Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam kesunyian Gua Hira’, cahaya wahyu pertama memecah kesepian, menggoncang jiwa Rasulullah SAW dengan seruan Ilahi “Iqra’!”, yang membuka tirai petunjuk bagi seluruh umat manusia. Dari celahan gua yang sunyi itu, pancaran nur al-Quran mengalir ke hati insan; menerangi zaman jahiliah dengan hikmah nan abadi; mengubah peradaban dengan cahaya tauhid yang tidak akan pernah padam.
Anjakan dalam Nilai Kemasyarakatan
Arus perubahan terus meliputi ruang kehidupan insan yang disosialisasikan dalam ikatan kemasyarakatan di bawah naungan wahyu al-Quran. Jika sebelum wahyu pertama diturunkan pada malam Nuzul al-Quran, masyarakat di Semenanjung Arab hidup dalam sistem kabilah dan saling berperang antara satu dengan lain biarpun hanya kerana seekor kambing. Akan tetapi, hadirnya kalimah dan ayat daripada Kitabullah secara perlahan-lahan telah menyatukan masyarakat dengan nilai persaudaraan dan kasih sayang.
Tiada lagi adat menanam bayi perempuan hidup-hidup ataupun perhambaan tanpa rasa kemanusiaan, sebaliknya perkataan ummah mulai meresap dalam sistem sosial masyarakat dari semasa ke semasa.
Al-Quran sendiri telah menggarisbawahi tuntutan agar setiap manusia kenal-mengenali antara satu dengan lain biarpun berbeza-beza bangsa seperti dalam keterangan ayat 11 dalam Surah al-Hujurat. Ayat ke-6 Surah al-Kafirun pula memberikan tunjuk ajar kepada manusia supaya tidak mencampuri hal ehwal agama orang lain yang berisiko membawa pertelingkahan. Dalam erti kata mudah, al-Quran sudah pun menyeru kepada tuntutan perpaduan kira-kira 1400 tahun sebelum perkara ini digemakan di dunia sama ada sewaktu penubuhan Liga Bangsa pada tahun 1918 ataupun semasa terbentuknya piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pasca-Perang Dunia Kedua pada tahun 1945.
Rentetan daripada perintah dalam al-Quran supaya rasa persaudaraan dipupuk dalam kalangan masyarakat, Rasulullah SAW telah menzahirkannya melalui kerajaan Madinah. Baginda telah menyatukan masyarakat muhajirin dan Ansar dalam pentadbiran yang berteraskan hikmah serta nilai persaudaraan. Perkara ini penting untuk dilakukan kerana tanpa penyatuan masyarakat, maka mustahil untuk melihat tertegaknya agama Islam kerana agama ini bukanlah eksklusif kepada diri perseorangan tetapi inklusif untuk semua manusia.
Sistem masyarakat juga berubah apabila kedudukan wanita dimuliakan kepada suatu darjat yang mengekalkan soal keadilan tanpa patriarki yang membelenggu. Kemuliaan wanita telah diceritakan melalui banyak tempat dalam al-Quran seperti Surah al-Nisa’, Surah Maryam dan Surah al-Dzariyat. Kesemua perkara ini telah menjadi teras terbinanya kesepaduan umat meskipun perkara ini semakin tergugat pascakewafatan Nabi Muhammad SAW dalam kerajaan-kerajaan Islam selepasnya.
Betapa syumulnya seruan daripada al-Quran, kedudukan golongan yang tidak berupaya turut dibela sewaktu Islam mula-mula ingin ditegakkan. Bukti yang jelas dapat ditemui di sebalik penurunan Surah ‘Abasa, ayat 1 hingga ayat 4 kepada Rasulullah SAW sendiri. Allah telah menegur Baginda yang tidak menumpukan perhatian kepada Abdullah bin Ummi Maktum (seorang buta) yang datang kepada Baginda tatkala sedang berdakwah. Hal ini memberikan gambaran kepada kita betapa Islam tidak sesekali menganjurkan diskriminasi atau mengetepikan individu kurang upaya dalam ruang sosial sekalipun atas nama agama.
Ketinggian Manusia dalam Peradaban
Daripada wahyu al-Quran, kita turut didedahkan kepada kenyataan berkaitan dengan peradaban yang sudah pasti dalamnya terkandung manusia secara individu serta secara bermasyarakat. Dalam usaha umat Islam membina kesatuan ummah, al-Quran yang diturunkan tidak ketinggalan menceritakan perihal peradaban manusia yang telah lalu seperti kerajaan Firaun dalam Surah al-Qasas, malahan terdapat satu surah khusus tentang peradaban Rom dalam Surah al-Rum. Keadaan ini memberikan kita kefahaman betapa al-Quran sebagai tempat ibrah buat masyarakat tentang sejarah manusia dan situasi semasa umat Islam pada waktu itu.
Keajaiban yang ada pada al-Quran kemudiannya menjadi pemacu kepada generasi sezaman dan selepas Rasulullah untuk membina peradaban mereka sendiri. Tidak kira di Timur ataupun di Barat, gelombang Islam telah menumbuhkan peradaban manusia dengan asas tauhid kepada Allah serta ketinggian ilmu pengetahuan semenjak kurun ke-7 Masihi.
Lahirlah peradaban Islam di tanah Arab sebelum berkembang ke Afrika Utara yang diikuti oleh kawasan lain di Semenanjung Iberia, Asia Tengah, China, Benua Kecil India hingga ke Alam Melayu. Terbinalah kerajaan yang megah seperti Kerajaan Bani Ummaiyah, Kerajaan Bani Abbasiyah, Kerajaan Andalusia, Kerajaan Mughal, Kerajaan Samudera Pasai, Kerajaan Melaka serta Kerajaan Aceh.
Pancaran cahaya peradaban Islam telah menerangi kegelapan kejahilan manusia yang sebelumnya jauh daripada ilmu pengetahuan.
Ilmu sains seperti astronomi, matematik, kejuruteraan dan perubatan telah diperluas selain gagasan ilmu kemanusiaan seperti falsafah, sejarah, geografi dan sosiologi. Kenyataan ini membuktikan bahawa wahyu al-Quran tidak menafikan akal dan kudrat manusia dalam ikhtiar hidup bagi membina keberhasilan untuk manfaat bersama.
Perkara itu bukan hanya dinikmati oleh umat Islam, tetapi turut dirasai oleh penganut agama lain yang pernah berada di bawah naungan kerajaan Islam. Bacalah karya daripada Henri Pirenne, Martin Lings, Montgomery Ward, Edward Said, Seyyed Hossein Nasr serta Syed Muhammad Naquib al-Attas untuk membantu kita memahami untaian huraian ini dengan lebih objektif.
Turunnya wahyu pertama dalam Surah al-‘Alaq kepada diri Rasulullah SAW merupakan suatu titik permulaan kepada pembinaan insan serta peradaban. Al-Quran yang ada di tangan kita pada hari ini telah memberikan pancaran cahaya yang menerangi kegelapan kehidupan manusia yang pernah jauh dari ilmu. Keluhuran dan kelenturan nilai dalam Islam turut membenarkan penganutnya supaya berinteraksi dengan peradaban lain lalu mengislamisasikan pengetahuan daripada tamadun asing itu.
Setiap ayat yang terkandung dalam kitab suci itu mengandungi pelbagai hikmah. Betapa agungnya naskhah yang mengandungi sebanyak 114 surah itu ternyata telah mengilhamkan kemajuan dalam dunia fana ini bermula daripada perubahan cara fikir, revolusi sosial dalam ikatan kemasyarakatan serta pengukuhan ketinggian peradaban.