Diterbitkan pada 17 Mac 2025, 19:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tidak seperti alegori gua oleh Plato, apatah lagi untuk dibandingkan dengan artifak seruling ribuan tahun di bumi Slovenia. Hadirnya seruan “Iqra’” yang bererti “bacalah” dari Gua Hira’ ternyata menggamit kisah silam dalam sirah penuh makna. Itulah wahyu daripada Allah yang berupa ayat 1 hingga ayat 5 Surah al-‘Alaq dengan pengertian seruan pencarian ilmu serta suntikan kesedaran kejadian insan.

Tujuan seruan agung itu adalah untuk diri Rasulullah SAW secara perseorangan oleh Jibril a.s. pada awalnya, sebelum menjadi gagasan dakwah buat segenap umat manusia. Baik di tanah Arab mahupun di belahan lain dunia, kebaikan yang terpancar keluar dari tempat Rasulullah SAW menyendiri terus meluas tanpa sempadan. Cahaya wahyu dari sekecil-kecil ruang di Gua Hira’ melebarkan sinarnya sehingga menyuburkan alam spiritual insan, interaksi sosial kemasyarakatan yang menggagas suatu peradaban.

 

Perubahan dalam Diri Insan

Perubahan pokok yang dibawa oleh kalimah wahyu pertama buat diri manusia terletak pada perubahan cara fikirnya. Sebelum datangnya al-Quran, muatan dalaman diri masyarakat jahiliah di Semenanjung Arab hanya terisi dengan tuntutan hawa nafsu, kejahilan dari segi ilmu pengetahuan dan gejolak rasa asabiah yang melampau.

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.

(Surah al-‘Alaq 96:1).

Makna ayat ini menuntun diri manusia supaya mengetahui asal usul mereka sebagai makhluk ciptaan Tuhan. Tiada lagi tuntutan untuk tunduk kepada batu-batu kaku bergelar berhala yang menjadi wasilah tatkala mereka menyatakan kemahuan. Secara jelas, ayat dalam al-Quran menggesa dan menyeru supaya manusia menggunakan akal rasional anugerah daripada Allah SWT berbanding dengan amalan mendewa-dewakan hawa nafsu dalam diri sendiri.

Seruan yang menyusul selepas wahyu pertama di Gua Hira’ itu adalah supaya manusia bangkit daripada keadaan tidurnya. Pengertian tentang perkara ini dapat dilihat dan seharusnya difahami daripada ayat pertama Surah al-Muddassir dengan maksud, “Wahai orang yang berselimut”. Gesaan ini tertuju kepada Nabi Muhammad SAW yang kemudiannya menjadi pemangkin kepada kebangkitan penganut Islam selepas mereka mengenal erti tauhid kepada Allah.

Manusia diminta supaya menggunakan fikiran untuk merenungi kejadian ciptaan Tuhan seperti yang terkandung dalam ayat 191, Surah Ali ‘Imran. Revolusi kejiwaan yang berteraskan keutuhan kerohanian ini penting untuk mengubah pandangan alam masyarakat di bumi Arab pada waktu itu lalu membentuk ketinggian akhlak dan siasah. Melalui pengisian cara fikir dan rasa kemanusiaan, keajaiban daripada al-Quran berupaya untuk mengubah keadaan hina manusia kepada kemuliaan seorang hamba.

Manusia kemudiannya diperteguh dengan misi hidup yang lebih jelas bagi meraih kebaikan semasa hidup yang masih dapat dirasai meskipun mereka telah mati. Penegasan ini dapat diamati daripada firman Allah dalam ayat kedua Surah al-Mulk yang bermaksud, “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah antara kamu yang lebih baik amalnya?” Ayat ini kemudiannya ternyata memberikan satu mesej jelas bahawa manusia itu seharusnya memberikan manfaat kepada hidupan lain baik semasa mereka hidup ataupun telah tiada.

Pemikir Dunia Islam seperti Badiuzzaman Said Nursi pernah mengolah maksud ayat kedua Surah al-Mulk itu dalam Risalah An-Nur karangannya. Beliau menegaskan bahawa seseorang manusia perlu memberikan kesan baik untuk manusia lainnya biarpun telah mati sepertimana kematian haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang memberikan manfaat kepada kekuatan dan tenaga manusia setelah memakannya.

Maka itu, terbuktilah bahawa al-Quran yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW pada 17 Ramadan sewaktu Baginda berusia 40 tahun itu mempunyai nur yang menghadirkan reformasi dalaman kepada manusia yang ingin berfikir.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi