menyempurnakan Ramadan yang berlalu dengan ibadah puasa yang sebaik-baiknya? Adakah ruang dan peluang beramal pada bulan mulia ini telah kita manfaatkan dengan sebaik-baik amal? Sudahkah kita melakukan sebaik-baik usaha untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan al-Quran? Sudahkah kita benar-benar menginsafi khilaf yang lalu demi mendapatkan keampunan Ilahi? Adakah amalan puasa telah meningkatkan keinsafan kita untuk membantu golongan miskin dengan memperbanyak bersedekah dan menghentikan amalan berbelanja secara membazir?
Kita masih belum terlambat untuk bersungguh-sungguh memenuhi hari-hari terakhir Ramadan dengan sebaik-baik ibadah dan penghayatan yang dapat membawa kepada perubahan diri untuk menjadi insan yang lebih baik.
Umat Islam juga diingatkan agar menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah diwajibkan ke atas diri setiap Muslim mengikut syarat yang ditetapkan. Bagi mengelak terjatuhnya hukum haram kerana melangkau tempoh waktu wajib menunaikan zakat fitrah, umat Islam hendaklah menyegerakan pembayaran zakat fitrah, agar dapat membantu urusan agihan memenuhi keperluan golongan fakir miskin dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Untuk mendapat keberkatan berganda daripada Allah SWT, maka afdal untuk membayar zakat harta pada bulan Ramadan, jika sudah sampai tempoh wajib.
Oleh itu, saranan yang berikut perlu diberi perhatian oleh umat Islam:
Pertama: Malam al-Qadar ialah anugerah kurniaan Ilahi khusus untuk umat Nabi Muhammad SAW yang tidak harus disia-siakan kerana terkandung pelbagai kelebihan, kebaikan dan keistimewaan manfaat bagi orang Mukmin.
Kedua: Manfaatkan sepuluh hari akhir Ramadan dengan beristiqamah, menjaga ibadah fardu seperti solat lima waktu secara berjemaah di masjid, serta menggandakan pelbagai amalan nawafil (sunat) seperti bersolat sunat, beriktikaf, membaca al-Quran dan berusaha mengkhatamkannya sebelum berakhir bulan Ramadan.
Ketiga: Memohon keampunan Ilahi, membanyakkan istighfar dengan rasa insaf atas segala dosa yang pernah dilakukan agar Allah SWT mengurniakan hati yang bersih dan menjauhkan kita daripada mengulangi melakukan dosa yang lalu.
Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 21 Mac 2025, bertajuk “Rebut Peluang Lailatulqadar”.