Diterbitkan pada 14 Mac 2025, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan tentang petunjuk itu dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dengan yang salah).”

(Surah al-Baqarah 2:185)

Al-Quran ialah kalam Allah, iaitu khazanah ilmu dan sumber rujukan lengkap untuk panduan manusia. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dalam bahasa Arab, bermula pada bulan Ramadan melalui perantaraan malaikat Jibril a.s., secara berperingkat. Penurunan al-Quran menempuh fasa Makkah dan Madinah, iaitu mengambil masa 22 tahun 2 bulan dan 22 hari.

Susunan al-Quran terdiri daripada cantuman 28 huruf hijaiyyah, iaitu mengandungi 323 761 huruf, 77 437 kalimah, 6236 ayat, 114 surah dan 30 juzuk. Al-Quran ialah mukjizat teragung yang mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan tentang duniawi dan ukhrawi.

Pengetahuan duniawi antaranya termasuklah falsafah, bahasa, syariat, pemerintahan, pentadbiran, undang-undang, matematik, sains, teknologi, angkasa, ekonomi, pertanian, pemakanan, perairan, pengembaraan, pelayaran dan kekeluargaan, manakala pengetahuan ukhrawi pula antaranya termasuklah tentang kebangkitan hari akhirat, timbangan amal kebaikan, titian sirat, syurga dan neraka.

Satu daripada kehebatan al-Quran ialah mukjizat bahasanya yang terserlah keistimewaannya dari pelbagai sudut sama ada gaya, irama mahupun struktur bahasa yang tidak mampu ditiru oleh manusia, termasuklah para penyair terhebat mahupun ahli bahasa Arab terbaik. Ketinggian sastera bahasa al-Quran tidak dimiliki oleh bahasa lain, terutamanya pada keserasian susunan dan perkaitan antara setiap ayat dan surah.

Bahasa al-Quran kaya dengan perbendaharaan kata dan padat dengan makna, manakala kesesuaian baris, kadar harakat, dengung, tempat ditentukan untuk disambung dan diberhentikan bacaan serta irama akhir setiap ayat ketika membaca, jelas menunjukkan langgam bahasa al-Quran yang begitu indah lagi sempurna.

Lalu Allah SWT mencabar manusia untuk menghasilkan sebuah kitab yang setara dengan kehebatan al-Quran, namun tidak ada seorang pun manusia yang memiliki kepakaran untuk melakukannya selaras firman Allah SWT:

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad), ‘Sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa dengan al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain.’”

(Surah al-Isra’ 17:88)

Kajian menunjukkan bahawa alunan bacaan al-Quran memberikan kesan dan pengaruh yang baik kepada tubuh badan manusia terutamanya pada bahagian otak, saraf dan organ tubuh. Kajian yang dirintis oleh Dr. al-Qadhi di sebuah klinik di Florida, Amerika Syarikat yang berpandukan teknologi dan sokongan peralatan elektronik, membuktikan bahawa dengan mendengar bacaan ayat suci al-Quran, seseorang boleh berasakan perubahan fisiologi yang besar.

Kajian yang dilakukan bertujuan untuk mengenal pasti tekanan darah, degupan jantung, ketahanan otot dan ketahanan kulit ketika diperdengarkan alunan ayat-ayat al-Quran. Beliau lalu menyimpulkan bahawa bacaan al-Quran berpengaruh besar, serta berupaya melahirkan ketenangan jiwa dan penyembuhan penyakit mencecah tahap 97 peratus.

Al-Quran bukan sekadar membimbing manusia menuju kebahagiaan di dunia dan di akhirat, malah menjadi penawar rohani dan jasmani. Mendengar ayatnya dibaca begitu mendamaikan jiwa dan tidak menjemukan walaupun dibaca berulang kali, di samping dikurniakan ganjaran pahala bagi setiap huruf yang dibaca, apatah lagi menghafal, menghayati dan mengamalkan isi kandungannya.

Oleh itu, umat Islam dianjurkan supaya memperbanyak membaca al-Quran terutamanya pada bulan Ramadan, kerana ganjaran yang amat besar buat pembacanya seperti sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Bacalah al-Quran, kerana sesungguhnya ia datang kepada pembacanya sebagai syafaat pada hari akhirat.”

(Hadis riwayat Muslim)

Untuk mencapai tahap kegemilangan, umat Islam wajib berpegang pada seluruh ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan menghayati seluruh nilai yang ada untuk diamalkan secara lengkap. Jika ayat al-Quran dibaca tanpa kefahaman dan penghayatan, maka roh al-Quran tidak mungkin meresap dan hidup dalam jiwa insan.

Tidak hairan jika pada hari ini kita menyaksikan masih terdapat orang Islam yang tanpa segan silu, bersifat talam dua muka, munafik, berdusta, merompak dan mencuri, memberi dan menerima rasuah, melakukan pecah amanah, menyalah guna kuasa, mengamalkan riba, berzina, derhaka kepada ibu bapa dan melalukan pelbagai kemungkaran.

Ketahuilah! Jika al-Quran dapat benar-benar difahami dan didalami maksudnya, lebih-lebih dihayati secara bersungguh-sungguh, insya-Allah manusia akan mengalami nikmat keajaiban al-Quran dalam jiwanya, serta menumbuhkan sinaran iman yang mempengaruhi akhlak dan tingkah lakunya. Lihatlah hubungan para sahabat dan generasi terawal umat Islam dengan al-Quran, laksana terangkai ikatan cinta sejati.

Kuatnya tautan hati dan kecintaan mereka terhadap al-Quran, sehingga mereka sering mendampinginya, membacanya siang dan malam, meneroka mukjizatnya, melakukan kajian serta menyebar dan mengajar kandungannya kepada dunia, lalu lahirlah para ilmuwan Islam dan terbangun tamadun Islam yang unggul.

 

Kesimpulannya:

  1. Al-Quran ialah panduan lengkap dan sumber rujukan kehidupan manusia, iaitu kitab ilmu yang mengandungi pelbagai mukjizat dan pengajaran bagi orang yang bertakwa.
  2. Dampingilah al-Quran dan jadikannya sebagai teman hidup. Mulakan kehidupan harian dengan membaca sekurang-kurangnya sepotong ayat al-Quran, demikian juga sebelum tidur. Usahakan untuk menghafal al-Quran dengan memilih surah lazim, kemudian beralih kepada surah sederhana ringkas sehingga dada kita disemai dengan ayat al-Quran yang kelak memberikan pertolongan ketika bersendirian di alam barzakh dan di akhirat.
  3. Manfaatkan teknologi moden dalam pengajaran al-Quran atau wujudkan kaedah pengajaran yang menarik minat anak untuk mendalami, menerokai isi kandungan dan mukjizat al-Quran, lalu mengamalkannya dalam kehidupan.

 

Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, bertarikh 13 Mac 2025, bertajuk “Kehebatan Mukjizat al-Quran”

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi